Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Friday, 17 June 2011

NILAI-NILAI PENDIDIKAN: SATU ANALISIS KAJIAN TINDAKAN

Apabila saya di amanahkan untuk membimbing pelajar PISMK- OUM membuat kajian tindakan, semangat saya berkobar-kobar untuk berkongsi  pengalaman. Saya mula membuat kajian Tindakan ketika bertugas di sebuah maktab perguruan di Sarawak pada tahun 1999. Atas dorongan perasaan ingin mencuba serta untuk memenuhi keperluan maktab, saya bersetuju untuk mengambil bahagian dalam penyelididkan pendidikan yang dianjurkan pada tahun tersebut. Pengalaman pertama apabila membentang kertas cadangan cukup memeritkan apabila disoal bertubi-tubi oleh sekumpulan ahli panel yang berkelayakan doktor falsafah pada hari itu. Akibatnya, setelah selesai pembentangan, saya mengambil keputusan untuk menarik diri. Walau bagaimanpun, setelah dinasihati dan dibimbing oleh seorang rakan pensyarah yang sangat berminat dengan kajian tindakan, saya mula membuat refleksi dan cuba memahami kenapa kertas cadangan saya dipersoalkan.

Antara kelemahan yang saya kenal pasti ialah saya tidak dapat membezakan di antara kajian konvensional dengan kajian tindakan. Saya hanya mementingkan pencapaian akhir responden melalui post-test bukan proses yang berlaku. Yang paling ketara kesilapan saya ialah, saya langsung tidak mengaitkan amalan kendiri dan nilai-nilai pendidikan dengan apa yang hendak dikaji. Setelah sedar dengan kelemahan kertas cadangan tersebut, maka saya mula mengorak langkah untuk membetulkannya. Dengan bantuan rakan yang sangat perihatin, saya telah berjaya menyiapkan kajian tersebut.

Berdasarkan pengalaman ini, saya ingin berkongsi dengan anak didik atau sesiapa sahaja yang sedang atau berminat untuk membaiki kualiti amalan pengajaran dan pembelajaran mereka melalui kajian tindakan. Penulisan saya ini hanya akan memberi fokus kepada aplikasi nilai-nilai pendidikan yang menjadi salah satu syarat kajian tindakan. Saya akan mengaitkannya dengan kajian yang telah dilaksanakan oleh pelajar PISMK-OUM di bawah bimbingan saya yang bertajuk ‘Menangani Pengabaian Solat Fardhu di Kalangan Murid Sekolah Rendah’. Saya namakan kajian ini sebagai ‘Kajian Tindakan Solat Fardhu’.



               Menurut John Elliott (1995) di dalam artikelnya yang bertajuk “ What is good action research? – Some Criteria” yang telah diolah semula oleh Lim Chong Hin (2001) menyatakan bahawa kajian tindakan yang baik adalah berfokus kepada mengubah amalan atau pengajaran pengkaji agar ianya lebih konsisten dengan nilai-nilai pendidikan yang ingin direalisasikan. Selain itu, sesebuah kajian tindakan itu juga haruslah mengumpul maklumat, bukti dan data mengenai sejauh manakah amalan atau pengajaran konsisten dengan nilai-nilai pendidikan yang ingin direalisasikan. Disamping itu, kajian tersebut perlu mengenalpasti dan menerangkan kewujudan ketidakkonsistenan antara amalan atau pengajaran dengan nilai-nilai   pendidikan yang diaspirasikan.

Ini bermakna pendidik yang melibatkan diri dengan penyelidikan tindakan tidak boleh mengelak daripada mengenal pasti dan seterusnya meneliti secara mendalam nilai-nilai pendidikan yang dipegangnya. Hanya dengan berbuat demikian, barulah pendidik dapat mengutip data untuk mengkaji sejauh manakah nilai-nilai tersebut dipraktikkan dalam amalan atau pengajarannya. Oleh itu Elliot (1995) telah menegaskan bahawa antara ciri-ciri utama Penyelidikan Tindakan ialah mempunyai matlamat pedagogi yang merangkumi nilai-nilai pendidikan yang ingin direalisasikan dalam amalan seseorang guru atau di dalam pengajarannya. Antara contoh nilai-nilai tersebut ialah memberi layanan yang adil dan saksama kepada semua murid, nilai menggalakkan dan menghargai pandangan murid, nilai memupuk budaya belajar di kalangan murid, nilai menggalakkan murid menjadi ‘critikal thinkers’, nilai membina keyakinan dan imej kendiri yang positif di kalangan murid, nilai menjadikan murid ‘thoughful learners’ dan nilai menjadikan mata pelajaran yang diajar releven kepada kehidupan seharian murid.

