Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday, 18 August 2011

Kaedah Pengajaran Sirah

Bahan ini dipetik dan dibuat penambahbaikan daripada Modul 8 KPI susunan Shamsina Shamsudiin

Sirah Nabawiyyah bermaksud perjalanan kehidupan atau kisah hidup Rasulullah s.a.w sama ada peristiwa atau kisah itu berlaku sebelum atau sepanjang tempoh masa kerasulan. Sirah meliputi semua perkara, keadaan serta peristiwa yang telah berlaku. Memandangkan sirah meliputi aspek yang begitu luas, untuk memudahkan proses pembelajaran skopnya diperkecilkan dengan meliputi aspek ekonomi, politik, kemasyarakatan, agama dan intelek.

Sebenarnya sirah merupakan satu disiplin ilmu yang meliputi aspek-aspek kehidupan berikut:

1.      Falsafah: akal dan pemikiran
2.      Sastera: tulisan dan lisan
3.      Agama: ketuhanan dan kepercayaan
4.      Politik: pentadbiran, pemerintahan dan ideology
5.      Kebudayaan: cara bermasyarakat
6.      Ekonomi: pertanian, perdagangan dan perindustrian

Memandangkan sirah merupakan himpunan peristiwa yang telah berlalu dalam kehidupan Rasulullah s.a.w, maka kaedah pengajaran yang dicadangkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sirah adalah bercerita, projek, lawatan dan main peranan. Tanpa menafikan keupayaan kaedah yang lain, empat kaedah yang dicadangkan akan dapat membantu murid menghayati dan merasakan kepentingan peristiwa-peristiwa dalam kehidupan Rasulullah s.a.w.

Kaedah Bercerita
Mendengar cerita merupakan antara perkara yang paling digemari oleh semua kanak-kanak. Kaedah bercerita akan menjadi sangat berkesan andainya guru dapat menguasai kemahiran-kemahiran sampingan yang dapat  menarik minat pendengar untuk menghayati cerita yang disampaikan. Antara kemahiran sampingan itu termasuklah menyanyi (nasyid dan qasidah), melakonkan watak, menukar nada serta intonasi suara. Bahan bantu seperti carta bergambar, gambar-gambar pegun (tidak melibatkan wajah-wajah para rasul, sahabat mahupun isteri-isteri Rasulullah s.a.w), slaid persembahan, klip video dan sebagainya.

Aplikasi kaedah ini memerlukan guru menjadi kreatif di samping telah membuat persediaan yang rapi tanpa membuat kesilapan fakta dan kecelaruan kronologi kisah (story board) yang disampaikan. Sebaiknya guru melibatkan penyertaan murid melalui komunikasi dua hala semasa cerita disampaikan tanpa melibatkan unsur-unsur yang boleh menghinakan Rasulullah, para isteri baginda serta para sahabat.

Ciri-ciri umum
1.      Tajuk cerita telah dibuat pilihan lebih awal dengan memastikan fakta yang akan disampaikan adalah betul dan tepat.
2.       Isi kandungan cerita perlu memasukkan nilai-nilai akhlaq yang mulia untuk dihayati dan pendidikan untuk dijadikan pengajaran.
3.      Pencerita perlu menggunakan kemahiran menyampaikan secara kreatif (intonasi suara, gaya, mimik muka) serta menggunakan pelbagai variasi rangsangan dan penyampaian.

Langkah-langkah umum
1.      Tentukan tajuk dan objektif penceritaan.
2.      Pastikan murid bersedia untuk mendengar.
3.      Sediakan tugasan untuk murid seperti mencatatkan nilai-nilai akhlaq dan pendidikan.
4.      Adakan perbincangan tentang nilai-nilai serta pengajaran yang dikemukakan berkaitan tajuk pelajaran.

Kaedah Projek
Kaedah ini melibatkan penyelidikan dan kajian terperinci tentang sesuatu tajuk untuk dilaksanakan oleh murid dalam bentuk tugasan projek sama ada secara individu atau kumpulan. Projek boleh dijalankan sama ada di dalam atau di luar bilik darjah malah boleh melibatkan kawasan luar sekolah seperti perpustakaan awam, aked dan sebagainya. Guru boleh menyediakan panduan (rubrik) untuk diikuti oleh murid melalui penyediaan aspek-aspek yang perlu diselidiki atau soalan-soalan yang perlu dicari jawapannya. Untuk mendapatkan jawapan atau maklumat, murid mungkin perlu melakukan penerokaan bahan, penyiasatan atau eksperimen yang dirancang. Sekiranya projek dilaksanakan dalam kumpulan, kerjasama semua ahli kumpulan adalah penting untuk menghasilkan projek yang baik. Oleh itu guru perlu memastikan keahlian kumpulan telah diatur untuk memudahkan kerjasama sesama ahli.

