Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Wednesday, 21 March 2012

Pembelajaran Koperatif

Pembelajaran Abad 21-Pembelajaran koperatif meningkatkan pencapaian akademik pelajar
Oleh Shamsina Shamsuddin
IPG KPI Bandar Baru Bangi Selangor Darul Ehsan

(Kertas yang dibentangkan kepada guru-guru PGSR di IPG KPI, Khamis 22 Mac 2012)

Apakah pembelajaran koperatif?

·         Pembelajaran koperatif merupakan strategi pengajaran di mana kumpulan-kumpulan kecil pelajar, biasanya antara 2 hingga 6 orang ahli, bekerjasama untuk memaksimumkan pembelajaran individu dan kumpulan.
·         Setelah ahli-ahli kelas disusunkan ke dalam kumpulan-kumpulan kecil dan menerima arahan daripada guru, pelajar dalam kumpulan mereka, akan bekerjasama antara satu dengan lain dan menyempurnakan tugasan sehingga setiap ahli berjaya memahami dan menyelesaikan tugasan tersebut.
·         Akhirnya matlamat utama pembelajaran akan tercapai secara individu dan kumpulan.

Bagaimanakah bentuk model koperatif?

·         Pelajar melaksanakan tugasan secara bekerjasama berbanding dengan model tradisional di mana murid belajar secara bersendirian.
·         Ahli kumpulan bertanggungjawab ke atas pembelajaran secara individu dan kumpulan.
·         Keahlian kumpuan terdiri daripada pelajar cerdik, sederhana dan pencapaian rendah
·         Kumpulan berbentuk heterogeneous (jantina, bangsa, budaya, agama dan status sosio-ekonomi)
·         Ahli kumpulan menyumbangkan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan sumber pembelajaran kepada kumpulan
·         Ahli kumpulan bekerjasama (cooperate) dan berkolaborasi (collaborate)
·         Ahli kumpulan akan mendapat faedah daripada sumbangan ahli
·         Ahli kumpulan akan mempelajari pengetahuan dan kemahiran baru
·         Ganjaran diberikan dalam bentuk individu dan kumpulan

Lima elemen pembelajaran koperatif

1.       Saling bergantung positif
a.       Tugasan dan matlamat didefinisikan dengan jelas
b.      Usaha setiap ahli akan memberi faedah kepada ahli kumpulan
c.       Komitmen dibuat untuk mencapai kejayaan individu dan kejayaan kumpulan
2.       Tanggungjawan individu dan kumpulan
a.       Setiap ahli perlu membuat sumbangan
b.      Setiap ahli bertanggungjawab untuk membantu kumpulan mencapai objektif pembelajaran
3.       Kemahiran interpersonal dan kumpulan kecil
a.       Setiap ahli kumpulan mesti
                                                               i.      Bermotivasi
                                                             ii.      Menjadi pemimpin berkesan
                                                            iii.      Mampu membuat keputusan
                                                           iv.      Boleh membina kepercayaan ahli
                                                             v.      Boleh berkomunikasi dengan berkesan
                                                           vi.      Mampu mengendalikan konflik
4.       Interaksi berse muka – pelajar.....
a.       Membantu kejayaan ahli dengan berkongsi sumber
b.      Menggalakkan, membantu dan menghargai usaha ahli kumpulan
c.       Menyokong perkembangan akademik dan peribadi ahli
d.      Menjelaskan bagaimana menyelesaikan masalah
e.      Mengajar antara satu dengan lain (peer teaching)
f.        Menyemak kefahaman setiap ahli
g.       Membincangkan konsep yang telah dipelajari
h.      Mengaitkan pembelajaran masa kini dengan pembelajaran lalu
i.         Mendorong pencapaian matlamat kumpulan
5.       Proses kumpulan (refleksi) pelajar ....
a.       Berkomunikasi secara terbuka, bebas, saling menghormati dalam perbincangan perkara yang diberikan perhatian
b.      Mengekalkan perhubungan kerjasama yang efektif
c.       Menjelaskan tindakan ahli yang membantu / tidak membantu
d.      Membuat keputusan tentang  tingkahlaku yang perlu diteruskan/diubah/dihentikan
e.      Memproses status pencapaian matlamat

