Salah satu
perkara yang menyebabkan sekolah menjadi tempat yang membosankan bagi pelajar,
menurut pelajar-pelajar ini ialah, kebanyakan perkara yang dipelajari di
sekolah hanya merupakan perkara yang tidak dapat diterima secara lebih bermakna untuk mana-mana konteks dalam kehidupan
mereka. Apakah maknanya mempelajari pelbagai topik Matematik dan Sains
sekiranya kecenderungan pelajar adalah untuk menjadi penyanyi, pelakon atau
ahli sukan apabila tamat tempoh wajib belajar hingga tingkatan lima? Malah terdapat
pelajar yang meninggalkan bangku sekolah dan menceburi dunia hiburan dan sukan ketika
berumur 15 tahun. Apakah maknanya
mempelajari tatabahasa serta nahu apabila komunikasi boleh sahaja berlaku dan
difahami dengan menggunakan bahasa pasar? Apakah maknanya mempelajari Sejarah
kalau kecenderungan serta motivasi pelajar adalah untuk menjadi pekerja
teknikal yang mahir?
Tekanan yang
dihadapi oleh para guru untuk menghabiskan sukatan kurikulum standard serta
menyediakan ujian-ujian setara menyebabkan pengajaran lebih didorong untuk menghabiskan konten dan bukannya berasaskan kepada
keperluan pelajar atau apa yang pelajar ingin tahu sebenarnya. Adalah sangat
sukar bagi guru untuk mengimbangkan antara keperluan pelajar dan kurikulum yang
perlu disampaikan dalam bentuk teks (buku teks dan sebagainya). Teks dihasilkan
dalam bentuk logik, tersusun, dalam bentuk hitam putih. Manakala keperluan dan
latar belakang pelajar adalah pelbagai dan kompleks. Situasi pembelajaran akan
bertukar dengan adanya proses sosialisasi serta perubahan kurikulum yang agak
bertentangan dengan kehendak dan keperluan pelajar. Kanak-kanak kecil peringkat
tadika yang masih memerlukan bimbingan perkembangan pelbagai aspek kemanusiaan
secara menyeluruh, dibebankan dengan perkembangan kognitif dalam kebanyakan
waktu.
Sesetengah idea
inovasi yang terbaik akan hilang lenyap lantaran tiada
usaha untuk menginstitusikan amalan berkenaan. Banyak sekolah-sekolah
lama yang masih kekurangan keperluan asas atau memiliki keperluan asas yang sudah
uzur dan layak dihapus kira. Masih terdapat guru-guru yang tidak mendapat sokongan
pentadbiran apabila melakukan sesuatu yang tidak bersifat tradisi, untuk
menghadapi bilangan pelajar yang ramai serta sentiasa berkembang. Perkembangan profesional
pula dianggap terlalu mahal untuk dilaksanakan
serta tidak mendapat sokongan kewangan daripada pentadbir sekolah. Perkembangan
profesional guru-guru di sekolah banyak bergantung kepada siapa rakan sejawatan
mereka, sikap pentadbir, pengalaman serta lokasi sekolah.
Persoalannya, dengan adanya pelbagai kerenah ini, adakah guru masih berpeluang menjadi lebih baik? Tentulah jawapannya YA. Guru yang terdedah kepada pelbagai peluang perkembangan profesional, adalah guru yang berkemungkinan menjadi guru yang lebih baik. Mereka akan berpeluang untuk mempelajari tentang inovasi pendidikan serta memperoleh pelbagai alat yang boleh diintegrasikan dalam amalan pengajaran dan pembelajaran. Tanpa sokongan pihak pentadbir serta maklum balas yang memberangsangkan, guru akan melupakan semua rancanagn inovasi mereka.
Sebenarnya
tidaklah begitu sukar untuk menjadi guru yang lebih baik. Guru-guru yang
inovatif hanya perlu mengambil kira serta memikirkan bagaimana melaksanakan
idea-idea inovatif mereka.
Guru-guru yang telah didedahkan kepada mereka
tentang pengajaran dan pembelajaran tumpuan atau berorientasikan pelajar tetapi
tidak berpeluang untuk mengaitkannya dalam bentuk satu kepaduan yang menyeluruh,
boleh mencuba saranan di bawah.
Cuba gunakan
soalan-soalan penting yang dapat meningkatkan wacana dan pemikiran untuk
membolehkan pelajar menyedari bahawa belajar dan kejayaan bukan satu destinasi
tetapi merupakan satu perjalanan tanpa titik akhir. Maknanya, semakin banyak
yang diketahui, semakin banyak pula yang perlu diketahui dan dipelajari. Apakah
soalan yang dianggap penting? Bagaimana mengenalinya? Bagaimana pula
mengaplikasikannya dalam bilik darjah? Soalan penting merupakan soalan yang
memberi peluang kepada pelajar untuk mempersoalkan sesuatu isu, meneroka dengan
lebih mendalam isu berkenaan serta membincang dan memperdebatnya. Kita biasa
mendengar rungutan pelajar vseperti “Susahnya soalan ini!”.
