Pembelajaran
berkesan memerlukan seseorang itu berfikir secara aktif serta menghuraikan
bahan-bahan serta isi kandungan pelajaran. Terdapat beberapa strategi yang
telah dikenalpasti dapat membantu pelajar untuk mencapai pembelajaran berkesan.
Mengenalpasti maklumat penting
Daya ingatan
manusia tidak mampu untuk mengingati semua perkara yang disampaikan oleh guru
di dalam kelas atau melalui pembacaan buku. Oleh itu, pelajar perlu bersikap
selektif semasa belajar. Perkara yang ingin dipelajari, sama ada idea atau
konsep utama dan maklumat kritikal, maklumat yang terpisah serta perincian atau
huraian sesuatu maklumat, konsep atau idea, kesemuanya akan mempengaruhi proses
pembelajaran serta pencapaian pelajar.
Para pelajar
sering menghadapi masalah untuk mengenalpasti kebanyakan maklumat penting
semasa menghadapi pelajaran atau semasa mereka membaca buku atau bahan
penulisan. Kebanyakan pelajar lebih cenderung untuk memilih jalan mudah
ciri-ciri superficial seperti tulisan guru di papan tulis atau tulisan italik atau berhuruf tebal. Bagaimanakah cara pelajar mengenalpasti idea-idea
penting? Kebanyakan pelajar akan
memberikan jawapan “Kebanyakan buku teks atau buku rujukan akan menggunakan
tulisan tebal untuk maklumat penting. Begitu juga, penggunaan kosa kata
tertentu yang boleh diterima sebagai kata kunci akan menunjukkan bahawa
maklumat tersebut adalah penting. Pelajar boleh mengenalpasti maklumat penting
apabila dicatatkan lebih daripada sekali.”
Bagaimana pula caranya pelajar mengenalpasti idea atau isi penting pelajaran semasa guru mengajar? Lazimnya pelajar akan mengambil beberapa ayat permulaan atau sekiranya terdapat rumus atau definisi sesuatu konsep.
Sebagai guru,
kita boleh membantu pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan dengan membenarkan
mereka mengetahui apa yang guru fikirkan sebagai penting dan perlu untuk pelajar
kuasai daripada pengajaran, kuliah, penerangan serta bahan bacaan. Secara
mudahnya, guru hanya perlu memaklumkan apa yang patut mereka pelajari. Caranya
ialah dengan:
·
Memaklumkan
objektif pembelajaran yang dirancang kepada pelajar
·
Mencatatkan
konsep-konsep utama serta perkaitan antara konsep-konsep tersebut di papan tulis
·
Bertanyakan
soalan dengan memfokuskan perhatian pelajar kepada idea penting
Pelajar
pencapaian rendah lebih cenderung untuk belajar idea penting apabila guru dapat
mengemukakan secara eksplisit idea-idea penting tersebut. Apabila pelajar dapat
meningkatkan keupayaan untuk mengenalpasti serta membezakan isi penting
daripada maklumat yang kurang penting secara sendiri, guru bolehlah
mengurangkan pemberian bimbingan secara perlahan-lahan.
Menyorot pengetahuan sedia ada yang relevan
Seperti yang
diketahui, pelajar akan terlibat dengan pembelajaran bermakna hanya apabila
mereka memiliki pengetahuan sedia ada yang boleh dikaitkan dengan maklumat baru
dan mereka sedar tentang perkaitan antara maklumat tersebut dengan pengetahuan
sedia ada. Meskipun guru boleh mengingatkan pelajar tentang pengetahuan sedia
ada yang relevan dengan topik yang dipelajari, guru juga perlu menggalakkan
pelajar untuk menyorot maklumat yang relevan secara sendiri, semasa belajar.
Satu pendekatan yang boleh digunakan ialah dengan memodelkan strategi ini untuk
pelajar. Contohnya, semasa membaca, cuba berhenti sejenak untuk mengaitkan idea
dalam teks dengan apa yang telah dipelajari dalam kelas atau dengan pengalaman peribadi yang
berkaitan. Guru boleh menggalakkan pelajar untuk melakukannya, memberi cadangan
serta membimbing pelajar semasa mereka mengamalkannya. Terutamanya apabila
mengajar murid sekolah rendah, guru mungkin ingin memberikan contoh
soalan-soalan khusus yang dapat mengingatkan murid untuk membuat refleksi
tentang pengetahuan dan kepercayaan mereka semasa sedang belajar atau membaca.
Contohnya:
·
Apa
yang kamu telah tahu mengenai topik ini?
·
Apa
yang kamu harap dapat pelajari daripada topik ini?
·
Adakah
dengan membaca buku kamu dapat meningkatkan / menambah pengetahuan tentang
topik berkenaan?
Dengan kerap
berlatih demikian, pelajar akhirnya akan dapat membudayakan atau menjadikan
tabiat untuk menyorot pengetahuan sedia ada tanpa bantuan daripada guru.