Berbalik kepada Kajian Tindakan Solat Fardhu, dalam Bab 1, subtajuk permasalahan kajian, pengkaji menyatakan berdasarkan pengalaman ketika menjalani praktikum, ramai murid mengabaikan solat walaupun berada di tahun empat. Berdasarkan perbualan dengan para pelajar, beliau membuat kesimpulan bahawa kebanyakan murid meninggalkan solat kerana mereka tidak diberi peringatan oleh ibu bapa untuk mengerjakan solat. Menurut pengkaji , walaupun berbagai-bagai asuhan dan didikan tentang solat telah diberikan di sekolah   termasuklah menghadiri sekolah agama, masih terdapat juga pengabaian solat  fardhu . Faktor inilah yang mendorong pengkaji mencari penyelesaian agar masalah ini dapat dikurangkan (m.s 10). Penulisan seterusnya lebih berfokus kepada Laporan pengkaji dalam Bab 4 (Dapatan Kajian) dan Bab 5 (Rumusan).

Dalam Bab 4, subtajuk Mengenal Pasti Masalah pengkaji telah menyediakan soal selidik yang mengandungi 16 item yang telah diedarkan kepada 27 orang murid tahun 4. Soal selidik ini  berkaitan dengan pemahaman tentang solat fardhu, amalan solat, punca pengabaian solat dan faktor yang mendorong untuk mendirikan solat. Berdasarkan soal selidik yang menggunakan item ‘dikotomos’ dengan respon ‘ya’ atau ‘tidak’ yang dikemukakan,  hanya satu sahaja item yang barkaitan dengan guru atau pengkaji.  Analisis item 15 yang menyatakan ‘Guru sering mengingatkan anda tentang solat lima waktu’ , menunjukkan seramai  96.30% atau 25 murid bersetuju. Andaian pengkaji bahawa guru yang mengingatkan murid-murid tersebut adalah guru pendidikan Islam dan guru-guru di sekolah agama. Soal selidik pengkaji tidak memfokuskan apa-apa nilai yang ingin dilihat dalam amalan beliau. Pengkaji sekadar menulis ‘Seharusnya guru mempunyai rasa tanggungjawab mengenai perkara tersebut’ (m.s 44) .

Berdasarkan laporan soal selidik yang disediakan, pada hemat saya pengkaji tidak menjelaskan apakah fokus utama beliau untuk mengubah amalan dalam proses pengajaran dan pembelajarannya agar  lebih konsisten dengan nilai-nilai pendidikan yang ingin direalisasikan. Walau bagaimanapun, ungkapan  ‘rasa tanggungjawab’ boleh dipertimbangkan sebagai nilai pendidikan utama yang ingin direalisasikan dalam amalan beliau. Ini bertepatan dengan laporan pengkaji dalam bab sama; sub topik Nilai Pendidikan, yang menyatakan…

 Pengkaji mendapati pendekatan tazkirah merupakan jalan tambahan untuk meningkatkan kesedaran murid dalam melaksanakan solat fardhu serta mengurangkan pengabaian dalam melaksanakan kewajipan tersebut. Pengkaji menyedari tanggungjawab tersebut kerana ibadah solat merupakan satu kewajipan ke atas setiap muslim (m.s 75).

               ‘Rasa tanggungjawab’ ini juga ditegaskan lagi oleh pengkaji dalam Bab 5, subtajuk Punca-punca yang Menyebabkan Murid Mengabaikan Solat Fardhu, beliau menulis …

Oleh itu, seorang guru perlu ada rasa tanggungjawab untuk memberi peringatan kepada murid setiap hari agar mengerjakan ibadah solat dan jangan sekali meninggalkannya dengan sengaja. Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh guru agama, tetapi haruslah menjadi tanggungjawab semua guru yang beragama Islam   (m.s 88).

 Pengkaji juga menyatakan nilai atau sifat ‘istiqamah’ penting dalam setiap perkara yang dilakukan. Catatan pengkaji dalam Bab 4, subtajuk Nilai Pendidikan menghuraikan …

Guru perlu sentiasa istiqamah dalam menjalankan dan melaksanakan tugasnya. Jika guru bersungguh-sungguh menginginkan muridnya berjaya dalam hidup dan menjadi insan yang taat dan patuh kepada agama, guru akan berusaha sebaik mungkin ke arah itu. Di sini pentingnya sikap istiqamah guru (m.s 76).

