Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Tuesday, 19 July 2011

Bagaimana menggunakan kaedah soaljawab dan perbincangan dalam pembelajaran kooperatif?


Tahukah anda bahawa pengajaran sains (bukan mata pelajaran sains dan bukan konten sains) sama ada sains sosial mahupun sains natural, sering mencari bukti melalui pembelajaran penyelidikan bersifat inkuiri atau eksperimen sehingga lupa kepada sumber mutlak (ultimate) bukti-bukti itu sendiri. Akibatnya memang amat mengecewakan apabila bukti sains yang tidak dikaitkan secara langsung dengan aspek ketuhanan menyebabkan anak-anak hilang keyakinan dengan kekuasaan Tuhan. Contohnya, konten pergerakan plat tektonik di bawah paras laut boleh mengakibatkan gempa bumi, letusan gunung dan tsunami. Tanpa mengaitkan dengan kuasa Allah, murid akan beranggapan bahawa pergerakan bumi (gunung dan plat tektonik) hanya merupakan fenomena alam. Guru pendidikan Islam seharusnya menggunakan bukti kejadian alam (fenomena alam ini) sebagai contoh ketuhanan Allah. Terdapat dalil naqli yang menyatakan bahawa gunung digerakkan oleh Allah (satu kuasa yang dapat dilihat melalui fenomena alam). Pengajaran dapat dilakukan dengan rentasan mata pelajaran serta penggabungjalinan. Ini bermakna, guru Pendidikan Islam perlu mengetahui sedikit sebanyak isi pelajaran sains natural dan sains sosial.Tidak dapat tidak!!!


Telah diketahui bahawa kaedah soaljawab boleh digunakan untuk menggalakkan murid berfikir menggunakan pengetahuan sedia ada yang digabungkan dengan pandangan (penilaian, justifikasi, andaian, inferens, jangkaan dan sebagainya) untuk membolehkan murid melihat sesuatu fenomena secara lebih luas. Penggunaan penyoalan Sokratik (pelbagai soalan pelbagai dimensi dikemukakan untuk menggalakkan murid berfikir secara aktif dan mencari jawapannya) pelbagai aras domain kognitif Taksonomi Anderson  dan Krathwohl (2000) {mengingat, memaham, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta}, akan dapat meningkatkan daya berfikir murid (pembelajaran berfikrah). Soalan-soalan yang baik (melibatkan kata tanya 5W1H) akan membuat murid meneroka maklumat baru (melalui perbincangan, perkongsian, pencarian maklumat, berkolaborasi) untuk mendapatkan jawapan terbaik. Penggunaan tujuh lingkaran soalan akan memantapkan lagi pemahaman murid tentang sesuatu tajuk atau konsep yang dipelajari.

Pembelajaran kooperatif menyediakan peluang kepada murid untuk berbincang, menyemak dan menilai kefahaman rakan, berkolaborasi dengan orang lain serta melakukan refleksi pembelajaran.

Saya memilih teknik Number-Head-Together (pembelajaran kooperatif) sebagai contoh. Murid akan berada dalam kumpulan masing-masing seramai empat orang setiap kumpulan (sebaiknya untuk peringkat rendah, guru menentukan ahli-ahli kumpulan melibatkan pelbagai gaya belajar dan keupayaan). Setiap ahli dalam kumpulan akan ditandai dengan nombor 1 hingga 4. Guru akan mengemukakan soalan kepada kelas (pastikan soalan-soalan telah disediakan terlebih awal dengan turutan yang betul).

Contoh soalan untuk tajuk aqidah Allah Maha Kuasa.