Keperluan kumpulan pembelajaran koperatif yang berkesan

1.       Penyertaan
a.       Setiap ahli perlu menyumbangkan masa dan tenaga
b.      Terlibat dalam proses membuat keputusan
2.       Saling mempercayai
a.       Saling mempercayai antara satu dengan lain untuk menyumbang
3.       Komunikasi
a.       Dengar dan hormati pandangan ahli lain
b.      Menyumbang idea
c.       Bertanya soalan apabila penjelasan diperlukan
d.      Berikan maklumbalas konstruktif

Sokongan teori dan kajian ke atas pembelajaran koperatif serta kesannya

·         Terdapat lebih 900 kajian yang mengesahkan keberkesanan pembelajaran koperatif jika dibanding dengan usaha individu dan pertandingan sihat.
·        
     Kajian ini dibuat oleh para pengkaji yang berlainan dari seluruh dunia. Peserta kajian juga berbagai dan berbeza : latar belakang budaya, status sosio-ekonomi, umur dan jantina di samping terlibat dengan pelbagai tugasan yang dilaksanakan dalam kajian. Selain itu pelbagai pembolehubah bersandar telah digunakan.
·        
     Dapatan kajian secara berulang menunjukkan bahawa pelajar yang  dapat menyelesaikan tugasan kumpulan pembelajaran koperatif lebih cenderung untuk memperolehi markah pencapaian akademik yang tinggi, harga diri yang tinggi, menguasai lebih banyak kemahiran sosial, kurang stereotype serta pemahaman dan penguasaan lebih baik tentang konten kemahiran berkaitan topik dan mata pelajaran yang mereka pelajari lebih baik

Bilik darjah sebagai cermin bersosial (social mirror)

Kajian tentang pembelajaran koperatif bermula pada akhir tahun 1890han apabila Triplett (1898) di Amerika Syarikat dan Meyer (1903) di German mengendalikan satu siri kajian ke atas faktor-faktor yang boleh dikaitkan dengan pencapaian yang kompetitif.

John Dewey seterusnya mengikut langkah Triplett dan Meyer dengan menghasilkan buku “Democracy and Education” pada tahun 1916. Dewey berhujjah dengan mengatakan bilik darjah sepatutnya mencerminkan masyarakat yang lebih besar dan menjadi makmal kepada pembelajaran kehidupan sebenar.

Johnson & Johnson memberi fokus kepada pembinaan struktur khusus yang boleh digabungkan  dalam pelbagai kurikulum dengan memberikan penekanan kepada pengintegrasian kemahiran sosial dengan tugasan akademik.

Kagan pula menumpukan kepada penggunaan pelbagai struktur yang berlainan untuk membantu memudahcara pembelajaran aktif, kerja berpasukan dan kemahiran kumpulan.

Slavin menggunakan kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh Johnson & Johnson dan Kagan hingga terbentuk struktur pembeljaran yang spesifik.

Model

Pinsip-prinsip pembelajaran koperatif tidak berubah. Perkara yang dibuat kajian dan berubah hanya modelnya sahaja.