Walau bagaimanapun pengkaji tidak menjelaskan secara operasional pelaksanaan ‘istiqamah’ yang dilaksanakan di dalam amalan pengajaran dan pembelajaran beliau. Saya melihat nilai ‘istiqamah’ ini  terdapat semasa pengkaji melaksanakan pendekatan tazkirah yang telah dirancang. Beliau telah merancang slot tazkirah pada setiap kali beliau masuk mengajar iaitu tiga kali seminggu. Berikut adalah ringkasan jadual perancangan pendekatan tazkirah yang disediakan oleh pengkaji (m.s 47 – 53).

MINGGU
HARI
RUTIN
ISI TAZKIRAH

2
Isnin
Pertanyaan
“Siapa solat subuh, maghrib dan isyak”
Menyampaikan tazkirah
Pengertian solat, hukum
Rabu
Balasan meninggalkan solat
Jumaat
Fadilat solat berjemaah
3
Isnin
Pertanyaan
“Siapa solat subuh, maghrib dan isyak”
Menyampaikan tazkirah
Hikmah solat
Rabu
Hikmah solat
Jumaat
Ancaman jika meninggalkan solat
4
Isnin
Pertanyaan
“Siapa solat subuh, maghrib dan isyak”
Menyampaikan tazkirah
Azab bagi orang meninggalkan solat
Rabu
Balasan bagi orang meninggalkan solat
Jumaat
Kewajipan solat
5
Isnin
Pertanyaan
“Siapa solat subuh, maghrib dan isyak”
Menyampaikan tazkirah
Azab bagi orang meninggalkan solat
Rabu
Jumaat
6
Isnin
Pertanyaan
“Siapa solat subuh, maghrib dan isyak”
Menyampaikan tazkirah
Azab bagi orang meninggalkan solat
Rabu
Nikmat hamba beramal soleh
Jumaat
Nikmat-nikmat di dalam syurga



Di samping nilai rasa tanggungjawab dan istiqamah, pengkaji juga telah mengenal pasti dua lagi nilai pendidikan yang dapat membantunya untuk mengukuhkan kajian beliau iaitu  memberi ‘perhatian dan dorongan’ serta ‘peneguhan yang positif’.  Saya mendapati pengkaji  telah menjelaskannya di dalam Bab 4, subtajuk Melaksanakan Tindakan…

Responden yang dapat melaksanakan solat dengan sempurna akan diberi pujian sebagai peneguhan dan yang masih culas akan diberikan nasihat dan dorongan (m.s 55).

Pengkaji juga menegaskan kedua-dua nilai ini di dalam bab yang sama, subtajuk Kesan Tindakan ….

Fitrah kanak-kanak sentiasa ingin menginginkan perhatian. Apabila mereka sering diingatkan dan diberi perhatian, mereka akan cuba untuk melaksanakan sesuatu perkara tersebut untuk mendapat pujian dan lebih perhatian. Itulah situasi yang berlaku yang dapat dilihat sepanjang tempoh kajian berlangsung. Terdapat satu hari ketika mana pengkaji baru sahaja masuk ke kelas, selesai semua murid memberi salam dan membaca doa beramai-ramai, belum sempat pengkaji melakukan tazkirah seperti lazimnya, Responden 1 terus pergi kepada pengkaji dan menyatakan bahawa dia telah mengerjakan solat subuh pada pagi tersebut. Pengkaji terus memberi pujian dan peneguhan positif kepadanya agar dia berasa dihargai dan akan terus berusaha untuk mengerjakan solat dengan sempurna seperti kebanyakan rakannya yang lain (m.s 63).

Dalam Bab 5, subtajuk Punca-punca yang Menyebabkan Murid Mengabaikan Solat Fardhu pula, pengkaji merumuskan…

Jika murid sentiasa diberi peringatan, maka sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada dirinya untuk mengerjakan solat apabila masuk waktu. Murid-murid suka diberi perhatian dan didorong untuk melakukan sesuatu. Ia merupakan fitrah semula jadi kanak-kanak. Tambahan lagi jika sesuatu perkara yang dilakukan itu mendapat peneguhan yang positif daripada orang disekelilingnya, Ia akan menjadikan murid lebih bersemangat untuk melakukan perkara tersebut. Maka, setiap guru perlulah mempunyai rasa tanggungjawab ini agar sikap murid dapat diubah sedikit (m.s 88)