Apakah maksud kuasa? Apakah yang kamu faham dengan maksud berkuasa? Soalan mencabar konsep (aras mengingat /memaham) lingkaran satu: perkara
Apakah perbezaan antara kuasa dan berkuasa? Soalan mencabar konsep dan interpretasi (aras memaham / menganalisis) lingkaran satu: perkara
Siapakah yang mempunyai kuasa? Soalan meminta penjelasan (aras mengingat) lingkaran tujuh: perkara dan luar
Apakah perbezaan kuasa manusia dan kuasa Allah? Soalan meminta pandangan, penjelasan dan interpretasi tentang konsep (aras memaham) lingkaran lima: perkara dan luar
Sejauh manakah manusia dapat menunjukkan kuasanya? Soalan mengenai pandangan (aras menilai) lingkaran lima: perkara dan luar
Mengapakah kuasa manusia dikatakan bergantung kepada kuasa Allah? Soalan meminta alasan dan penjelasan (aras menganalisis) lingkaran lima: perkara dan luar
Bagaimanakah caranya Allah menunjukkan kuasaNya ke atas manusia dan alam semesta? Soalan meminta penjelasan (aras memaham) lingkaran lima: perkara, dan luar
Apakah contoh-contoh kuasa Allah ke atas manusia dan alam semesta?.Soalan meminta alasan dan bukti (aras memaham)
Bilakah manusia dapat menjadi saksi kepada kekuasaan Allah? Soalan meminta penjelasan (aras mengingat)
Mengapakah percaya kepada Allah Maha Berkuasa menjadi penting dalam kehidupan anda? Soalan implikasi dan akibat (aras menganalisis) lingkaran empat
Apakah kemungkinan akan berlaku sekiranya anda tidak percaya dengan kekuasaan Allah? Soalan implikasi dan akibat (aras menilai) lingkaran empat

Bagaimanakah dapat anda rancangkan satu program lawatan sehari ke suatu tempat yang dapat menjelaskan kekuasaan Allah ke atas semua makhluk? Soalan mencabar kefahaman (aras mencipta).


Nota: Lebih banyak soalan boleh dikemukakan dan ia bergantung kepada tahap murid. 
Bagaimanakah kepercayaan kepada kuasa Allah dapat mengukuhkan iman?


Guru akan memberikan waktu untuk murid berbincang dalam kumpulan. Kemudian guru akan memanggil nombor secara rawak (antara nombor 1 hingga 4) dan murid dengan nombor yang dipanggil akan menjawab bagi pihak kumpulannya. Untuk menjimatkan masa atau untuk melatih murid meningkatkan kemahiran mendengar, guru boleh mengemukakan dua atau tiga soalan sekaligus (bergantung kepada tahap murid) dan murid yang dipanggil nombornya akan menjawab soalan-soalan yang berlainan walaupun semua murid telah membincangkan soalan yang sama. Harus diingat bahawa dengan berfikir dan berbincang untuk mencari  jawapan secara aktif, proses ingatan akan dapat bertahan lebih lama berbanding sekadar mendengar fakta dan maklumat daripada guru secara pasif.

Guru boleh mengakhiri kelas dengan mengedarkan borang pengurusan grafik banding beza antara kuasa makhluk dan kuasa Allah. Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, murid akan membuat rumusan sendiri tentang Allah Maha Berkuasa.

KAEDAH PENDIDIKAN ISLAM 11 - Pengajaran Aqidah (Kaedah Soal Jawab)

Dalam pos yang lalu saya telah memuatnaik kaedah perbincangan untuk pengajaran aqidah. Guru boleh menggunakan teknik pembelajaran koperatif (yang telah saya kemukakan sebahagiannya) untuk melaksanakan perbincangan dalam kumpulan kecil dengan guru menjadi pembimbing yang akan memantau perjalanan aktiviti perbincangan. Selanjutnya saya kemukakan kaedah soaljawab, juga untuk mengajar aqidah Islam.

Kaedah Soaljawab
Kaedah soaljawab dapat merangsang murid untuk berfikir ke tahap pemikiran tinggi (Higher Order Thinking) melibatkan tahap analisis, sintesis dan penilaian menurut domain kognitif Taksonomi Bloom. Ia dapat dilakukan sekiranya guru telah menguasai kemahiran penyoalan Sokratik. Murid akan cuba mengenalpasti maklumat yang belum diketahui atau menyusun maklumat sedia ada untuk menjawab soalan yang dikemukakan. Kaedah ini melibatkan intyeraksi dua hala guru - murid.

Ciri-ciri
  1. Melibatkan pemikiran aras tinggi
  2. Merangkumi enam aras domain kognitif Taksonomi Bloom serta tujuh (7) lingkaran soalan
  3. Menggalakkan daya fikir pada aras tinggi dan pembelajaran berfikrah
Langkah-langkah
  1. Semua soalan hendaklah dirancang terlebih dahulu dan dipastikan sesuai dengan tahap kebolehan murid untuk berfikir
  2. Gunakan istilah yang boleh difahami oleh murid
  3. Kemukakan soalan untuk seluruh kelas sebelum menentukan murid yang akan menjawab
  4. Berikan masa untuk murid memikirkan jawapannya.
  5. Sebaran soalan perlu menyeluruh dan tidak ditumpukan hanya kepada beberapa murid tertentu untuk menjawabnya.
  6. Pastikan soalan yang dikemukakan adalah jelas, ringkas dan tepat.
Lihat juga kaedah perbincangan dan kaedah inkuiri