Model Pembelajaran Koperatif
Masa
Pengkaji
Belajar bersama
Pertengahan 1960han
Johnson & Johnson
Pasukan – Permainan – Perlawanan (Group – Games – Tournament)
Awal 1970han
De Vris & Edwards
Penyiasatan Kumpulan
Pertengahan 1970han
Sharan & Sharan
Pembinaan Kontroversi Akademik (Constructive Academic  Controversion)
Pertengahan 1970han
Johnson & Johnson
Jigsaw
Akhir 1970han
E Aronson & Associates
STAD (Student Teams Achievement Division)
Akhir 1970han
Slavin & Associates
TAI (Team Assisted Individualization)
Awal 1980han
Slavin & Associates
Cooperative Learning Structures
Pertangahan 1980han
Kagan
Complex Instruction
Awal 1980han
Cohen
CIRC (Cooperative Integrated Reading and Composition)
Akhir 1980han
Stevens, Slavin & Associates


Schlomo Sharan menggunakan pembelajaran koperatif sebagai alat untuk menjelaskan ketidakseimbangan sosial. Sharan dan rakan-rakan di Universiti Tel Aviv menggunakan pembelajaran koperatif  untuk meninjau prejudis bangsa antara kumpulan-kumpulan Yahudi di Israel selepas perpecahan Soviet Union. Kajian beliau menunjukkan dengan jelas bahawa kaedah pengajaran mempengaruhi kerjasama dan tingkahlaku kompetitif dengan syarat tiga keadaan di bawah ini terpenuhi:
1.       Tiada hubungan kerjasama antara etnik
2.       Berlaku dengan syarat terdapat persamaan status antara ahli-ahli pelbagai kumpulan
3.       Setingnya mendapat kebenaran rasmi kerjasama antara etnik.

Sharan mendapati pengalaman pembelajaran koperatif membolehkan pelajar memahami  bagaimana satu-satu situasi itu dilihat oleh orang lain dan bagaimana orang berkenaan memberi reaksi kognitif dan emosi terhadap situasi berkenaan. Pembelajaran koperatif mengurangkan egocentrism dan membuka pandangan pelajar sehingga mereka tidak sedar tentang pandangan lain serta limitasi perspektif mereka sendiri.

Kajian yang dibuat oleh Roger dan David Johnson, serta rakan-rakan mereka, menyediakan asas bagaimana pembelajaran koperatif distrukturkan dalam kebanyakan bilik darjah hari ini. Kajian mereka menunjukkan bahawa hanya disebabkan oleh pelajar bekerja dalam kumpulan kecil tidak bermakna mereka bekerjasama untuk memastikan pembelajaran mereka dan pembelajaran kesemua ahli kumpulan.

Kajian tambahan yang telah dibuat merumuskan bahawa semakin ramai pelajar mengambil berat ke atas orang lain, semakin bersungguh-sungguh mereka akan bekerja untuk mencapai matlamat pembelajaran yang dipersetujui bersama. Usaha jangka panjang dan berterusan untuk mencapai kejayaan bukan timbul di dalam kepala (pemikiran) tetapi di dalam hati (perasaan)

Menurut Johnson, Johnson, Holubec dan Roy, perkara penting dalam pembelajaran koperatif ialah
1.       Saling bergantung secara positif (tenggelam atau berenang bersama)
2.       Interaksi yang saling mendorong (muka ke muka, berdepan)
3.       Akauntabiliti individu dan kumpulan
4.       Mengajar kemahiran interpersonal dan kumpulan kecil yang diperlukan
5.       Proses kumpulan (refleksi)

Elemen Pembelajaran Koperatif

Johnson & Johnson telah mengenalpasti empat elemen khusus yang agak penting untuk memaksimumkan pencapaian.
1.       Struktur tugasan koperatif
2.       Struktur insentif koperatif
3.       Akauntabiliti individu
4.       Kumpulan heterogeneous

Robert Slavin membuat perbandingan antara kaedah pembelajaran koperatif dengan pembelajaran tradisional. Beliau mendapati pelajar yang menyertai pembelajaran koperatif menerima kesan positif disebabkan kesan motivasi, kesam perkembangan kognitif dan kesan penghuraian kognitif.

Spenser Kagan telah membentuk lebih daripada 100 struktur yang digabungkan dengan asas prinsip pembelajaran koperatif. Beliau telah melatih lebih daripada 20,000 guru melalui bengkel dan konferens. Menurut Kagan, kaedah yang digunalan bukan sebagai gantian kaedah tetapi kaedah yang boleh digabungkan ke dalam pembelajaran koperatif.

