Mata pelajaran Pendidikan Islam
adalah mata pelajaran yang melibatkan aqidah dan sistem kepercayaan (rukun
iman) serta sifat kontennya menjadi “teras kehidupan”/ “core of living” (amalan
hidup berterusan dari kehidupan di dunia membawa ke akhirat –kehidupan sebenar
dan bukan sekadar “life after death” seperti yang difahamkan oleh kebanyakan
fahaman beragama tetapi “a continuous life in spiritual form” kerana kehidupan
kerohanian tetap ada sama ada dalam kehidupan di dunia atau di alam akhirat).
Oleh itu pengajarannya bermaksud menyediakan manusia dengan nilai-nilai
kehidupan yang membawa kepada kesejahteraan lima dimensi: spiritual, fizikal, intelek,
emosi dan sosial. Kelima-lima dimensi ini dipengaruhi oleh sistem kepercayaan
yang dipegang. Meskipun sistem kepercayaan yang berhubung kait dengan ketuhanan
ini merupakan hidayah Tuhan (Allah), pembentukan sistem ini bermula dengan iqra’
atau pembacaan (pembelajaran). Guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu
berpegang kepada nilai-nilai kesejahteraan sejagat (universal values in
humanity / universal law atau sunnatullah) dan perlu direalisasikan dalam
pengajaran untuk mengelakkan daripada berlaku “living contradiction” serta
mengelakkan hipokrit.
Sebagai guru profesional, apa juga
yang dilakukan perlu mempunyai asas sokongan yang kuat, kukuh, benar dan betul
tentang konsep-konsep pengajaran dan pembelajaran. Diperturunkan di sini
beberapa perkara yang perlu dibuat pertimbangan sebelum mula mengajar.
Strategi pembelajaran
Istilah strategi
berasal dari bahasa Yunani stratogos
yang bererti keseluruhan usaha termasuk perancangan, kaedah dan teknik yang
digunakan untuk mencapai hasil yang maksimum. Strategi merupakan rancangan yang
teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan (Kamus Dewan, 1998). Ringkasnya,
strategi bolehlah dimaksudkan sebagai garis panduan utama untuk bertindak dalam
usaha mencapai sasaran yang telah ditentukan. Dalam konteks pendidikan, garis
panduan tersebut merujuk kepada garis panduan pengajaran dan pembelajaran.
Strategi pembelajaran
digunakan oleh murid untuk membantu mereka memahami maklumat yang dipelajari
dan untuk tujuan menyelesaikan masalah. Strategi pengajaran yang digunakan oleh
guru akan menentukan pendekatan yang akan digunakan untuk mencapai objektif
pembelajaran. Strategi pengajaran selalunya berkait rapat dengan keperluan dan
minat murid untuk meningkatkan pembelajaran dengan berdasarkan kepada pelbagai
gaya pembelajaran (Ekwensi, Moranski, &Townsend-Sweet, 2006).
Menurut
Weinstein & Mayer, 1986, (dalam Chamot & O Malley, 1994), strategi
pembelajaran didefinisikan sebagai pemikiran dan aktiviti yang membantu untuk
meningkatkan pembelajaran dan pencapaian murid. Idea asasnya
ialah murid akan mempelajari isi kandungan (konten) dan bahasa dengan lebih
efektif apabila menggunakan stratregi pembelajaran.
Nisbet dan
Shucksmith (1986) mendefinisikan strategi pembelajaran sebagai proses yang
menjadi dasar pelaksanaan tugas berfikir. Strategi bukan sekadar turutan atau
pengumpulan kemahiran tetapi melewati rangkaian atau rutin yang menyokong
manual pengajian. Strategi berorientasikan matlamat tetapi tidak selalu pula
dilaksanakan secara sedar atau bebas. Pelaksanaan strategi m ungkin mengambil
masa yang agak lama atau terlalu cepat sehingga seseorang itu tidak sedar
bahawa ia telah pun menggunakan strategi, dan tidak pula berupaya untuk
mengingat kembali. Strategi pembelajaran bergerak ke arah pendekatan
metakognisi yang menunjukkan terhadapatnya hirarki strategi yang dikaitkan
dengan metakognisi atau pengetahuan mengenai proses mental seseorang. Ini bermakna penggunaan istilah stratetegi
pembelajaran adalah tidak sama dari aspek penggunaannya serta perolehannya.
Masters, Mori
dan Mori (1993) lebih cenderung menggunakan istilah strategi kognitif daripada istilah
strategi pembelajaran. Mereka menggunakan definisi yang digunakan oleh Alley
dan Deshler (1979) iaitu strategi kognitif merupakan teknik, prinsip atau
peraturan yang memudahkan perolehan, manipulasi, integrasi, penyimpanan dan
pengeluaran semula maklumat merentas situasi dan seting. Menurut Masters, Mori
dan Mori lagi, strategi kognitif merupakan bahagian yang penting dalam proses
memperolehi ilmu pengetahuan, termasuk kemahiran membaca, menulis, mengira,
bertutur, mencatat nota, menyoal, menguasai kosa kata, pengurusan masa,
mentaakul, menyelesaikan masalah dan mengingat serta menghafal.
Daripada
kesemua definisi yang telah dikemukakan oleh para penyelidik seperti di atas,
boleh dirumuskan bahawa strategi pembelajaran merupakan tindakan yang diambil
oleh murid / pelajar untuk membantu dirinya belajar dengan lebih berkesan.