    Teknik Pembelajaran Koperatif

    Think-Pair-Share
    Melibatkan tiga langkah struktur koperatif. Dalam langkah pertama murid akan berfikir secara senyap mengenai persoalan yang dikemukakan oleh guru. Murid kemudian akan berpasangan dalam langkah kedua sambil bertukar maklumat dan pendapat. Dalam langkah ketiga setiap pasangan akan berjumpa dengan pasangan yang lain dari kumpulan sama atau dari kumpulan lain untuk bertukar-tukar maklumat dan pendapat.

    Jigsaw
    Kumpulan lima orang ahli akan dibentuk. Setiap ahli kumpulan akan diberikan satu bahan yang unik untuk dipelajari. Ia kemudian perlu mengajar tentang bahan tersebut kepada ahli kumpulannya. Untuk membantu dalam pembelajaran, ahli kumpulan lain yang diberikan bahan yang sama akan duduk bersama membincangkan apa dan bagaimana untuk mengajarkan bahan tersebut. Setelah menguasainya, ahli akan balik ke kumpulan masing-masing untuk mengajarkan tentang bahan atau tajuk yang telah dikuasainya.

    Pasangan
    Murid masuk dalam kumpulan pembelajaran koperatif terdiri daripada empat orang ahli. Pasangan akan bergerak keluar daripada kumpulan manakala satu lagi pasangan diberikan tugasan untuk dikuasai untuk membolehkannya mengajar pasangan yang telah keluar. Pasangan kedua ini akan belajar dan dibolehkan bertanya kepada pasangan lain yang mempunyai tugasan yang sama. Kedua-dua pasangan dari satu kumpulan akan berhimpun semula. Setiap orang dari pasangan yang telah belajar akan mengajar rakannya dari pasangan yang telah keluar tadi. Setiap ahli akan menyemak sejauh mana mereka telah menguasai apa yang telah dipelajari dan mereka akan berusaha untuk memperbaiki proses yang dijalani.

    RoundRobin.
    Setiap ahli dalam kumpulan akan berkongsi maklumat atau pendapat tentang isu atau topik yang diperbincangkan.

    Number Head Together
    Guru akan memastikan ahli kumpulan diberikan nombor (1, 2, 3 dan 4) dalam setiap kumpulan. Guru akan bertanyakan soalan. Murid akan berbincang untuk mendapatkan jawapan yang terbaik. Guru akan memanggil mana-mana nombor secara rawak dan murid dengan nombor berkenaan perlu memberikan jawapan bagi pihak kumpulannya. Murid dengan nombor yang lain tidak dibenarkanmenjawab.

    Co op co op
    Murid bekerja / belajar dalam kumpulan untuk menghasilkan / mendapatkan satu produk / maklumat / fakta yang akan dikongsikan dengan seluruh kelas. Setiap murid akan memberikan sumbangan.

    Thursday, 14 July 2011

    KAEDAH PENDIDIKAN ISLAM 1- Aqidah (Kaedah Perbincangan)

    (Bahan ini dipetik daripada Modul 8 - KPI oleh Shamsina Shamsuddin, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral , IPG Kampus Pendidikan Islam, yang tidak diterbitkan)

    KAEDAH PENGAJARAN AQIDAH

    Pengajaran aqidah di sekolah bertujuan  untuk memantapkan aqidah murid beragama Islam menerusi peneguhan iman, pemupukan sifat dan sikap sebagai manusia (makhluk hamba) yang sedar dan insaf serta menunaikan tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara termasuk alam sekitar. Untuk mencapai tujuan ini, guru perlu menggandingkan kaedah yang dapat menggabungkan bukti-bukti aqli dan naqli serta mampu menggerakkan pemikiran murid secara rasional untuk menerima dan berpegang kepada kepercayaan beriman kepada Allah dalam setiap tajuk yang diajar.