Dapatan Kajian

·         Pembelajaran koperatif merupakan strategi terbaik yang telah dibuat kajian. Dapatan menunjukkan pelajar yang berpeluang mengikuti kaedah ini dapat berkolaborasi, belajar dengan lebih cepat dan efisien, merasa lebih positif terhadap pelajaran.

6 langkah untuk merancang pembelajaran koperatif

1.       Pilih pendekatan / kaedah (STAD, TAI, CIRC, GI dan sebagainya)
2.       Pilih isi kandungan yang sesuai
3.       Bentuk kumpulan pelajar
4.       Bina bahan pembelajaran
5.       Merancang untuk melatih pelajar tentang tugasan dan peranan mereka
6.       Merancang penggunaan masa dan ruang

Melaksanakan pemgajaran menggunakan kaedah pembelajaran koperatif

1.       Jelaskan matlamat dan tetapkan seting
2.       Sampaikan maklumat atau arahan
3.       Agihkan pelajar ke dalam kumpulan kecil
4.       Bimbing pembelajaran kumpulan

Kekuatan pembelajaran koperatif

Hasil pembelajaran yang lebih baik kerana pelajar bekerjasama untuk mencapai kejayaan individu dan kumpulan
Tidak memerlukan kos yang tinggi dan mudah dilaksanakan

Kelemahan pembelajaran koperatif

Kadar dan keupayaan pelajar untuk belajar adalah tidak sama. Murid lemah tidak akan dapat mengikut rentak murid yang cerdik dalam kumpulan.
Ramai guru gagal untuk melaksanakannya dengan baik kerana tidak menguasai kaedah dan struktur yang dikemukakan.

Rujukan

Allen, Tom. Creating Community In Your Classroom. Virginia Journal of Education, 2000 Jan; 93:6-10.
Arends, R (2009) Learning to Teach (Edisi ke 7). Boston. McGraw Hill.
Aronson, E., N. Blaney, C. Stephan, J. Sikes, and M. Snapp. The Jigsaw Classroom. Beverly Hills, CA: Sage, 1978.
Bossert, S. T. (1988). Cooperative Avtivities in the Classroom. Review of Educational Research.
Cohen, E.G. & Lotan, R.A. Producing equal-status interaction in the heterogeneous classroom. American Educational Research Journal, 32 (1):99-120.
Hendrix, James C. Connecting cooperative learning and social studies. The Clearing House, 1999 Sept-Oct; 73:57.
Johnson, D. W., & Johnson, R. Cooperation and Competition: Theory and Research. Edina, MN: Interaction Book Company, 1989.
Johnson, D. W. & Johnson, R. T. (1996). The Role of Cooperative Learning in Assessing and Communicating Student Learning
Kagan, S. (1994). Cooperative Learning. San Clement, DA. Kagan Publishing
 Leonard, Jacqueline & McElroy, Keith. What one middle school teacher learned about cooperative learning. Journal of Research in Child Education, 2000 Spring-Summer; v14:239.
Magney, John. Working and learning together. Techniques. 1997 Sep; v72:571.
Shachar, H., & Schmuelevitz, H. Implementing cooperative learning, teacher collaboration and teachers’ sense of efficacy in heterogeneous junior high schools. Contemporary Educational Psychology. 1997; 22:53-72.
 Slavin, Robert E. Research on cooperative learning & achievement: What we know, what we need to know. Contemporary Educational Psychology. 1996; 21:43-69.

