Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Monday 19 November 2012

Jenis-jenis strategi pembelajaran

Dalam tulisan saya sebelum ini, saya telah menyentuh dengan agak panjang lebar tentang strategi npengajaran dan pembelajaran (lihat http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/06/pedagogi-strategi-pengajaran-dan.html). Bahan ini sebenarnya tidak begitu terperinci memandangkan terdapat batasan tertentu untuk diterbitkan dalam bentuk digital. Untuk mendapatkan keperincian tentang tajuk tersebut, insyallah, saya dan rakan penulis saya, akan menerbitkan satu lagi buku baru khusus mengenai Pedagogi Pendidikan Islam.

Dalam tulisan pada hari ini, saya akan menyentuh tentang tiga jenis strategi iaitu 1) strategi pengorganisasian pembelajaran  2) strategi penyampaian konten pembelajaran dan 3) strategi pengelolaan pembelajaran.

Strategi pengorganisasian pembelajaran
Reigeluth, Bunderson dan Merrill (1977) menamakan strategi pengorganisasian pembelajaran sebagai strategi struktural (structural strategy). Menurut mereka, strategi struktural merujuk kepada cara menyusun dan mensentisis turutan fakta , konsep, prosedur dan prinsip-prinsip yang saling berkaitan. Terdapat dua pecahan strategi ini yang dinamakan sebagai strategi makro dan strategi mikro.

Strategi mikro memberi penekanan kepada pengorganisasian pengajaran berdasarkan satu topik dan melibatkan komponen strategi seperti definisi, contoh dan amalan. Strategi makro pula melibatkan pengorganisasian pengajaran untuk menunjukkan  perkaitan (interrelationships) antara aspek-aspek dalam kandungan mata pelajaran. Pada peringkat paktikal, strategi mikro memberikan garis panduan bagaimana mengajar satu topik atau konsep atau prinsip secara spesifik manakala strategi makro menunjukkan bagaimana isi kandungan pelajaran disusun mengikut sekuen untuk menggambarkan saling perkaitan antara topik, konsep atau prinsip.

Menurut Reigeluth dan Stein (1983) pengorganisasian pembelajaran dilakukan dengan mengambilkira empat perkara (4S) iaitu selection, sequencing, synthesizing, dan summarizing.

Selection atau pemilihan merupakan pemilihan idea daripada isi pelajaran yang akan diajar untuk mencapai objektif atau matlamat pembelajaran bagi setiap unit (Reigeluth & Darwazeh, 1982).

Sequencing atau menyusun mengikut turutan dilakukan dengan tujuan untuk mempercepatkan dan memudahkan pembelajaran (Reigeluth & Darwazeh, 1982) iaitu dengan mengikut prinsip daripada umum kepada spesifik (Mayer, 1981) atau turutan daripada mudah kepada kompleks.

Tujuan melakukan sintesis pula adalah untuk menunjukkan perhubungan antara idea yang saling berkaitan. Dengan cara ini murid boleh melihat bagaimana kesemua idea yang berkaitan itu dapat membentuk satu skema konsep yang lebih besar.

Summarizing atau membuat rumusan bertujuan untuk menyemak semula pelajaran dan bahan-bahan berkaitan untuk membolehkan maklumat kekal lebih lama dalam ingatan.

Strategi penyampaian isi kandungan pelajaran
Strategi ini merupakan komponen kaedah semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Tujuan strategi ini adalah untuk:
1. menyampaikan isi pelajaran
2. menyediakan maklumat dan bahan yang diperlukan untuk menyokong dan meneroka isi pelajaran

Strategi pengelolaan pembelajaran
Strategi ini pula bertujuan untuk mengatur kaedah untuk membolehkan murid dapat berinteraksi secara aktif dalam proses pembelajaran. Ia berkaitan dengan pemilihan kaedah manakah yang paling sesuai digunakan dengan mengambil kira jadual pelaksanaan, penilaian kemajuan murid dan motivasi.

Apakah implikasinya kepada guru dan perancangan pengajaran?

No comments:

Post a Comment