    a) Kaedah Perbincangan

    Definisi: Kaedah yang melibatkan aktiviti pembelajaran melalui percambahan dan pertukaran idea serta perkongsian maklumat tentang sesuatu perkara atau isu. Murid akan berbincang, bertukar fikiran dan maklumat berkaitan untuk memantapkan pemahaman terhadap konsep, membina konsep yang baru, membuat keputusan serta menyelesaikan masalah. Melalui perbincangan, idea-idea yang menyokong atau menentang akan dibangkitkan untuk mendapatkan satu kesimpulan pemahaman yang lebih mantap dan jitu. Perbincangan kelas (atau kumpulan kecil) yang dirancang dengan rapi akan dapat merangsang minat murid untuk menambahbaik pengetahuan lama serta menambah pengetahuan serta kemahiran yang baru.

    b) Ciri-ciri:

    • Melibatkan sekumpulan pelajar untuk kumpulan besar dan beberapa pelajar dalam kumpulan-kumpulan kecil.
    • Mempunyai seorang ketua (pengerusi) dan pencatat
    • Tempoh masa perbincangan ditetapkan
    • Hasil perbincangan dibentangkan oleh seorang atau lebih wakil kumpulan (sebaiknya dipilih secara rawak) 
    c) Sasaran: Murid kumpulan normal ke atas, aktif dan berdaya fikir.

    d) Prosedur:

     Persediaan: 
    1. tentukan tajuk, perkara atau isu perbincangan serta objektifnya.
    2. sediakan garis panduan, prosedur dan jadual
    3. sediakan bahan bantu untuk menyokong dan membantu perbincangan
    4. tempat yang sesuai
    5. sekiranya perlu, pastikan tidak terlalu ramai ahli dalam setiap kumpulan kecil 
    Pelaksanaan:
    1. Agihkan tajuk
    2. beri peluang kepada murid untuk bersoal jawab, membuat komen, memberikan cadangan atau membuat pembetulan
    Tindakan susulan:
    1. Rumusan oleh guru merangkumi isi, proses dan unsur-unsur kemahiran berfikir
    2. Refleksi pembelajaran oleh murid (boleh menggunakan borang reflective rationality jika perlu)

    Sila lihat juga aplikasi kaedah soal jawab



    dan kaedah inkuiri





     


    Pembelajaran Koperatif


    Pembelajaran Koperatif
    Pembelajaran koperatif merupakan strategi pengajaran yang baik di mana kelompok pembelajaran kecil, setiap satunya dengan ahli yang mempunyai keupayaan yang berbeza, menggunakan pelbagai aktiviti pembelajaran untuk menambahbaik pemahaman mereka tentang sesuatu perkara / topik. Setiap ahli bertanggungjawab bukan sekadar mempelajari apa yang diajarkan tetapi membantu ahli lain untuk belajar. Dengan itu, ia dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk mencapai kejayaan. Murid-murid akan melaksanakan tugasan sehingga semua ahli Berjaya memahami dan menyelesaikannya. 

    Kerjasama yang ditunjukkan membolehkan setiap ahli:
    ·        Mendapatkan kejayaan atas usaha ahli lain (kejayaan anda menguntungkan saya dan kejayaan saya menguntungkan anda)
    ·        Mengakui bahawa semua ahli akan berkongsi nasib yang sama (susah bersama dan senang bersama)
    ·        Tahu bahawa pencapaian seorang ahli sebenarnya berpunca daripada dirinya serta ahli kumpulannya (kita tidak dapat melakukannya tanpa anda)
    ·        Merasa bangga dan sama-sama merayakan kejayaan apabila pencapaian ahli kumpulan mendapat penghargaan (kami mengucapkan tahniah atas kejayaan anda)

    Mengapa Menggunakan Pembelajaran Koperatif?
    Kajian menunjukkan teknik pembelajaran koperatif:
    ·        Menggalakkan pembelajaran dan pencapaian akademik
    ·        Meningkatkan pengekalan daya ingatan
    ·        Mendorong kepuasan murid melalui pengalaman pembelajaran mereka
    ·        Membantu murid membina kemahiran komunikasi lisan
    ·        Membina kemahiran social murid
    ·        Meningkatkan harga diri murid
    ·        Membantu dalam pertandingan sihat