Tuesday, 20 March 2012

Beberapa Teknik Pembelajaran Koperatif 3

(Untuk makluman, Slavin menggunakan istilah kaedah dan bukan teknik untuk STAD, TGT, Jigsaw, Learning Together, TAI, Group Investigation dan Cooperative Scripting) 


Student Teams-Achievement Division (STAD) (Slavin, 1986) terdiri daripada kumpulan murid pelbagai kebolehan . Murid, dalam kumpulan, akan bekerjasama untuk menguasai bahan pembelajaran. Murid boleh gunakan pelbagai kaedah untuk menguasai pelajaran seperti menyoal sesama sendiri, kuiz di kalangan ahli kumpulan, lembaran kerja dan sebagainya. Pembelajaran secara individu masih berlaku, lazimnya melalui pengambilan ujian pada akhir tempoh pembelajaran berkumpulan (tempoh masa bergantung kepada tajuk: seminggu hingga beberapa minggu) 


Teams-Games-Tournament (TGT) (Slavin, 1986) merupakan kaedah pertama pembelajaran koperatif di Universiti John Hopkins. Hampir menyamai model STAD. Perbezaannya ialah pada akhir tempoh pembelajaran, ujian tidak dijalankan tetapi pertandingan. Kumpulan yang menang akan mendapat ganjaran seperti yang telah dipersetujui bersama.


Jigsaw (Aronson, 1978). Dalam pendekatan jigsaw, murid dibahagikan kepada kumpulan mengandungi antara 2 hingga 6 ahli. Setiap ahli kumpulan diberikan satu bahagian teks atau bahagian-bahagian kecil daripada tajuk besar. Contohnya, setelah seorang ahli membacakan teks atau bahagian kecil topik, mana-mana murid yang mempunyai tugasan atau subtajuk yang sama akan menyertainya dalam satu kumpulan untuk membentuk kumpulan pakar (expert). Dalam kumpulan ini, murid akan berbincang menggunakan pelbagai strategi untuk membantu mengajar bahan kepada ahli kumpulan dalam kumpulan asal. Murid akan bermotivasi tinggi untuk mendengar atau mempelajari daripada rakan sebaya kerana satu-satunya cara untuk mendapat maklumat ialah melalui rakan sebaya. Slavin (1986) telah membuat adaptasi di Universiti John Hopkins dan menamakan kaedahnya sebagai Jigsaw  II. Dalam Jigsaw II, murid diberikan bahan bacaan yang sama untuk dibaca tetapi setiap murid diberikan subtopik yang berlainan untuk dikuasai. Seperti Jigsaw yang asal, murid dengan subtopik yang sama akan membentuk pakar dalam subtopik berkenaan.


Learning Together (Johnson & Johnson, 1987). Kaedah ini dibentuk dengan kumpulan kecil yang mengandungi antara 4 hingga 5 ahli dan diberikan satu tugasan sebagai projek kumpulan. 


Team-Assisted Individualization (TAI): TAI menggabungkan penggunaan kumpulan koperatif dengan pengajaran individu. Murid mempelajari bahan pelajaran dalam kumpulan berempat atau berlima mengikut tahap dan kadar kumpulan. Murid mengambil tanggungjawab untuk menyemak, mengurus dan mencari arah serta membantu antara satu dengan lain untuk menyelesaikan masalah. Dengan ini guru akan mempunyai masa yang lebih banyak untuk membimbing kumpulan yang memerlukan bantuan (Slavin, 1996.)


Group Investigation merupakan kaedah pembelajaran koperatif di mana pelajar belajar dalam kumpulan yang dibina sendiri mengandungi antara 2 hingga 6 ahli. Mereka diberikan topik tertentu dan akan berbincang serta merancang pembelajaran dalam kumpulan pembelajaran yang telah dicapai (Slavin, 2003).


Cooperative scripting merupakan satu kaedah lain di mana murid secara bergilir membuat rumusan tentang sebahagian bahan pelajaran untuk difahami oleh ahli lain.

