Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday 19 July 2012

Pembelajaran Abad 21: Pembelajaran berasaskan Projek


Saya telah pun menulis tentang beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk mata pelajaran Pendidikan Islam dengan mengambil kira tuntutan kemahiran pendidikan abad ke 21 iaitu melibatkan pembelajaran berpusatkan murid, , pemikiran kritikal, inkuiri dan penyelesaian masalah, amalan koperatif dan kolaboratif. Adalah diharapkan para pembaca telah dapat memahami serta telah cuba melaksanakannya di dalam kelas. Selain daripada menguasai kandungan mata pelajaran utama yang melibatkan kemahiran 3M, murid perlu dilatih untuk menjadi pemikir kritikal berteraskan kepercayaan (aqidah) dan peraturan kesejahteraan (syariat Islam).

Sebelum meneruskan tulisan ini, elok rasanya kita semak semula apa yang disarankan oleh Bernie Trilling dan Charles Fidel (2009) berkaitan kemahiran abad ke 21. Menurut mereka berdua, murid pada abad 21 perlu menguasai kemahiran-kemahiran berikut:
·         Pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah
·         Kreativiti dan inovasi
·         Kolaborasi, kerja berpasukan dan kepemimpinan
·         Pemahaman antara budaya
·         Literasi komunikasi, maklumat dan media
·         Literasi pengkomputeran  dan TMK
·     Kerjaya dan belajar tanpa pergantungan (Career and learning self-reliance)

Apabila guru-guru Pendidikan Islam menggunakan kaedah inkuri atau penyelesaian masalah, pastikan bahawa guru-guru akan melibatkan ketujuh-tujuh kemahiran di atas meskipun sebenarnya tidaklah mesti kesemuanya sekali dalam satu pengajaran, tetapi kemahiran-kemahiran tersebut tidak seharusnya ditinggalkan atau hanya sekadar mengambil satu atau dua kemahiran sahaja.

Dalam penulisan kali ini, saya akan menulis tentang satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk pengajaran Pendidikan Islam untuk abad ke 21 iaitu kaedah projek.

Pembelajaran berasaskan projek merupakan kaedah pembelajaran di mana guru menyediakan projek untuk dilaksanakan oleh murid-murid. Guru akan memberikan arahan serta penjelasan tentang projekyang agak kompleks dan mencabar, yang perlu dilaksanakan. Murid pula  dikehendaki melaksanakan projek secara hands-on dan minds-on serta dengan melakukan sedikit kajian. Melalui kaedah projek, murid akan belajar untuk menyelesaikan masalah melalui proses inkuiri, berkomunikasi serta berkolaborasi, mengakses maklumat melalui Internet atau menghasilkan projek menggunakan perisian komputer, selain menggunakan pemikiran kritikal dan amalan refleksi untuk memastikan projek terlaksana dengan baik dan hasilnya akan memberi makna kepada mereka. Melalui kaedah projek, murid akan dapat menyelesaikan masalah dalam konteks dunia sebenar yang menjadi minat dan perhatian murid. Dalam melaksanakan projek, murid mungkin akan menggabungkan maklumat daripada pelbagai sumber mata pelajaran seperti Kajian Tempatan, Matematik, Sains dan sebagainya selain daripada mata pelajaran Pendidikan Islam itu sendiri. Kaedah projek membolehkan murid berfikir secara kreatif bagaimana menyelesaikan masalah atau bagaimana menghasilkan projek yang terbaik.   

Lazimnya kaedah projek melibatkan masa yang lebih panjang daripada satu atau dua waktu pembelajaran mengikut jadual waktu. Murid perlu belajar merancang dan menguruskan masa serta kerja-kerja mereka. Lazimnya pelaksanaan kaedah projek dibuat dalam bentuk kumpulan kecil wealaupun ada kalanya ia juga dilaksanakan secara individu. Sama ada secara individua tau kumpulan kecil, murid masih perlu berkolaborasi dengan orang lain untuk menghasilkan projek berkenaan.

Semasa melaksanakan projek, murid dikehendaki melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan secara mendalam tentang projek berkenaan kerana:
·         ia disusun atur sekitar persoalan terbuka atau cabaran yang membuatkan murid fokus dengan kerja atau tugas pembelajaran seperti menyoal, mengakses maklumat, merefleksi dan sebagainya.
·         ia membuatkan murid ingin tahu dan memahami  konten serta menguasai kemahiran
·         murid perlu melaksanakan inkuiri untuk belajar atau untuk menghasilkan projek. Proses inkuiri akan menggalakan murid menghasilkan idea-idea baru serta membuat interpretasi
·         murid perlu terlibat dengan komunikasi seperti berkolaborasi dan bukan sekadar mengingati maklumat dan fakta (mereka perlu terlibat dengan pemikiran aras tinggi seperti mengaplikasi, menganalisis, menilai dan menghasilkan)
·         murid perlu bekerjasama sebagai satu pasukan, menghormati pandangan rakan, memberi idea dan pandangan sendiri serta membuat persembahan laporan projek
·         murid berpeluang untuk menyatakan pandangan serta pilihan mereka sendiri serta bertanggungjawab ke atas kerja-kerja mereka (murid menjadi lebih aktif)
·         melibatkan maklum balas (daripada rakan dan guru) dan mengulangkaji pelajaran
·         berkongsi hasil dapatan / projek dengan rakan-rakan sekelas atau daripada kelas atau sekolah lain (apabila dimuatnaik menggunakan blog atau laman sesawang)

Apakah peranan guru?
Berdasarkan kaedah projek, guru berperanan sebagai fasilitator yang akan membentuk persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif serta tanggungjawab bersama. Pada peringkat awal, guru perlu menstrukturkan tugasan serta soalan-soalan yang terlibat agar murid tidak terpesong jauh daripada objektif pembelajaran yang dirancang. Untuk memastikan murid dapat melaksanakan projek dengan baik, guru disarankan untuk menyediakan rubrik panduan melaksanakan projek dan diberikan kepada murid. Terdapat dua jenis rubrik (analitik dan holistik) dan terpulanglah kepada guru, rubrik manakah yang hendak digunakan berdasarkan kepada tujuan penilaian.

Contoh projek
·         membina replika kaabah
·         amalan solat
·         nas Al Quran dan Hadis tentang puasa Ramadhan
·         menghasilkan komik tokoh ulama / pendidikan Islam
·         biografi khulafa
·         tokoh wanita muslimah
·         konsep malaikat
·         adab dengan orang tua
·         pengajaran daripada kisah para Anbia’
·         koleksi masjid di Malaysia
·         pelbagai jenis khat
·         dan sebagainya

10 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian...

    ReplyDelete
  2. Semoga bermanfaat untuk Noraini

    ReplyDelete
  3. Bagaimana untuk hubungi Puan Shamsina Shamsuddin.
    TQ

    ReplyDelete
  4. TQ
    Bagaimana untuk hubungi penulis

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pada navigation bar terdapat pautan Hubungi Saya. Di situ terdapat maklumat yang tuan perlukan.

      Delete
  5. assalamualaikum...terima kasih puan Shamsina atas perkongsian.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh
    Semoga mendapat barokah daripada Allah swt

    ReplyDelete
  7. Assalamuailaikum..bolehkah pihak puan untuk mengisi slot pedagogi khusus utk guru al Quran di sekolah ?

    ReplyDelete
  8. terima kasih ustzh..teringat masa ustzh mngjr kami d mptar..

    ReplyDelete
  9. teringat msa ustzh mngjr kmi d mptar..

    ReplyDelete