    5 Elemen Pembelajaran Koperatif
    1.      Saling kebergantungan yang positif
    a.      Usaha setiap ahli diperlukan secara kumpulan untuk mencapai kejayaan
    b.      Setiap ahli kumpulan akan menyumbang untuk memastikan usahasama disebabkan oleh rasa tanbggungjawab serta peranannya yang unik.
    2.      Interaksi berdepan
    a.      Menjelaskan secara lisan bagaimana sesuatu masalah itu akan diselesaikan
    b.      Berkongsi ilmu pengetahuan dengan ahli lain
    c.      Menyemak kefahaman ahli
    d.      Membincangkan konsep yang telah dipelajari
    e.      Menghubungkan pembelajaran lalu dengan pembelajaran yang baru
    3.      Tanggungjawab individu dan kelompok / kumpulan
    a.      Mengekalkan bilangan ahli yang kecil. Semakin kecil bilangan ahli semakin tinggi nilai tanggungjawab yang dipikul
    b.      Secara rawak murid diuji dengan cara meminta seorang ahli membentangkan hasil perbincangan
    c.      Memantau setiap kumpulan serta merakamkan kekerapan ahli menyumbang kepada kumpulan
    d.      Memastikan murid mengajar rakan yang masih belum menguasai pelajaran
    e.      Melantik seoranmg ahli selaku ketua yang akan menyemak jawapan ahli
    4.      Kemahiran interpersonal dan kumpulan kecil
    a.      Kemahiran social diajarkan meliputi kemahiran kepimpinan, membuat keputusan, membina keyakinan, komunikasi dan kemahiran menguirus konflik
    5.      Proses kumpulan
    a.      Ahli kumpulan membincangkan sejauh mana mereka telah mencapai matlamat serta dapat mengekalkan hubungan kerjasama yang baik
    b.      Menjelaskan apakah tindakan ahli yang benar-benar telah membantu atau tidak membantu ke arah kejayaan kumpulan
    c.      Membuat keputusan tentang apakah bentuk tingkahlaku yang perlu diteruskan atau diubah

    Fasa-fasa pembelajaran koperatif di dalam bilik darjah (dipetik daripada Palmer, G., Peters, R., & Streetman, R. (2003). Cooperative learning. In M. Orey (Ed.), Emerging perspectives on learning, teaching, and technology. Retrieved 20th April 2013, from http://projects.coe.uga.edu/epltt/


    Antara Aktiviti Pembelajaran Koperatif
    1.      Think-Pair-Share
    2.      Jigsaw
    3.      Sumbangsaran RoundRobin
    4.      Temubual Tiga-Langkah
    5.      Numbered Heads Together
    6.      Team Pair Solo
    7.      Pasangan
    8.      Semakan pasangan
    9.      Roundtable
    10.   Inside-Outside Circle
    11.   Co-op Co-op
    12.   Who Am I
                 Dan banyak lagi

     diambil daripada
    https://docs.google.com/?hl=en&tab=io&authuser=0#home 
    pada 15 Julai 2011

    Sedikit Mengenai Penyelidikan Tindakan

    Ciri utama penyelidikan tindakan 
    Di Amerika, apa juga bentuk penyelidikan yang menyimpang daripada paradigma tradisional (kuantitatif) sering dilabelkan sebagai penyelidikan tindakan sehinggakan terdapat golongan penyelidik etnografi melabelkan penyelidikan mereka sebagai penyelidikan tindakan.  Apakah sebenarnya yang mencirikan sesuatu penyelidikan itu sebagai penyelidikan tindakan yang dikaitkan dengan para guru dan pentadbir sekolah? John Elliot menjelaskan penyelidikan tindakan sebagai penyelidikan yang mempunyai ciri-ciri berikut:
    1. Mempunyai matlamat pedagogi merangkumi semua aspek pendidikan yang baik (unggul) dan merangkumi semua mereka yang terikat dengan tanggungjawab untuk merealisasikan matlamat pedagogi tersebut di dalam amalan bekerja mereka,
    2. Berfokus kepada mengubah amalan bekerja untuk memastikan amalan tersebut menjadi lebih tekal (konsisten) dengan matlamat pedagogi,
    3. Mengumpulkan bukti-bukti sejauh mana amalan tersebut tekal atau tidak tekal dengan matlamat pedagogi
    4. Mengenalpasti dan menjelaskan ketidaktekalan antara aspirasi dan amalan. Ketidaktekalan ini menimbulkan masalah andaian-andaian dan segala kepercayaan (teori) yang secara tidak disedari telah mengukuhkan amalan dalam bilik darjah.
    5. Melibatkan para guru (pendidik) dalam proses menjana dan menguji bentuk-bentuk tindakan yang baru untuk merealisasikan aspirasi mereka seterusnya membolehkan para guru membina semula teori-teori yang dijadikan panduan dalam amalan mereka.
    6. Ia merupakan proses pedagogi yang dicirikan oleh reflexivity (tindakan refleksif) guru. Dari perspektif penyelidikan tindakan, mengajar merupakan satu bentuk penyelidikan dan begitulah sebaliknya.