Friday, 16 March 2012

Kaedah mengajar Al Quran


1.  Kaedah Talaqqi Musyafahah
a.       Guru membaca dan bacaan itu dijadikan contoh untuk diikuti oleh murid secara individu secara berdepan dengan guru
b.      Murid mendengar dan memerhati gerakan mulut dan bibir, kemudian membaca seperti yang mereka dengar dan lihat
c.       Pembetulan dibuat menyentuh tentang hukum tajwid serta sebutan huruf mengikut makhraj
2.      
    Kaedah Tasmik
a.       Murid membaca Al Quran di hadapan guru yang mendengar
b.      Kesalahan diperbetulkan
c.       Guru mengemukakan soalan berkaitan hukum tajwid dan maksud tanda bacaan yang terdapat dalam ayat yang dibaca.
3.   
        Kaedah Tadarus
a.       Kaedah kumpulan kecil (antar 4 hingga 5 orang)
b.      Seorang ahli akan membaca sedangkan ahli lain (yang lebih mahir) akan mendengar, menyemak serta memperbetulkan bacaan.
c.       Seterusnya ahli kedua pula membaca dan akan disemak oleh ahli lain (Setiap ahli akan membaca secara bergilir-gilir dan ahli lain mendengar, menyemak dan memperbetulkan bacaan)
4.      
    Kaedah Tikrar (kaedah latih tubi)
a.       Guru memperdengarkan bacaan ayat alQuran satu persatu
b.      Murid mengikut bacaan guru (juga satu persatu) secara kelas
c.       Murid membaca secara bersama mengikut kumpulan kecil. Kumpulan yang tidak membaca akan mendengar.
d.      Kumpulan lain pula diminta membaca dan didengari leh kumpulan yang tidak membaca.
e.      Seorang murid diminta membaca dan murid lain mendengar
5.      
    Kaedah Imla’i
a.       Guru meminta murid menyalin beberapa kali ayat yang ingin dihafaz
b.      Semasa menyalin, murid dikehendaki membaca dan mengingat / menghafaz secara individu
6.      
    Kaedah Baghdadiah
a.       Huruf-huruf hijaiyah diperkenalkan secara analisis dan berperingkat secara berulangkali: eja dan sebut
b.      Bunyi-bunyi huruf tunggal diajarkan mengikut tanda baris (atas, bawah, hadapan)
c.       Murid diajar mengeja dan menyebut kalimah mengikut tanda (atas, bawah, hadapan, tanwin, sukun.....)
d.      Bacaan ayat-ayat juga diperkenalkan secara berperingkat menggunakan kaedah mengeja dan membunyikan.
e.      Murid akan membaca di hadapan guru mengikut peringkat-peringkat yang diperkenalkan
f.        Guru memperbetulkan bacaan murid sambil mengajar hukum-hukum tajwid (daripada yang mudah kepada yang kompleks)
7.       Kaedah Iqra’
8.       Kaedah Qiraati
9.       Kaedah Hattawiah
Untuk tiga kaedah terakhir (Iqra’, Qiraati dan Hattawiah) pengajaran dilakukan berpandukan buku-buku berkenaan.

Beberapa Teknik Pembelajaran Koperatif 2 (sambungan)

Pairs Check
1.       Guru mengemukakan masalah
2.       Salah seorang daripada pasangan menyelesaikan masalah manakala pasangannya akan membimbing.
3.       Murid bertukar peranan
4.       Selepas dapat menyelesaikan dua masalah, pasangan akan menyemak jawapan mereka dengan pasangan yang lain

Pair Discussion
1.       Guru menetapkan pasangan dan mengarahkan murid untuk bekerjasama dalam pembelajaran.
2.       Guru memberikan tugasan dan menjelaskan prosedur termasuk peruntukan masa untuk berbincang.
3.       Murid membincangkan tentang tugasan dengan pasangan.
4.       Semasa murid sedang berbincang, guru akan memantau perbincangan tersebut untuk memastikan murid tidak terpesong daripada topik atau tugasan yang diberikan, mereka benar-benar memahami kehendak soalan serta mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk meneruskan perbincangan secara tepat.