Pengkaji tidak menjelaskan secara khusus kriteria peringatan, perhatian, dorongan dan peneguhan positif yang dimaksudkan dalam kajian ini. Pengkaji juga tidak menjelaskan ‘masa’ khusus nilai-nilai ini diamalkan. Beliau sekadar menyatakan sepanjang tempoh kajian berlangsung’ . Walau bagaimanapun pengkaji telah melaporkan kesan tindakan nilai-nilai ini melalui kesan tindakan terhadap lima responden yang dipilih. Selain kesan positif yang ditunjukkan oleh Responden 1 (m.s 63), pengkaji turut mencatatkan Responden 2 sebagai …tidak begitu menitik beratkan tentang kewajipan tersebut dan hanya mengerjakannya apabila benar-benar disuruh… Walau bagaimanapun pengkaji telah mengenal pasti bahawa pengabaian tersebut berlaku pada hujung minggu serta mendapi terdapat peningkatan amalan apabila menjangkau minggu kelima kajian dijalankan (Jadual 4.5). Pengkaji telah menjelaskan Ini menunjukkan bahawa kaedah atau pendekatan yang diberikan pengkaji sedikit sebanyak memberi kesan ke atas diri responden dalam melaksanakan kewajipan solat (m.s 65).

Kesan peningkatan pelaksanaan solat fardhu Responden 3 (Jadual 4.6) pula dicatatkan oleh pengkaji seperti berikut ….Bukan sahaja responden berasa teruja akan perubahan yang terjadi pada dirinya tetapi pengkaji turut berasa berpuas hati kerana dapat membantu mereka dalam memperbaiki lagi kehidupan sebagai seorang muslim (m.s 67). Responden 4 pula menurut pengkaji …tidak mempunyai masalah yang begitu besar dalam melaksanakan kewajipan tersebut tetapi masih perlu dibimbing sehingga kelima-lima solat fardhu dapat dikerjakan dengan sempurna sehari semalam…..Pengkaji tidak putus-putus memberi nasihat dan bimbingan kepada semua responden Berdasarkan peningkatan amalan Responden 4 (Jadual 4.7),… Pengkaji percaya jika usaha dan pendekatan ini dilakukan secara berterusan, Responden 4 dapat dibimbing sehingga solatnya sempurna lima waktu sehari semalam (m.s 69).

Menurut pengkaji walaupun Responden 5 menunjukkan peningkatan dalam mengerjakan solat fardhu (Jadual 4.8) namun beliau berpandangan …agak sukar untuk dibentuk kerana bapanya sendiri tidak dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan baik sedangkan ia adalah contoh kepada anak-anak (m.s 71).

Walaupun pengkaji telah mengemukakan jadual-jadual perbandingan peningkatan pelaksanaan solat fardhu responden (Jadual 4.4 hingga 4.8)  namun nilai-nilai ini tidak dibincangkan secara terperinci dalam Bab 5 serta tidak dikaitkan dengan data-data sokongan yang lain seperti pemerhatian, refleksi atau penulisan jurnal beliau. Saya merumuskan pengkaji masih keliru atau tidak pasti dengan nilai-nilai pendidikan yang ingin difokuskan. Oleh itu beliau tidak  mengumpul maklumat, bukti dan data mengenai sejauh manakah amalan dalam pengajaran dan pembelajarannya konsisten dengan nilai-nilai pendidikan yang ingin direalisasikan.

               Pada pandangan saya, pengkaji seharusnya memungut data melalui temubual dengan responden berkaitan dengan perasaan mereka apabila sering diingatkan tentang kewajipan menunaikan solat. Pengkaji juga boleh menemubual ibubapa bagi menentukan kekerapan responden mengerjakan solat di rumah. Temubual juga boleh berkaitan sikap responden sama ada solat tanpa disuruh atau sebaliknya bagi mengukuhkan amalan pengakaji. Pengkaji juga boleh meminta rakan atau guru lain mencatatkan kekerapan beliau memberi dorongan atau pengukuhan dalam satu sesi pengajaran. Semua dapatan ini boleh dikaitkan dengan Jadual peningkatan solat fardhu setiap responden.

               Triangulasi juga boleh dilakukan jika pengkaji membuat pemerhatian secara konsisten terhadap lima responden. Pemerhatian boleh dilakukan untuk melihat sikap dan tingkah laku responden. Pengkaji boleh menyediakan senarai semak terhadap sikap responden seperti memberi perhatian , mengangguk-angguk kepala, bertanya soalan, tidak menghiraukan, membuat kerja lain atau bermain-main setiap kali tazkirah diberikan. Pengkaji juga seharusnya menulis refleksi mahupun jurnal untuk menggambarkan perasaan terhadap peristiwa yang berlaku setiap kali tazkirah disampaikan.Penulisan refleksi dan jurnal ini dapat dikaitkan dengan perubahan sikap atau amalan mahupun pandangan responden melalui temubual.