Jika
diperhatikan, dalam tulisan ini saya lebih menitikberatkan strategi
pembelajaran dan bukan strategi pengajaran (dan saya tidak menafikan
kepentingannya) kerana tumpuan pendidikan Abad 21 telah beranjak daripada
pengajaran (teaching) kepada
pembelajaran (learning). Guru, pada
masa yang sama, dituntut untuk berperanan sebagai pelajar dalam konteks
perkembangan profesionalisme dirinya.
Chamot dan
O’Malley (1994) telah menegaskan tentang kepentingan strategi pembelajaran atas
sebab-sebab berikut:
1. Strategi
merupakan proses dinamik yang menjadi asas kepada pembelajaran
2. Murid aktif
adalh lebih baik daripada murid pasif
3. Strategi boleh
dipelajari
4. Pembelajaran
bahasa akademik akan menjadi lebih berkesan dengan strategi pembelajaran
5. Strategi
pembelajaran memindahkan tugas-tugas baru
(Learning strategies transfer to new tasks).
Chamot dan
rakan-rakan (1999) menjelaskan bahawa semua strategi pembelajaran menunjuk
kepada asas proses metakognisi termasuk perancangan, pemantauan, penyelesaian
masalah dan penilaian.
·
Strategi perancangan akan dapat membantu murid / pelajar
untuk terus berkembang dengan berfikir dahulu sebelum bertindak termasuklah penetapan
matlamat, perhatian yang terarah (directed attention), mengaktifkan pengetahuan
sedia ada, menjangka, merancang penyusunan / pengorganisasian dan pengurusan
kendiri.
·
Strategi pemantauan pula akan menggalakkan murid untuk
mengukur sejauh mana pencapaian / kejayaan mereka semasa melaksanakan / menyelesaikan
sesuatu tugas pembelajaran. Contoh strategi pemantauan termasuklah perhatian
secara selektif, penyoalan kendiri, memperibadikan (personalizing), mencatat
nota, penggunaan imageri dan percakapan kendiri (self-talk).
·
Strategi penyelesaian masalah merupakan strategi yang
dapat membantu murid ketika menghadapi kesukaran-kesukaran melaksanakan tugas
pembelajaran. Termasuk dalam strategi penyelesaian masalah ialah melakukan
inferens, menukar, bertanyakan soalan untuk mendapatkan penjelasan dan
menggunakan pelbagai sumber.
·
Strategi penilaian akan menggalakkan murid melakukan
refleksi untuk mengesan sebaik mana tugas pembelajaran telah dilaksanakan.
Contoh strategi penilaian mengesahkan ramalan, membuat rumusan, menyemak
matlamat dan menilai diri serta strategi yang digunakan.
Strategi tambahan seperti membayangkan
dengan menggunakan kata kunci, mengumpul atau mengkalsifikasi, menggunakan
perkataan bahasa lain yang mempunyai sama makna (cognates) seperti dalam Bahasa
Melayu dan Bahasa Arab (contohnya; niat, zakat dan sebagainya), akan dapat
membantu pelajar mengingat kosa kata serta maklumat berkaitan yang lain.
Mengapa menggunakan strategi pembelajaran?
Daripada penerangan di
atas, kita telah pun jelas tentang maksud strategi pembelajaran. Seterusnya adalah berfaedah sekiranya kita
tahu mengapa perlu menggunakan strategi pembelajaran (tanpa meninggalkan
strategi pengajaran).
Menurut Weinstein dan Mayer
(dalam Wittrock, 1986) pengajaran yang baik
melibatkan pengajaran bagaimana cara murid belajar, bagaimana mereka
mengingat dan bagaimana memotivasikan diri sendiri. Pengajaran begini lebih
menepati konsep pembelajaran sepanjang hayat kerana guru akan mengajar murid-muridnya
tentang strategi pembelajaran yang boleh dan akan digunakan untuk sepanjang
hayatnya. Dengan membantu pelajar membina atau membentuk cara yang berkesan
untuk mengendalikan pelbagai
maklumat yang boleh diperolehi daripada persekitaran serta dengan membantu proses
pemikiran mereka, menjadi matlamat utama sistem pendidikan pada masa kini.
Menurut Strichart dan
Mangrum (1993), untuk membolehkan pembelajaran berlaku, murid / pelajar perlu
mengingat maklumat yang baru diperolehi agar mereka boleh menggunakan makluma
tersebut apabila diperlukan. Maklumat yang tidak diingati sebenarnya tidak
mempunyai nilai kepada murid / pelajar ketika mereka mengendalikan keperluan
semasa di dalam atau di luar sekolah.
Disebabkan adalah mustahil
untuk murid / pelajar mengingati kesemua maklumat yang boleh diperolehi, maka
adalah baik sekiranya guru dapat mengajar mereka menguasai kemahiran-kemahiran
yang dapat membolehkan mereka mengingat makumat-maklumat penting. Guru perlu
mengambil peranan sebagai pengajar strategi pembelajaran. Kapasiti terbaru
pengajaran juga melibatkan mengenalpasti strategi pembelajaran murid (bagaimana
murid belajar), mengendalikan latihan atau kursus belajar cara belajar dan
membantu mereka menjadi lebih berdikari. Justru itu, pengajaran strategi
pembelajaran menjadi cabaran baru kepada guru hari ini.
No comments:
Post a Comment