VARIASI
Perbincangan pasukan dan perbincangan kelas

Paired Head Together
1.       Murid dalam kumpulan diberikan nombor 1 hingga 4
2.       Guru bertanyakan soalan dan memberikan masa untuk murid menjawab
3.       Murid mencatatkan jawapan mereka
4.       Murid berpasangan dengan rakan bersebelahan untuk berkongsi jawapan. Seterusnya berkongsi pula jawapan dengan rakan yang duduk di hadapannya.
5.       Guru akan menyebut satu nombor dan murid dengan nombor berkenaan akan memberikan jawapan.

Rally Robin / Round Robin
1.       Guru mengemukakan soalan atau masalah
2.       Dalam kumpulan, murid akan memberi respons lisan secara bergilir-gilir

Rally Table / Round Table
1.       Guru meminta seorang daripada ahli kumpulan untuk mengeluarkan kertas dan pensel.
2.       Guru mengemukakan projek, soalan yang memerlukan pelbagai jawapan, topik atau tugasan yang boleh diselesaikan dengan pelbagai cara, langkah-langkah atau prosedur.
3.       Dalam kumpulan masing-masing, murid secara bergilir akan menulis jawapan di atas kertas dengan hanya menggunakan pensel dan kertas yang disediakan. Setiap ahli kumpulan hanya boleh memberikan satu jawapan bagi setiap pusingan. 


Teknik lain pernah saya poskan suatu ketika dahulu di sini 
Lihat juga http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/03/beberapa-teknik-pembelajaran-koperatif_20.html


Monday, 12 March 2012

Beberapa Teknik Pembelajaran Koperatif 1

Untuk pengajaran Pendidikan Agama Islam

Circle the Sage
1.       Guru membuat undian dalam kelas untuk mengetahui siapa di antara murid yang mempunyai pengetahuan mengenai tajuk yang ingin dikongsikan. Contohnya, guru bertanya siapakah di antara murid yang mengetahui tentang peristiwa di Gua Hira’
2.       Murid-murid yang mengetahui tentang peristiwa tersebut (the sages: sibijaksana) akan bangun dan berdiri di hadapan kelas. Guru akan meminta murid lain (yang tidak mengetahui tentang peristiwa di Gua Hira’) mendapatkan maklumat daripada sage (sibijaksana). Tidak dibenarkan dua orang murid dari kumpulan yang sama menemui sage yang sama.
3.       Sage akan menjelaskan kepada rakan sekelas tentang apa yang mereka ketahui. Rakan sekelas pula akan bertanya dan membuat catatan ringkas.
4.       Kesemua murid kembali ke kumulan masing-masing. Secara bergilir, mereka akan berkongsi tentang apa yang telah mereka perolehi / pelajari. Disebabkan setiap murid telah berjumpa dengan sage yang berlainan, mereka akan membuat perbandingan maklumat yang diperolehi.
5.       Andainya terdapat percanggahan fakta, ia dikemukakan dan perbincangan kelas (dengan bimbingan guru) akan dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat.

Cooperative Play
1.       Guru menyediakan bahan untuk aktiviti pembelajaran. Bahan-bahan tersebut boleh diletakkan di tengah setiap kumpulan (atau digilirkan dari satu meja ke satu meja yang lain)
2.       Guru menjelaskan langkah-langkah keselamatan ketika menggunakan bahan tetapi tidak memberitahu bagaimana menggunakannya. Contohnya, bahan-bahan yang boleh digunakan dan tidak boleh digunakan untuk beristinjak.
3.       Guru bertanya: “Apakah ciri-ciri yang boleh anda jelaskan daripada bahan-bahan tersebut?”
4.       Murid akan mendapatkan ciri-ciri tersebut (dikatakan sebagai satu bentuk permainan)

