Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Tuesday 20 March 2012

Beberapa Teknik Pembelajaran Koperatif 3

(Untuk makluman, Slavin menggunakan istilah kaedah dan bukan teknik untuk STAD, TGT, Jigsaw, Learning Together, TAI, Group Investigation dan Cooperative Scripting) 


Student Teams-Achievement Division (STAD) (Slavin, 1986) terdiri daripada kumpulan murid pelbagai kebolehan . Murid, dalam kumpulan, akan bekerjasama untuk menguasai bahan pembelajaran. Murid boleh gunakan pelbagai kaedah untuk menguasai pelajaran seperti menyoal sesama sendiri, kuiz di kalangan ahli kumpulan, lembaran kerja dan sebagainya. Pembelajaran secara individu masih berlaku, lazimnya melalui pengambilan ujian pada akhir tempoh pembelajaran berkumpulan (tempoh masa bergantung kepada tajuk: seminggu hingga beberapa minggu) 


Teams-Games-Tournament (TGT) (Slavin, 1986) merupakan kaedah pertama pembelajaran koperatif di Universiti John Hopkins. Hampir menyamai model STAD. Perbezaannya ialah pada akhir tempoh pembelajaran, ujian tidak dijalankan tetapi pertandingan. Kumpulan yang menang akan mendapat ganjaran seperti yang telah dipersetujui bersama.


Jigsaw (Aronson, 1978). Dalam pendekatan jigsaw, murid dibahagikan kepada kumpulan mengandungi antara 2 hingga 6 ahli. Setiap ahli kumpulan diberikan satu bahagian teks atau bahagian-bahagian kecil daripada tajuk besar. Contohnya, setelah seorang ahli membacakan teks atau bahagian kecil topik, mana-mana murid yang mempunyai tugasan atau subtajuk yang sama akan menyertainya dalam satu kumpulan untuk membentuk kumpulan pakar (expert). Dalam kumpulan ini, murid akan berbincang menggunakan pelbagai strategi untuk membantu mengajar bahan kepada ahli kumpulan dalam kumpulan asal. Murid akan bermotivasi tinggi untuk mendengar atau mempelajari daripada rakan sebaya kerana satu-satunya cara untuk mendapat maklumat ialah melalui rakan sebaya. Slavin (1986) telah membuat adaptasi di Universiti John Hopkins dan menamakan kaedahnya sebagai Jigsaw  II. Dalam Jigsaw II, murid diberikan bahan bacaan yang sama untuk dibaca tetapi setiap murid diberikan subtopik yang berlainan untuk dikuasai. Seperti Jigsaw yang asal, murid dengan subtopik yang sama akan membentuk pakar dalam subtopik berkenaan.


Learning Together (Johnson & Johnson, 1987). Kaedah ini dibentuk dengan kumpulan kecil yang mengandungi antara 4 hingga 5 ahli dan diberikan satu tugasan sebagai projek kumpulan. 


Team-Assisted Individualization (TAI): TAI menggabungkan penggunaan kumpulan koperatif dengan pengajaran individu. Murid mempelajari bahan pelajaran dalam kumpulan berempat atau berlima mengikut tahap dan kadar kumpulan. Murid mengambil tanggungjawab untuk menyemak, mengurus dan mencari arah serta membantu antara satu dengan lain untuk menyelesaikan masalah. Dengan ini guru akan mempunyai masa yang lebih banyak untuk membimbing kumpulan yang memerlukan bantuan (Slavin, 1996.)


Group Investigation merupakan kaedah pembelajaran koperatif di mana pelajar belajar dalam kumpulan yang dibina sendiri mengandungi antara 2 hingga 6 ahli. Mereka diberikan topik tertentu dan akan berbincang serta merancang pembelajaran dalam kumpulan pembelajaran yang telah dicapai (Slavin, 2003).


Cooperative scripting merupakan satu kaedah lain di mana murid secara bergilir membuat rumusan tentang sebahagian bahan pelajaran untuk difahami oleh ahli lain.

No comments:

Post a Comment