Persoalannya, sejauh mana sesuatu yang susah itu benar-benar susah (sukar)
sehingga tiada penyelesaiannya langsung? Soalan penting akan menyedarkan
pelajar bahawa untuk mendapatkan jawapannya, mereka perlu melihatnya dari
pelbagai perspektif serta interpretasi, mencari dan meneroka pelbagai
alternatif. Soalan penting bukan bererti mesti melibatkan tahap pemikiran
tinggi (KBAT) berdasarkan taksonomi kognitif tetapi cukup untuk membuatkan
pelajar berfikir semula, membincangkannya dan mencari penyelesaian yang
mungkin. Isu “Susahnya soalan ini!” boleh ditanyakan dengan soalan “Apanya yang
susah?” Soalan begini membuatkan pelajar merenung dan mencari elemen yang
menyebabkan soalan dilihat sebagai menyusahkan. "Bagaimana awak tahu ianya susah?" Soalan begini pula akan membuatkan pelajar mengenalpasti elemen "salah faham" atau "belum dikuasai" yang menyebabkan soalan dianggap susah. Elemen yang menyusahkan ini akan
dikenalpasti dan dicari penyelesaiannya. Perlu diingat bahawa soalan-soalan penting tidak bertujuan untuk membezakan antara jawapan betul atau salah tetapi lebih kepada mendapatkan jawapan melalui proses berfikir secara mendalam serta mengambil kira pelbagai idea.
Sudah pasti terdapat panduan tertentu bagaimana menggunakan soalan-soalan penting. Saya tidak berhasrat untuk menyatakannya di sini.
Dalam kebanyakan
bilik darjah, guru merasakan bahawa mereka mempunyai terlalu banyak perkara
yang perlu dilakukan (mengajar, membimbing, menyemak, mengurus, memudahcara,
merefleks dan seterusnya) sedangkan masa yang diperuntukkan adalah sangat
terbatas untuk membolehkannya menunaikan kesemua tugas tersebut. Terlalu banyak
tuntutan yang perlu ditunaikan baik pada peringkat bilik darjah, peringkat
sekolah, daerah, negeri mahu pun negara yang meninggalkan kesan ke atas
pengurusan masa guru. Buku teks yang tebal, buku-buku kerja dan latihan,
perubahan kurikulum, pengurusan kokurikulum, kerenah pelbagai pihak... semuanya menyumbang kepada
tekanan ke atas guru. Dalam hal begini, bagaimana menjadi guru yang lebih baik?
Integrasi perlu dilihat sebagai alat kesepaduan:-
integrasi kurikulum, integrasi topik-topik dalam mata pelajaran, integrasi
aktiviti pengajaran dan pembelajaran, integrasi dengan teknologi, integrasi
strategi, integrasi nilai dan sebagainya. Integrasi membolehkan pelajar meneroka, mengumpul, memproses, memurnikan dan mempersembahkan maklumat tentangsesuatutopik yang ingin diselidiki tanpa batasan serta halangan mata pelajaran tradisional (Pigdon dan Wooley, 1992) untuk membolehkan pelajar terlibat dalam proses pembelajaran yang bertujuan, bermakna dan relevan. Program integrasi tidak hanya berfokus kepada bidang-bidang kurikulum secara berasingan tetapi berdasarkan kepada perkembangan kemahiran sekitar tema-tema tertentu.
Mengapakah kurikulum dan reka bentuk pentaksiran serta penilaian yang standard diperlukan di sekolah? Jawapan mudahnya ialah kawalan kualiti lepasan sekolah. Ekspektasi guru adalah tidak sama untuk mata pelajaran yang sama. Terdapat faktor latar belakang guru, latar belakang kumpulan pelajar, lokasi sekolah serta polisi-polisi tertentu yang mempengaruhi ketaksamaan ini. Walaupun guru bebas memilih dan menggunakan pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran yang difikirkan sesuai, adalah sukar untuk membuat justifikasi cara dan gaya mengajar yang berkesan lebih-lebih lagi apabila amalan mentaksir serta menilai adalah tidak sama bagi semua guru. Semua ini dapat diatasi sekiranya semua sekolah mengamalkan pelaksanaan kurikulum serta pentaksiran yang standard.