    Bukan penyelidikan tindakan
    Guru perlu memahami bahawa penyelidikan tindakan bukanlah projek atau kajian keperpustakaan yang bertujuan untuk mempelajari atau mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut tentang perkara-perkara yang menarik minat seperti hobi dan sebagainya. Penyelidikan tindakan juga bukan satu bentuk penyelesaian masalah yang bermula daripada mencari punca masalah tetapi penyelidikan tindakan merupakan satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan tentang bagaimana melaksanakan penambahbaikan amalan.
    Penyelidikan tindakan bukan kajian ke atas manusia atau mengenai manusia. Ia juga bukan satu penyelidikan untuk mencari maklumat mengenai sesuatu topik untuk mendapatkan jawapan sebenar / betul / tepat. Penyelidikan tindakan bukan mengenai pembelajaran mengapa kita melakukan sesetengah atau sesuatu perkara (amalan) tetapi bagaimana kita (guru dan pendidik) boleh melakukannya (amalan) dengan lebih baik. Ia mengenai bagaimana kita (guru dan pendidik) boleh mengubah cara pengajaran agar dapat meninggalkan impak yang berkesan ke atas murid / pelajar.

    Penyelidikan tindakan yang baik
    Merealisasikan nilai-nilai pendidikan: Sebuah penyelidikan tindakan yang baik dikenalpasti dengan adanya nilai-nilai para pengamal yang ingin direalisasikan dalam amalan bekerja mereka. Dalam dunia pendidikan, nilai-nilai ini didefinisikan sebagai nilai pendidikan yang ingin direalisasikan oleh guru. Nilai-nilai pendidikan merupakan semua perkara yang dinilai penting untuk berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran yang baik meliputi aspek ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Nilai-nilai pendidikan ini akan menetapkan kriteria yang dapat mewakili pengetahuan dan kemahiran kepada murid / pelajar. Antaranya termasuklah nilai memahami, nilai inkuiri, nilai penemuan, nilai autonomi, nilai koperatif dan sebagainya yang dapat menjelaskan kualiti hubungan antara pengajaran dan pembelajaran. Penyelidikan tindakan yang baik seharusnya bersifat pendidikan iaitu ia berbentuk inkuiri reflektif yang membolehkan guru menyedari tentang ciri-ciri kualiti hubungan pengajaran dan pembelajaran tersebut. Ujian untuk sebuah penyelidikan tindakan yang baik adalah sangat pragmatik. Adakah kesan penyelidikan tersebut dapat menambahbaik kualiti transaksi pendidikan antara guru dan murid-muridnya? Sebuah penyelidikan yang baik mungkin gagal dalam ujian ini sekiranya ia menjana bukti yang dapat menjelaskan mengapa penambahbaikan itu mustahil (untuk diperolehi dan dilaksanakan) dalam keadaan dan situasi tersebut; kes di mana justifikasi toleransi sementara dibuat ke atas status quo. Dalam setiap kes penyelidikan tindakan menyediakan asas untuk membuat keputusan yang bijak. Keputusan untuk menunggu dengan sabar sehingga sampai masa yang sesuai manakala keadaan pula membuka ruang kepada peluang yang lebih sesuai kadangkala adalah lebih bijak daripda usaha yang diulang-ulang untuk memulakan perubahan.

    Mengintegrasi pengajaran dan penyelidikan: Penyelidikan tindakan merupakan suatu penyelidikan yang berterusan dalam proses penyelidikan itu sendiri oleh para pengamal. Sekiranya tidak diketahui sama ada penyelidikan itu dapat menambahbaik amalan guru atau tidak, maka statusnya sebagai penyelidikan tindakan adalah meragukan. Sama ada dalam bentuk pengajaran atau penyelidikan, ia menggabungkan pengajaran dan penyelidikan dalam satu aktiviti. Dalam hal ini, maka sebenarnya tiada alasan bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk melakukan penyelidikan. Apabila strategi pengajaran dilihat sebagai suatu penyiasatan yang hipotetikal untuk merealisasikan nilai-nilai pendidikan, maka strategi tersebut merupakan aktiviti utama dalam proses penyelidikan tindakan: satu proses yang mesti sentiasa dibezakan daripada penyelidikan pendidikan yang dilakukan oleh orang luar (bukan golongan guru atau pendidik). Penyelidikan pendidikan bertujuan untuk merealisasikan nilai-nilai pendidikan dalkam amalan bekerja. Penyelidikan yang dilakukan ke atas pendidikan (research on education) pula bertujuan untuk menjana ilmu pengetahuan mengenai amalan. Penyelidikan pendidikan boleh menggunakan penyelidikan atas pendidikan tetapi akibatnya ialah penjanaan saranan ilmu pengetahuan untuk mendapatkan pemahaman jitu ke atas situasi yang praktikal menjadi kurang penting atau diketepikan.