Mencatat nota
Setelah mencapai
tahap dua di sekolah rendah, kemahiran mencatat nota mula memainkan peranan
dalam pencapaian pelajaran. Lazimnya pelajar yang mencatat lebih banyak nota
akan dapat mengingat dan belajar dengan lebih baik. Walau bagaimanapun, kualiti
nota turut memainkan peranan penting. Nota yang berguna akan menggambarkan
idea-idea utama pelajaran atau daripada bahan yang dibaca. Nota yang baik
adalah amat penting untuk murid yang hanya mempunyai pengetahuan sedia ada yang
sedikit untuk dikaitkan dengan pelajaran atau apa yang dibaca.
Meskipun terdapat
kelebihan pada mencatat nota, kebanyakan pelajar remaja awal hanya mencatatkan
sedikit atau tidak mencatat nota melainkan jika diminta oleh guru. Nota mereka
biasanya kurang berkualiti.
Untuk membantu
pelajar mencatat nota sendiri, guru perlu melibatkan penggunaan perancah
(scaffold) dengan memberikan idea mengenai apa yang perlu dicatatkan. Salah
satu pendekatan yang boleh digunakan ialah dengan menyediakan struktur khusus
untuk digunakan (seperti peta minda, jadual atau pengurusan grafik kosong).
Walaupun pelajar tidak menggunakan sepenuhnya struktur yang disediakan,
sekurang-kurangnya mereka telah mempunyai sedikit panduan mengenai apa yang
perlu difikirkan. Guru juga boleh menyemak (bukan melihat) buku nota (bukan hanya buku latihan)
secara berkala untuk memastikan ketepatan maklumat yang dicatatkan. Seterusnya,
guru perlu memberikan maklum balas yang konstruktif, jelas dan dapat membimbing
pelajar untuk menambah baik nota mereka. Elakkan daripada memberikan maklum
balas yang terlalu umum seperti “Baiki nota anda” tetapi berikan maklum balas yang lebih spesifik seperti "Tambahkan contoh-contoh yang dapat menjelaskan konsep".
Menyusun maklumat
Pelajar akan
belajar dengan lebih berkesan apabila mereka terlibat dalam aktiviti yang dapat
membantu mereka menyusun apa yang mereka pelajari. Salah satu strategi ialah
dengan membuat ringkasan pelajaran yang diajar atau dibaca. Strategi ini baik
untuk pelajar berpencapaian rendah. Pendekatan lain ialah dengan membina peta
konsep yang dapat menunjukkan perkaitan antara konsep utama dengan
konsep-konsep kecil.
Pelajar akan
mendapat pelbagai manfaat dengan membina peta konsep mereka sendiri. Dengan
memberikan tumpuan kepada bagaimana konsep utama dapat dikaitkan dengan konsep
kecil, pelajar akan dapat menyusun maklumat dengan lebih baik. Mereka akan
lebih cenderung untuk menyedari bagaimana konsep-konsep baru dapat dikaitkan
dengan pengetahuan sedia ada. Untuk itu pembelajaran mereka akan menjadi lebih
bermakna. Proses menghasilkan peta konsep ini akan meningkatkan perspektif
pembelajaran itu sendiri. Pelajar akan sedar bahawa belajar bukan sekadar
proses menyerap maklumat tetapi melibatkan perkaitan idea secara aktif dan mengaitkan dengan isu dunia sebenar.
Peta konsep yang
dihasilkan akan membantu pelajar dan juga guru. Apabila peta konsep dibina,
pengurusan maklumat akan menjadi lebih jelas untuk membolehkan idea disusun atur idea menjadi lebih baik dan kefahaman seterusnya akan menjadi lebih
baik.
Sengaja menghuraikan maklumat
Murid-murid
sekolah rendah mungkin belum mampu untuk menghuraikan maklumat yang dipelajari
atau dibaca. Walau bagaimanapun, sekiranya diberikan latihan awal, murid tahun
enam sudah mula berupaya untuk menghuraikan sesuatu maklumat atau fakta
walaupun tidak mencapai tahap pemikiran tinggi. Sebenarnya, masih ramai pelajar
termasuk yang belajar di institusi pengajian tinggi, masih tidak mampu untuk
menghuraikan maklumat (mereka tidak diajar dan dilatih daripada awal) dan hanya
mereka yang berpencapaian tinggi (high achievers) yang agak kerap menghurai
maklumat yang dibaca. Pelajar berpencapaian rendah lazimnya akan bergantung
kepada strategi yang dangkal (superficial) dalam usaha untuk menjadikan apa
yang telah dipelajari itu bermakna. Contohnya, mengulang-ulang pembacaan
(seperti hafazan) memang mampu untuk membolehkan pelajar mengingat agar dapat membaca semula tanpa merujuk bahan tulisan tetapi tidak akan
menjadikan maklumat yang dihafal itu bermakna.
Terdapat banyak
cara yang guru boleh lakukan, walaupun murid masih di peringkat sekolah rendah
(tahap dua), untuk menghurai topik yang diajar atau dibincangkan. Sekiranya
guru boleh memodelkan strategi menyorot pengetahuan sedia ada, guru juga boleh
memodelkan strategi menghurai. Contohnya ialah dengan mengenalpasti
contoh-contoh sesuatu konsep. Konsep bersuci (taharah) membolehkan murid
menjana contoh subkonsep seperti wudhu, mandi, istinjak dan sebagainya.