Pentaksiran dan penilaian dinilai autentik apabila ia melibatkan penyelesaian masalah, isu-isu serta tugas dalam dunia sebenar. Tugasan yang autentik membolehkan pelajar melalui proses pembelajaran bermakna serta dapat menghubungkan dan mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam bilik darjah dengan masalah dunia sebenar. Tugasan yang autentik mempunyai sebahagian besar atau kesemua ciri-ciri berikut:
a. melibatkan audien serta tujuan sebenar (luar bilik darjah)
b. melibatkan pengintegrasian isi kandungan dan pelbagai kemahiran
c. kriteria skor /pemarkahan yang standard
d. membolehkan pelajar menghuraikan konsep dalam pelbagai bentuk komunikasi (persembahan, tulisan, lakaran atau lisan)
e. melibatkan pelbagai aras pemikiran
f. telus
Rubrik merupakan komponen kritikal sesebuah tugasan dan pentaksiran yang autentik (bukan untuk item objektif pelbagai pilihan). Kebanyakan guru melihat rubrik sebagai kriteria untuk menilai dan memberi markahatau skor. Rubrik juga sebenarnya boleh digunakan untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran. Rubrik bukannya senarai semak, helaian markah atau skala pemarkahan. Tujuan rubrik, sama ada holistik atau analitik, adalah untuk mengesan sama ada wujud atau tidak elemen-elemen yang diperlukan dalam sesuatu tugasan. Rubrik menjadi bermakna untuk pengajaran yang baik kerana ia dapat membantu guru menjelaskan elemen-elemen yang diperlukan agar menepati ekspektasi guru dan meningkatkan kualiti pembelajaran.
Portfolio membolehkan guru menemui dan mengenal pasti apa yang pelajar fikirkan, apa yang mereka harga dan siapakah mereka sebenarnya. Sekiranya digunakan dengan betul dan bijak, portfolio akan menjadi alat yang paling lengkap untuk mendokumentasikan perkembangan, usaha dan pencapaian pelajar. Ia menggambarkan tentang hasil kerja pelajar. Sekiranya dalam portfolio tersebut disertakan juga refleksi pelajar, guru akan dapat mengenal pasti apa yang pelajar fikir tentang dirinya sebagai seorang pelajar. Portfolio merupakan koleksi hasil kerja pelajar yang menunjukkan tentang usaha (semua perancangan dan draf yang membawa kepada hasil akhir), kemajuan (kerjaasas, pembetulan serta contoh hasil kerja) dan pencapaian pelajar (hasil terbaik).
Apabila merancang untuk menggunakan portfolio, guru perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
Ketabahan / ketahanan: melibatkan kerja berterusan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, penjelasan langkah-langkah yang diambil, draf, semakan, pembetulan, penambahbaikan dan perubahan-perubahan lain.
Komunikasi: melibatkan penggunaan jadual, graf, gambar rajah serta lakaran serta penjelasan bagi setiap langkah yang diambil.
Pembacaan dan penulisan: melibatkan pendokumentasian segala yang berlaku dalam bentuk penulisan hingga kepada hasil terakhir termasuk bukti-bukti bahan bacaan yang menjadi rujukan.
Kolaborasi:melibatkan sekurang-kurang satu orang lain atau rakan yang turut bersama memberi pandangan serta membantu untuk menyempurnakan tugasan.
Kemahiran analitikal: penulisan yang membuktikan analisis situasi serta dokumen dilakukan.
Apabila pelajar bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka sendiri, mereka akan merenung (refleks) pencapaian mereka, menilai kerja mereka, membuat keputusan di mana perubahan perlu dilakukan, menentukan matlamat dan memasikan strategi mana yang paling baik dan mantap untuk mencapai matlamat terbaik.Sekiranya pelajar ingin menjadi lebih berfikrah, mereka perlu diajar bagaimana melakukan analisis dan penilaian ke atas kerja mereka. Guru perlu membantu pelajar menentukan matlamat yang mencabar serta realistik secara berterusan. Untuk membolehkan pelajar menjadi refelktif serta menghargai proses berfikir, guru sendiri perlu mengamalkan serta menghargai refleksi kendiri. Apabila guru menghargai refleksi kendiri dan refleksi para pelajarnya, proses pembelajaran menjadi sama penting dengan hasil pembelajaran. Fokus penilaian berlaku bukan sekadar apabila projek telah diselesaikan tetapi berlaku sepanjang tahun persekolahan.
Kajian tindakan merupakan satu proses bertanyakan soalan-soalan penting serta mencari jawapan secara sistematik. Soalan-soalan ini menjadi sangat bermakna, iaitu guru ingin mencari serta perlu mengetahui jawapan kepada soalan-soalan yang berkaitan dengan tugas dan kerjayanya. Kajian tindakan menjadi sangat praktikal di mana guru sebagai penyelidik, menjadi sebahagian daripada penyelidikan berkenaan. Penyelidik guru akan menyelidik masalah serta amalan dirinya sendiri. Kajian yang dilakukan bersifat sederhana, terkawal dan mengenai tugasnya sebagai guru.

- Updated 24 Feb 2017
P
P
No comments:
Post a Comment