    Membina kurikulum: Penyelidikan tindakan yang baik sering mempunyai kesan ke atas perkembangan kurikulum. Kurikulum bukan sekadar satu pernyataan tentang isi kandungan pelajaran tetapi ia juga sering menetapkan bentuk bagaimana harus disampaikan kepada murid. Sekiranya dilihat dalam bentuk hasil pembelajaran atau objektif khas pembelajaran, maka mesejnya kepada murid ialah isi kandungan itu perlu dikuasai mengikut turutannya (contoh, kuasai nombor dahulu sebelum menguasai olahan tambah dan sebagainya). Sekiranya pembelajaran masteri secara berturutan ini tidak berlaku, ia menjelaskan satu defisit (kerugian) kepada murid dan akan menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada guru untuk diperbetulkan. Persoalannya, adakah kurikulum sebegitu membolehkan guru mengajar isi kandungan secara konsisten dengan ilmu pengetahuan dan cara murid belajar? Kurikulum merangkumi teori tentang ilmu pengetahuan dan teori pembelajaran. Hanya melalui penyelidikan tindakan segala potensi tentang pendidikan boleh dibuat penilaian. Melalui penyelidikan tindakan bentuk dan isi kandungan kurikulum akan dirombak dan dibina semula. Hal ini sangat benar khususnya di institusi pengajian tinggi yang melaksanakan kurikulum sendiri (amalan pembentukan kurikulum secara desentralisasi). Melalui penyelidikan tindakanlah reka bentuk kurikulum dapat dilaksanakan melalui amalan. Hasil penyelidikan tindakan yang baik bukan sekadar menambahbaik kualiti pengajaran guru tetapi ia juga menambahbaik rekabentuk kurikulum dan cara bagaimana guru lain boleh mencapai kualiti tersebut. Penyelidikan tindakan yang baik bukan sekadar untuk pengetahuan peribadi penyelidiknya sajhaja tetapi perlu dikongsikan serta terbuka kepada kawalan dan penelitian professional.

    Melibatkan pengajaran refleksif dan bukan sekadar reflektif: Penyelidikan tindakan yang baik akan menjana bukti untuk menyokong kualiti pengajaran (pedagogi). Penyelidikan yang berfokus kepada selain daripada syarat-syarat pedagogi, walaupun dilakukan oleh guru, sebenarnya bukanlah merupakan penyelidikan tindakan yang baik. Sesiapa pun sebenarnya boleh melakukan refleksi tentang apa sahaja yang bukan merupakan tindakan oleh dirinya sendiri (Pengajaran refleksif merujuk kepada peranan atau fungsi guru sebagai pelajar (colearner) yang mempunyai kepercayaan, pengetahuan, kecekapan dan motivasi yang unik serta memainkan peranan yang berbeza daripada murid dimana guru mempunyai tanggungjawab untuk mereka bentuk dan melaksanakan pengajaran sedangkan murid pula terlibat dengan tugasan dan pembelajaran. Fokus guru dalam pengajaran refleksif adalah dirinya sendiri serta andaian-andaian yang dibuat ke atas pengajarannya). Bukti hasil pembelajaran murid tidak secara terasing menunjukkan bukti kualiti pengajaran. Hasil pembelajaran perlu diperjelaskan kerana kualiti guru bukanlah merupakan satu-satunya penjelasan ke atas kejayaan atau kegagalan murid. Bukti-bukti lain perlu dikumpulkan sebelum sumbangan atau kesan pengajaran ke atas hasil pembelajaran boleh dibuat pertimbangan. Data hasil pembelajaran boleh menyumbang kepada penjelasan hipotesis tetapi hipotesis perlu dibuat ujian ke atas bukti proses pedagogi. Menilai kualiti hasil pembelajaran dan menilai kualiti pengajaran adalah dua perkara yang berbeza.