Ciri-ciri umum
1.      Garis panduan, presedur, rubrik penilaian, jadual pelaksanaan serta tarikh akhir menghantar tugasan perlu ditetapkan lebih awal.
2.      Guru perlu berperanan sebagai pendorong serta pembimbing yang berkesan.
3.       Dalam sesetengah topik, murid dibebaskan memilih tajuk yang tidak terkeluar daripada skop isi kandungan pelajaran.

Jenis-jenis Projek
1.      Berasaskan buku
a.      Bahan sumber utama adalah buku, majalah, manuskrip dan e-buku.
b.      Boleh dilaksanakan di dalam kawasan sekolah atau di luar.
2.      Kerja lapangan
a.      Membuat kajian tentang sesuatu tempat, bangunan bersejarah atau tokoh-tokoh.
b.      Maklumat diperolehi melalui temubual dengan masyarakat tempatan, arkib dan perpustakaan serta Internet.
3.      Lawatan berstruktur
a.      Lawatan atau lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang boleh diperolehi maklumat yang dicari seperti arkib, museum, mahkamah, masjid, perpustakaan dan sebagainya.
b.      Dirancang dan diatur dengan teliti oleh guru.
c.      Sepanjang lawatan murid perlu menyiapkan tugasan yang diberikan seperti melakar peta, mencatat maklumat, melukis gambar dan pelan.

Langkah-langkah
1.      Sediakan senarai tajuk yang sesuai.
2.      Tentukan tugasan sama ada secara individu atau kumpulan.
3.      Menerangkan prosedur penyelidikan serta rubrik penilaian dengan jelas.
4.      Memastikan murid menyediakan soalan-soalan sekiranya melibatkan temubual atau pemerhatian.

Kaedah Lawatan
Kaedah ini melibatkan aktiviti mengunjungi  atau lawatan sambil belajar di luar kelas biasa bagi semua kumpulan murid. Dengan ini murid akan mendapat pengertian yang jelas tentang perkara atau situasi yang dilawati, diperhatikan atau dialami. Guru perlu memastikan tajuk-tajuk yang dipilih untuk ajar menggunakan kaedah lawatan berada dalam lingkungan ciptaan Allah atau sirah yang mengandungi fakta yang jelas dan nyata.

Ciri-ciri umum
1.      Murid dapat mempelajari sesuatu yang tidak boleh dibawa ke dalam kelas melalui pemindahan objek nyata dan maujud.
2.      Menarik minat dan membolehkan murid menumpukan perhatian kepada situasi atau masalah yang memerlukan kajian.
3.      Mendapatkan gambaran sebenar tentang amalan dan tindakan operasi kerja secara relistik.
4.      Menghubungkan teori dengan praktikal.

Langkah-langkah
1.      Tentukan tempat lawatan yang sesuai dengan tajuk serta isi pelajaran yang ingin diajarkan.
2.      Tentukan tugasan secara individu atau kumpulan.
3.      Membuat penerangan aktiviti secara jelas dan tepat semasa sesi lawatan.
4.      Memastikan murid membuat laporan serta menghantar laporan dan tugasan selepas sesi lawatan.

Kaedah Main Peranan
Kaedah pengajaran ini dilaksanakan dengan cara memai nkan peranan watak-watak tertentu dengan tujuan memberi  gambaran sebenar watak tersebut.


Ciri-ciri Umum
1.      Menyediakan skrip dan peralatan yang sesuai dengan tajuk.
2.      Mengalami sendiri situasi pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan.
3.      Mengembangkan pelbagai potensi dan kemahiran, membina keyakinan diri.

Langkah-langkah
1.      Memilih watak yang sesuai dengan tajuk pelajaran
2.      Menyediakan peralatan dan tempat
3.      Penghayatan watak oleh pelajar
4.      Semasa aktiviti berjalan, pelajar lain memerhati dan mencatat.
5.      Selepas aktiviti adakan perbincangan serta  membuat rumusan daripada pemerhatian



Beberapa Kaedah Pengajaran Ibadah

Bahan ini dipetik dan dibuat penambahbaiakn daripada Modul 8 KPI susunan Shamsina Shamsudiin

 Dalam pengajaran ibadah, sebaik-baiknya guru menggabungkan secara eklektik kaedah-kaedah yang membolehkan pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran meliputi domain kognitif, afektif dan psikomotor. Ini adalah kerana perlakuan ibadah melibatkan ketiga-tiga domain ini. Adalah lebih mudah sekiranya, bagi domain kognitif, dirujuk kepada penambahbaikan yang telah dibuat oleh Anderson dan Krathwohl (2001) ke atas Taksonomi Bloom.

Terdapat banyak kaedah pengajaran yang boleh digunakan untuk melaksanakan pengajaran ibadah. Dalam penulisan ini saya perturunkan beberapa kaedah yang lebih dominan untuk digunakan dalam pengajaran ibadah tanpa menafikan keupayan kaedah-kaedah lain yang tidak dinyatakan di sini. Antara kaedah yang lebih sesuai untuk pengajaran ibadah ialah kaedah penerangan, sumbangsaran, tunjukcara, simulasi, amali dan penyelesaian masalah.

