Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Sunday, 28 September 2014

Kepentingan memahami model kajian tindakan

Para guru yang baru mengikuti kursus kajian tindakan akan diperkenalkan dengan beberapa model kajian tindakan. Model yang tidak akan ditinggalkan ialah Model Kemmis dan McTaggart (1988), di samping Model Elliot (dalam Ebbut 1985) atau Whitehead dan McNiff (1989). Persoalannya mengapa perlu memahami model? Tidak ada siapa pun yang boleh mengatakan mana-mana satu model sebagai model yang terbaik. Setiap satu model mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Pada masa yang sama kita juga tidak boleh menafikan kepentingan sesuatu model meskipun perbincangan banyak dilakukan dalam kalangan penyelidik terkenal untuk menekankan dan memberi fokus kepada perkara lain yang dilihat lebih utama seperti perubahan dan penambahbaikan ilmu pengetahuan dan amalan bekerja. Keutamaan sesuatu perkara itu (termasuk pemahaman dan aplikasi model reka bentuk Kajian Tindakan) bergantung kepada situasi yang dihadapi dan tidak seharusnya dibuat satu generalisasi umum tentang sesuatu model oleh mana-mana pihak. Istilah kepakaran individu sering dirujuk kepada penguasaan satu atau beberapa aspek tertentu sahaja dan BUKANnya menguasai semua aspek penyelidikan. Untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan penyelidikan tindakan, memahami sesuatu model adalah perlu untuk mengelakkan diri agar tidak terpesong daripada model dan reka bentuk kajian tindakan (iaitu bukan reka bentuk penyelidikan konvensional). Kecenderungan untuk terdapat pertentangan pandangan different school of thought adalah suatu rahmat tetapi untuk menafikan sama sekali mana-mana school of thought adalah suatu kesilapan dan boleh membekukan minda (selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak) termasuklah isu kajian tindakan.

Model reka bentuk berfungsi sebagai garis panduan. Ia merupakan domain aplikasi yang menerangkan tentang kaedah yang digunakan. Ciri lingkaran yang hanya terdapat pada model-model reka bentuk kajian tindakan merupakan proses continuous learning and professional development yang perlu difahami oleh guru sebagai seorang profesional walaupun ramai penyelidik baru tidak akan melanjutkan penyelidikannya (mungkin melakukan hanya sekadar untuk tujuan jangka pendek seperti memenuhi syarat kelulusan kursus dan sebagainya). Begitu juga ciri refleksi dalam kajian tindakan mempunyai matlamat untuk guru berfikir secara krtiktikal tentang aspek-aspek spesifik amalan dan peranan profesionalnya dalam dunia pendidikan (Sagor, 2005).

Tidak pula menjadi kesalahan sekiranya ada guru yang cuba mengaplikasikan satu model reka bentuk ciptaannya sendiri tetapi perlu terlebih dahulu memahami konsep model dan reka bentuk agar kualiti kajian dapat diterima. Apakah kualiti dalam kajian tindakan? Furlong dan Oancea (2005) mencadangkan:
      a)      Tahap rigor dan trustworthiness yang tinggi
      b)      Potensi nilai yang memberi impak kepada amalan
      c)       Potensi membina kebijaksanaan praktikal dalam kerangka etika (perkembangan peribadi dan sosial)
      d)      Dimensi kos efektif

Reeves (2008) turut membincangkan rubrik kualiti sesuatu kajian yang meliputi perkara berikut:
      a)      Kualiti soalan yang dibina menggambarkan bahawa kajian yang dilakukan itu sangat penting
      b)      Penjelasan tentang peserta kajian (faktor demografi dan pendidikan yang mempengaruhi dapatan kajian)
      c)       Data perubahan pada peserta (pencapaian dan sebagainya)
      d)      Pemerhatian berterusan tentang perubahan amalan profesional

Reeves (2008) juga menjelaskan tentang pemerhatian yang tidak diberikan perhatian (missing) iaitu berkaitan bagaimana intervensi atau perubahan amalan dipersembahkan dalam penulisan.

Model reka bentuk kajian tindakan oleh Adamson (2008) merupakan model agak terkini yang telah dihasilkan setelah melihat semua model yang ada. Sekali lagi harus saya tegaskan bahawa ia bukanlah satu-satunya model yang boleh digunakan. Pemilihan model bergantung kepada mengapa dan bagaimana penyelidik menggunakannya. 

2 comments:

  1. ARTIKEL INISESUAI UNTUK BAKAL GURU

    ReplyDelete
  2. Semoga bermanfaat untuk para pendidik yang ingin meningkatkan profesionalisme diri sendiri.

    ReplyDelete