Give One, Get One
1.       Murid melipat kertas kosong menjadi dua secara memanjang. Murid diminta membuat garisan memanjang untuk membahagi kertas kepada dua bahagian. Pada sebelah kiri, bahagian atas kertas, murid akan menuliskan “Beri Satu” dan tuliskan pada sebelah kanan “Dapat Satu”.
2.       Guru mengemukakan soalan atau topik yang mengandungi banyak jawapan (Contohnya; Rukun, wajib dan syarat sah solat) dan berikan had masa (Contohnya, 5 minit).
3.       Murid akan menyenaraikan, secara individu, sebanyak mungkin jawapan  ke adalam ruang “Beri Satu”
4.       Guru meminta murid mendapatkan pasangan.
5.       Setelah memberi salam kepada rakan, Rakan A akan memberi satu jawapan kepada Rakan B. Sekiranya Rakan B telah mempunyai jawapan tersebut, ia akan menandakan dengan garisan. Sekiranya jawapan yang diberikan itu merupakan jawapan baru, maka Rakan B perlu mencatatkannya dalam ruang “Dapat Satu”
6.       Rakan B pula memberikan jawapan dan Rakan A akan menggariskan atau menulis jawapan baru.
7.       Masing-masing mengucapkan terima kasih, dengucapkan salam dan dapatkan pasangan yang baru.
8.       Teruskan aktiviti sehingga guru meminta untuk berhenti.

Mix-Freeze-Pair
1.       Murid-murid diminta untuk bergerak (berjalan) bebas dalam kelas tanpa bercakap dengan iringan musik (selawat atau rentak nasyid).
2.       Setelah 6 saat, guru berhentikan selawat / musik dan berkata “Berhenti bergerak!” (Freeze). Murid akan berhenti bergerak.
3.       Guru akan mengumumkan “Berpasangan!” dan murid akan berpasangan dengan rakan paling hampir dengannya dan berpegang tangan (pastikan sama jantina)
4.       Guru mengemukakan topik atau soalan untuk diperbincangkan (Contohnya, pahala). Masa berbincang diberikan. Contohnya, 3 minit.
5.       Setiap pasangan akan membincangkan tentang topik atau jawapan kepada soalan. Setelah tamat tempoh perbincangan atau setelah tamat berbincang, murid akan mengadap guru.
6.       Guru akan memberi arahan “Bergerak!”. Ulangi aktiviti dengan soalan yang baru (Contohnya, dosa, ganjaran syurga, balasan neraka dan sebagainya)

Mix Pair Share
1.       Murid bergerak secara senyap dalam bilik darjah.
2.       Guru meminta merka berpasangan dan murid akan berpasangan dengan rakan paling hampir (pastikan tidak timbuol isu perbezaan jantina). Murid mengucapkan salam dan bersalaman (jika perlu).
3.       Guru berikan soalan atau topik perbincangan (contoh: Adab dengan Orang Tua) dan pasangan akan membincangkannya.

One Stray
1.       Setelah menyelesaikan tugasan dalam kumpulan, guru akan meminta seorang ahli bagi setiap kumpulan untuk berdiri
2.       Guru mengarahkan murid yang berdiri untuk bertukar tempat ke dalam kumpulan lain. Murid yang bertukar tempat akan membandingkan jawapan dengan ahli-ahli kumpulan barunya.
3.       Setelah mendapatkan maklumat baru, murid berkenaan perlu kembali ke kumpulan asal dan membincangkan jawapan yang diperolehi daripada kumpulan lain.
4.       Sekiranya terdapat percanggahan, pasukan diminta membincangkan semula isu dan mengubah jawapan yang perlu atau mengekalkan jawapan asal.

      Nota: Pastikan guru membuat rumusan atau meminta murid membuat rumusan pelajaran (dengan bimbingan guru) sebagai penutup kognitif sebelum kelas ditamatkan dan lakukan penutup sosial dengan memberikan motivasi.

Lihat juga: 
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/03/beberapa-teknik-pembelajaran-koperatif_16.html