Guru juga boleh
menggunakan soalan-soalan berikut ketika mengajar sesuatu konsep:
·
Jelaskan
mengapa .....
·
Bagaimana
kamu gunakan ........... (contohnya, air) untuk .......
·
Apakah
contoh baru / lain tentang ............ (contohnya, suci)?
·
Pada
pendapat kamu, apakah kemungkinan yang akan terjadi kalau ........ (contohnya,
tidak mengamalkan kebersihan)?
·
Apakah
perbezaan antara ......... (bersuci) dengan ......... (kebersihan diri)?
Pendekatan lain
yang boleh digunakan ialah dengan meminta pelajar bekerja secara berpasangan
atau kumpulan kecil untuk merumus atau menjawab soalan-soalan huraian mereka
sendiri. Contohnya, apabila murid bertanya tentang anggota yang perlu
dibersihkan (bukan dibasahkan) semasa berwudhu, guru boleh meminta mereka
membincangkan jawapannya secara berpasangan atau dalam kumpulan kecil.
Membuat rumusan
Salah satu
strategi yang agak berkesan ialah dengan merumuskan pelajaran atau topik yang
dibaca. Untuk menghasilkan rumusan yang baik merupakan suatu yang agak
kompleks. Guru boleh membimbing murid untuk mengenal pasti antara maklumat
penting, kurang penting dan tidak penting, mensintesis perincian dalam betuk
idea umum serta mengenal pasti hubungan antara konsep-konsep kecil. Pelajar
tidak akan mampu untuk melakukannya tanpa bimbingan guru dan selama ini, tidak
banyak guru yang cuba membimbing pelajar untuk membuat rumusan.
Satu cara yang
boleh diamalkan oleh guru ialah dengan kerap meminta pelajar untuk merumuskan
topik yang baru dipelajari atau dibaca. Guru boleh memperkenalkan jurnal refleksi kepada pelajar. Pada peringkat awal, pelajar boleh
diminta untuk melakukannya secara berpasangan atau dalam kumpulan kecil (boleh
gunakan kaedah pembelajaran koperatif) dan mulakan dengan topik yang mudah
serta maklumat yang sedikit. Secara berperingkat, volume maklumat boleh
dipertingkatkan atau beralih kepada maklumat yang lebih mencabar dan kompleks.
Memantau pemahaman
Memantau
pemahaman pelajar merupakan proses
penyemakan ingatan dan kefahaman tentang topik yang telah dibaca atau
dipelajari. Pelajar yang berjaya akan memantau pemahaman mereka secara
berterusan sama ada semasa atau selepas belajar (mengulang dan mengkaji).
Dengan cara ini, apabila mereka menyedari bahawa mereka masih belum memahami
perkara yang dibaca atau dipelajari, mereka boleh mengambil langkah untuk
memperbaiki keadaan, mungkin dengan mendapatkan orang lain (guru, ibu bapa atau
rakan) untuk ditanya (social learning - Zone of Proximal Development). Sebaliknya pelajar yang kurang berjaya, jarang sekali
menyemak kefahaman mereka tentang pelajaran atau tidak mengambil langkah yang
sesuai untuk meningkatkan kefahaman. Seorang pembaca yang lemah, jarang sekali
membaca semula perenggan yang tidak difahami semasa pembacaan pertama. Sebaliknya akan terus membaca perenggan seterusnya walaupun kurang faham.
Apabila pelajar
tidak menyemak atau memantau kefahaman mereka, sebenarnya mereka tidak tahu apa
sebenarnya yang telah diketahui atau yang belum diketahui. Sebaliknya mereka
merasakan telah cukup memahami, padahal sebenarnya tidak sama sekali. Pelajar
sering merungut (komplin) kerana mendapat skor yang rendah dan mereka merasakan
“Saya memang faham tajuk / topik ini”. Apabila perbincangan tentang soalan dan
jawapan dilakukan, guru akan dapat mengesan (bukan semua guru) bahawa pemahaman
pelajar hanya merupakan pemahaman yang masih kabur atau berlaku salah fahaman.
Pemantauan
pemahaman tidak semestinya bersifat aktiviti peribadi (berseorangan). Pelajar
boleh berkerjasama dalam kumpulan kecil dengan melakukan semakan rakan (peer evaluation).
Pembetulan boleh dilakukan. Pelajar seharusnya tahu bagaimana menguji kefahaman
sendiri (self evaluation / self assessment). Salah satu strategi yang boleh diamalkan ialah
dengan menjelaskan kepada diri sendiri (self-explanation). Strategi lain ialah
dengan bertanyakan diri sendiri:
·
Apa
yang saya dah pelajari / baca?
·
Apa
yang saya faham? Adakah saya benar-benar faham dan menguasai?
Pelajar boleh
dilatih untuk menggunakan soalan-soalan yang pernah ditanya dalam ujian atau
peperiksaan mengenai tajuk yang dibaca atau dipelajari.
No comments:
Post a Comment