Salah satu tool
mengumpulkan data dalam KT yang paling disukai oleh para penyelidik ialah
pemerhatian. Lazimnya penyelidik novis (baru) akan memilih pemerhatian kerana
ia senang dilakukan. Mudahnya menggunakan tool ini sehingga catatan pemerhatian
(dalam bentuk nota lapangan) dan catatan dalam jurnal refleksi (refleksi
superficial dan tidak kritikal) sehingga penyelidik novis lupa tentang apa yang
lebih utama dan relevan untuk diperhatikan. Hal ini terjadi kerana penyelidik
baru tidak terlebih dahulu menstruktur apa yang perlu dilihat dan diperhatikan.
Saya katakan superficial kerana apabila penyelidik baru mencatatkan perkara
yang diperhatikan, penyelidik lupa untuk mencatatkan perincian tingkahlaku yang
diperhatikan. Contohnya, pemerhati (penyelidik) hanya akan menulis “Kelima-lima
peserta telah dapat membaca bahan dalam tulisan jawi yang diberikan”. Dalam kes
ini penyelidik novis telah tidak merakamkan bagaimana peserta telah boleh
membaca. Persoalannya, adakah kesemua peserta telah dapat membaca dengan lancar?
Masih merangkak? Dengan mengeja? Satu persatu? Atau hanya perkataan yang melibatkan dua suku
kata tetapi perkataan lebih daripada dua suku kata, masih belum lancar?
Soalan seterusnya
yang mungkin timbul ialah mengapa peserta telah boleh membaca? Adakah kerana
bahan petikan jawi itu ditulis menggunakan character yang bersaiz besar?
Menggunakan khat yang jelas? Atau petikan itu ditulis di papan tulis (atau
carta hasil guru) dalam bentuk tulisan tangan yang mudah dibaca? Atau terdapat teknik pengunaan warna berlainan untuk suku kata?... kesemua ini
memberi pengaruh kepada keupayaan membaca peserta. Penyelidik perlu mendapatkan data dan bukti yang jelas yang dapat menyokong pemerhatiannya serta dibuat interpretasi yang lebih bermakna. Bukti dalam bentuk gambar
pegun diperlukan (dan lazimnya penyelidik novis tidak mempunyai bukti begini).
Satu perkara lagi
ialah kelalaian penyelidik novis untuk mencatatkan bahasa bukan lisan tetapi
masih boleh diperhatikan. Contohnya, mimik muka, gerak badan, kadar pergerakan
(cergas atau bermalas-malas dan lambat). Kesemua tingkahlaku ini akan memberi makna
yang berlainan dan perlu dibuat interpretasi yang tepat.
Untuk langkah
selamat, dinasihatkan agar penyelidik novis menggunakan pemerhatian berstruktur
agar perkara-perkara perlu dan relevan tidak akan ditinggalkan.
No comments:
Post a Comment