    Melibatkan pengumpulan data mengenai pengajaran dari pelbagai sudut: Bukti-bukti mengenai kualiti pengajaran boleh diperolehi daripada pelbagai sumber: pandangan atau rekod amalan pengajaran guru, pandangan murid tentang pengajaran guru, pemerhatian oleh rakan sejawat, ibu bapa atau penjaga yang memantau pembelajaran anak-anak mereka serta rakaman audio dan video yang menunjukkan transaksi guru – murid. Kepelbagaian pengumpulan data ini dikenali sebagai triangulasi. Tiga sumber utama perolehan data adalah daripada pemerhati, guru dan murid-muridnya. Perbadingan data akan dibuat antara ketiga-tiga sumber berkenaan.

    Mendefinisikan petunjuk kualiti: Bagaimanakah guru boleh mengesan “bukti-bukti” kualiti pengajaran? Bagaimanakah mereka tahu apa yang hendak dicari sebagai bukti kualiti pengajaran? Apakah bentuk perlakuan yang boleh dipertimbangkan untuk dijadikan petunjuk kualiti yang hendak direalisasikan dalam amalan? Petunjuk kualiti tidak boleh diberikan definisi awal kerana adalah menjadi tugas penyelidikan tindakan itu sendiri untuk memberikan definisinya. Apabila seorang guru memilih arah tindakan tertentu sebagai alat atau cara (means) untuk merealisasikan nilai-nilai pendidikannya di dalam amalan bekerjanya, ia sebenarnya sedang meneroka persoalan tersebut. Tindakan apakah pula yang menunjukkan nilai-nilai tersebut? Oleh itu, bukti-bukti perlu dikumpulkan untuk menentukan sama ada alat atau cara yang dipilih itu menjadi petunjuk kepada nilai-nilai pendidikan yang didokong oleh guru. Ia mungkin memilih satu arah tindakan dengan kepercayaan bahawa murid dapat digalakkan untuk bertanya tentang isi kandungan pelajaran (subject matter) dan mendapati kepercayaannya itu meragukan jika triangulasi data diambil kira. Murid mungkin melaporkan bahawa pengalaman mereka menunjukkan tindakan tersebut menjadi halangan kepada kebebasan mereka untuk bertanya dan laporan tersebut mungkin konsisten dengan pemerhatian yang dibuat ke atas tindakbalas murid. Bukti memaparkan tindakan guru diragukan sebagai petunjuk kualiti dan mencabar guru tersebut untuk mendefinisikan semula apakah perkara yang terkandung sebagai amalan baik dalam keadaan / situasi yang dihadapinya.

    Petunjuk kualiti pendidikan ditentukan melalui penyelidikan tindakan dan bukan sebelumnya. Spesifikasi awal petunjuk kualiti telah menetapkan apa yang guru perlu lakukan untuk merealisasikan nilai-nilai pendidikan. Dengan memiawaikan (standardizing) tindakbalas lebih awal, guru didedahkan  ketidakpekaan mereka kepada konteks dan menggantikan penyelidikan tindakan dengan penilaian yang telah dipiawaikan. Penyelidikan tindakan yang baik mengakui fakta bahawa apa yang membentuk kualiti dalam pengajaran tidak boleh didefinisikan secara terasing daripada set keadaan yang dihadapi oleh guru dalam bilik darjah. Ia boleh didefinisikan di tempat punca asalnya (in situ) melalui penyelidikan tindakan. Melalui penyelidikan tindakan guru mungkin membuat anggapan umum tentang petunjuk-petunjuk dalam konteks yang luas tetapi hasil keputusan yang diperolehi akan menyediakan hipotesis kepada guru untuk mengujinya dalam bilik darjah dan bukan sebagai petunjuk terus yang boleh membantutkan guru daripada membuat pertimbangan akhir tentang apakah tindakan yang menjadi petunjuk kualiti dalam keadaan atau situasi tertentu. Penyelidikan yang baik mengambil kira pertimbangan sebegitu dibuat dalam data kes yang telah ditriangulasikan.

    Lain-lain bahan berkaitan:
    http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html

    http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/10/tidak-jelas-tentang-kajian-tindakan.html 

    http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/02/betulkah-apa-yang-dilakukan-ini-adalah.html  
    http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/04/kesalahan-lazim-semasa-melakukan-kajian.html
    http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html