Mengapa seorang guru, dalam kes ini saya khususkan kepada
Guru Pendidikan Islam, perlu memikirkan tentang keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran? Mengapa kita perlu memberi penekanan kepada pengajaran yang
tinggi keberkesanannya?
Pencapaian murid tidak akan dapat meningkat
sehingga berlaku peningkatan pengajaran di pihak guru. Piawaian
yang tinggi, kuantiti ujian, bilangan murid yang sedikit, sekolah yang tidak
terlalu besar dan sebagainya, secara sendiri tidak menjanjikan peningkatan
kualiti pengajaran. Pelbagai perubahan yang berlaku menuntut guru untuk turut
melakukan perubahan ke atas pengajarannya.
Guru yang bekerja secara sendirian tanpa
atau dengan sedikit maklum balas tentang pengajarannya, tidak akan menjadi
lebih baik secara signifikan walau sebanyak mana kursus perkembangan
profesional (CPD) yang disertai. Bermakna, bukan kuantiti tetapi kualiti serta
kesediaan untuk berubah, lebih diutamakan.
Cabaran kepemimpinan guru ialah untuk
menghasilkan satu sistem yang dapat menambah baik pengajaran secara berterusan, bimbingan dan kepemimpinan pengajaran. Sistem masa kini tidak melihat
kepakaran yang statik (satu zon selesa), tanpa penambah baikan (kesediaan untuk
mengambil risiko baru), sebagai suatu yang dinamik.
Abad ini, kemahiran yang diperlukan oleh murid / pelajar
ialah kemahiran yang membolehkan mereka menghadapi dunia ekonomikal yang lebih
kompetitif, ancaman gejala sosial (kemasyarakatan) yang kian meruncing serta
penyimpangan daripada mentauhidkan Allah, melalui kreativiti dan penyelesaian
masalah sebenar yang dapat dijangkakan.
Seorang guru tidak akan mampu mengubah pencapaian tanpa
mengubah bahagian utama pengajaran iaitu:
1.
Meningkatkan ilmu dan kemahiran mengajar dan belajar
2.
Mengubahsuai isi kandungan selaras dengan kurikulum
3.
Mengubah bentuk hubungan antara guru, murid dan isi
kandungan
Bahagian utama pengajaran ini akan membantu guru
mengenalpasti arah tujuan penambahbaikan. Guru, murid dan isi kandungan - sekiranya
dibuat perubahan pada satu daripadanya, maka guru perlu mengubah
ketiga-tiganya. Guru tidak akan dapat mengubahsuai ilmu dan kemahiran dirinya
sekiranya kekal pada tahap kurikulum yang rendah (guru perlu meningkatkan ilmu
beyond buku teks). Sekiranya guru mengubahsuai isi kandungan tanpa mengubah
ilmu pengetahuan dan kemahiran guru, maka ia tidak akan mampu mengajar pada
tahap ilmu dan kemahiran yang dikehendaki. Begitu juga, peranan murid / pelajar
perlu mengalami perubahan dalam proses penambahbaikan ini kerana tanpa
perubahan tersebut keupayaan murid untuk mengawal pembelajaran kendiri akan
kekal jauh.
Apakah komponen bahagian utama pengajaran?
1.
Kerja yang dilakukan oleh murid, dengan bimbingan dan bantuan guru untuk belajar, mengaplikasi isi
kandungan, membuat refleksi tentang apa yang dipelajari (isi kandungan)dan
bagaimana mereka telah mempelajarinya (kemahiran) serta mampu untuk melakukan
pentaksiran ke atas pembelajaran sendiri ke atas pencapaian yang diharapkan.
2.
Tindakan yang dilakukan oleh guru untuk mewujudkan situasi dan persekitaran pembelajaran serta membentuk
keupayaan murid agar mereka dapat belajar serta mampu mengaplikasi isi
kandungan pelajaran berdasarkan pemilihan model pengajaran yang jelas, pedagogi
yang digunakan, bagaimana sokongan dan pemantauan pembelajaran dilakukan,
jangkaan tentang apa yang perlu murid kuasai serta bagaimana membuat
pertimbangan secara berhikmah.
3.
Isi kandungan, dalam
hal ini, merupakan konsep-konsep, proses berfikir dan mentaakul, kemahiran
serta prosedur yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh murid dalam bidang yang
khusus pada tahap tertentu.
Murid hanya akan berupaya untuk belajar dan mengaplikasi
ilmu, proses dan kemahiran sekiranya mereka
terlibat secara aktif dengan cabaran pelajaran (kurikulum semasa)di
bawah bimbing seorang guru yang berkemahiran, berpengetahuan luas serta guru
yang dapat memberi tindak balas cemerlang.
Guru pula hanya akan mampu melibatkan murid dengan isi
kandungan yang mencabar (memerlukan aras kemahiran pemikiran tinggi atau KEBAT)
yang boleh menghasilkan pembelajaran berkesan sekiranya
diberikan sokongan berkualiti selaras dengan sumber-sumber pengajaran
kemas kini, peluang untuk belajar, menjana dan menerima maklum balas, mereflek
tentang kualiti pengajaran serta kualiti hasil kerja murid.
Bayangkanlah apa yang murid dapat lakukan sekiranya maklum
balas daripada guru yang diterima setelah mendapat keputusan yang kurang
memuaskan dalam peperiksaan semester pertama hanya berbunyi “Tingkatkan usaha untuk baiki keputusan”
atau “Usaha lebih giat lagi”. Dengan maklum
balas begitu, berapa ramai agaknya murid yang dapat dan tahu cara untuk
meningkatkan atau mengiatkan usaha mereka? Gaya belajar, keupayaan minda dan
kemahiran murid tidak sama. Apa lagi dengan budaya dan latar belakang sosio
ekonomi yang pelbagai. Maklum balas
begitu sebenarnya tidak berkualiti, tidak jelas dan tidak dapat membantu murid.
Maklum balas seperti “Tingkatkan usaha
belajar” mungkin lebih baik tetapi tetap kabur. Tidak semua murid tahu apa
yang hendak dilakukan dan apa tak patut dilakukan atau bagaimana untuk jadi
lebih baik sedangkan mereka telah pun belajar (tanpa kemahiran belajar yang
sesuai dan efektif).
No comments:
Post a Comment