Tinjauan saya terhadap subtajuk Kekuatan dan Kelebihan Pendekatan Tazkirah dalam Bab 5 pula mendapati, pengkaji  juga tidak mengaitkan secara langsung tentang nilai tanggungjawab yang dilaksanakan dengan amalan kaedah tazkirah yang telah dijalankan. Beliau juga tidak mengaitkan kepentingan nilai istiqamah dalam memberi dorongan kepada murid untuk melakukan solat. Peneguhan positif juga tidak dikaitkan dalam amalan beliau semasa menjalankan kaedah ini. Walaupun pengkaji telah melaporkan di dalam Bab 4 dan 5 sebelum ini berkaitan perkara-perkara tersebut, saya dapati pengkaji tidak dapat membuat rumusan tentang perkaitan antara rasa tanggungjawab dengan nilai istiqamah dan kepentingan dorongan dan perhatian dalam usaha meningkatkan amalan solat fardhu di kalangan responden.  Oleh itu saya berpandangan bahawa penulis belum lagi dapat mengenalpasti dan menerangkan kewujudan ketidakkonsistenan antara amalan dalam pengajaran dan pembelajarannya dengan nilai-nilai  pendidikan yang diaspirasikan.



Rumusan Keseluruhan

               Pada hemat saya, pengkaji telah pun berusaha membuat satu kajian tindakan yang dapat mengenal pasti masalah serta menilai keputusan tindakan beliau. Ini jelas apabila pengkaji dapat mengemukakan jadual peningkatan pelaksanaan solat fadhu kelima-lima responden beliau. Ini juga bertepatan dengan pandangan Stephen Corey (1953) yang menyatakan ‘kajian tindakan merupakan proses dimana para guru / pengamal cuba mempelajari masalah mereka secara saintifik dengan tujuan untuk memandu, membimbing, memperbaiki dan menilai keputusan dan tindakan mereka.’ Walau bagaimanapun saya merasakan pengkaji belum lagi benar-benar dapat menghayati konsep kajian tindakan itu sendiri. Penggunaan perkataan guru oleh pengkaji tidak merujuk kepada diri beliau sendiri sebaliknya lebih bersifat umum. Beliau belum lagi dapat membawa diri sendiri sepenuhnya sebagai sebahagian daripada pelaksana kajian tersebut sebagaimana yang dimaksudkan oleh Corey.

Pengkaji juga telah mengemukakan banyak sekali nilai-nilai pendidikan di dalam kajian beliau. Namun begitu tidak ada penjelasan tentang nilai-nilai yang ingin direalisasikan di dalam amalannya. Beliau juga tidak melaporkan sejauh mana amalan dalam pengajaran dan pembelajarannya  konsisten dengan nilai-nilai pendidikan yang ingin direalisasikan. Oleh itu, pada pandangan saya, walaupun pengkaji mempunyai pegangan yang jelas tentang nilai-nilai pendidikan, beliau belum dapat mengenal pasti kaitan kepentingan nilai-nilai tersebut dengan kejayaan amalan yang dilaksanakan. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Elliot dan Adelman (1976) bahawa ‘kajian tindakan adalah suatu pendekatan yang merupakan usaha untuk meningkatkan mutu profesionalisme guru. Ia merupakan penyelidikan terhadap situasi sosial di sekolah dengan tujuan untuk memperbaiki kualiti amalan guru.

Akhirnya saya mengucapkan syabas kepada pengkaji kerana berjaya melakukan satu inovasi di dalam usaha melakukan perubahan dalam pendidikan (Lomax 1994). Dengan perkataan lain, kajian tindakan beliau merupakan satu kajian terhadap situasi sosial yang melibatkan beliau sebagai pengkaji dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan sendiri. Setelah  melakukan penyelidikan ini, saya harap pengkaji akan  melakukan inovasi dan perubahan dalam amalan beliau melalui refleksi dan inkuiri . 

Lain-lain bahan berkaitan:
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/07/sedikit-mengenai-penyelidikan-tindakan.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/10/tidak-jelas-tentang-kajian-tindakan.html 

http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/02/betulkah-apa-yang-dilakukan-ini-adalah.html  
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/04/kesalahan-lazim-semasa-melakukan-kajian.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/10/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html

No comments:

Post a Comment