Kaedah Penerangan
Kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang paling penting dalam pendidikan. Sifatnya adalah kuliah seperti yang dilaksanakan terutamanya untuk pendidikan tinggi di mana guru akan menerangkan semua maklumat dan fakta secara langsung dan logik. Ini bermakna sasaran murid yang sesuai untuk kaedah ini adalah murid daripada kumpulan sederhana dan tinggi khususnya untuk mereka yang mempunyai kekuatan gaya auditori.

Kadangkala, pengalaman boleh dikongsikan sebagai sumber inspirasi kepada murid. Ketika melaksanakan kaedah ini guru seharusnya memperkenalkan isi pelajaran dan pada akhir sesi membuat rumusan pelajaran. Dengan cara ini guru akan dapat memastikan bahawa segala maklumat yang perlu telah dapat disampaikan kepada murid.

Penerangan yang baik perlu disertakan dengan contoh-contoh yang jelas dan tepat (menggunakan bahan bantu adalah lebih baik) agar murid mendapat pemahaman yang lebih baik tentang perkara yang diterangkan. Ia umpama komunikasi dua hala tentang sesuatu perkara atau topic untuk seluruh kelas. Penerangan boleh digabungkan dengan proses memodel untuk menjadikan pengajaran lebih efektif dan meninggalkan kesan jangka panjang kepada murid.

Ciri-ciri umum kaedah penerangan
1.      Guru membuat penerangan, murid menyoal untuk minta penjelasan atau guru menyoal dan murid menjawab. Kemudian diikkuti dengan penjelasan daripada guru.
2.      Guru merangsang pemikiran murid agar mereka mengemukakan soalan atau memberikan jawapan.
3.      Menyampaikan maklumat yang perlu dan telah dirancang.
4.      Boleh digunakan untuk mendorong murid menjelaskan perkata utama dan penting, membuat ulangkaji dan penelitian serta mengembangkan isi pelajaran.

Langkah-langkah pelaksanaan
1.      Tentukan kesesuaian tajuk dan tempoh masa yang ada untuk dibuat penerangan terutamanya melibatkan topik yang baru.
2.      Sediakan sinopsis kuliah yang sesuai dan tepat (bernas)
3.      Laksanakan penyampaian dengan berkesan dan menarik. Libatkan kemahiran komunikasi berkesan dengan kadar yang tidak terlalu laju serta aplikasi soft skills.
4.      Laksanakan ujian bertulis untuk mengesan keberkesanan kuliah.

Kaedah sumbangsaran
Sumbangsaran merupakan proses usaha murid untuk menjana idea, pandangan dan pendapat, dengan membenarkan idea, pendapat dan pandangan itu berlaku secara kreatif serta dapat menyelesaikan masalah. Sumbangsaran merupakan cara yang berkesan untuk memikirkan idea baru secara individu atau dalam kumpulan. Lazimnya, semasa di dalam kelas, guru akan melakukan sesi sumbangsaran melibatkan kumpulan murid yang besar (satu kelas). Disebabkan semua murid perlu menjana idea secara kreatif maka sasaran sumbangsaran ialah pelajar dengan keupayaan berfikir pada tahap tinggi.

Sumbangsaran dalam kumpulan
  1. Peruntukkan masa untuk sesi sumbangsaran.
  2. Catatkan semua idea serta pandangan pada papan tulis agar dapat dilihat oleh murid untuk membolehkan mereka menggunakannya apabila diperlukan kemudian. Pilihan lain ialah dengan meminta murid mencatatkan kesemua idea yang dikemukakan oleh rakan-rakan.
  3. Galakkan penjanaan semua idea secara kreatif.
  4. Tidak judgemental ke atas apa juga idea yang diberikan sama ada baik, kurang baik, tidak baik atau melucukan.
  5. Gunakan komen atau idea yang telah dikemukakan untuk menjana idea-idea baru.
  6. Elakkan daripada membincangkan sesuatu idea semasa sesi sumbangsaran sedang berlaku. Setelah tamat sesi sumbangsaran barulah guru menarik perhatian murid kepada idea-idea yang bernas atau kritikal untuk dianalisis dan dibuat penilaian. Apa juga komen yang perlu guru kemukakan hendaklah dipastikan bersifat positif untuk mengelakkan daripada murid tidak mahu mengambil bahagian dalam sesi sumbangsaran pada masa yang lain.
Sumbangsaran sendirian
Minta murid untuk:
  1. Buat lakaran atau gambarkan idea semasa berfikir.
  2. Kemukakan soalan (untuk dijawab sendiri).
  3. Buat pembacaan.
  4. Lakukan sesuatu dengan tujuan untuk menggambarkan perkara yang ingin difokuskan.
  5. Lihat sekeliling: Tuliskan apa juga perkara berkaitan yang dilihat, didengar, dirasa, disentuh atau dihidu.
Ciri-ciri umum
1.      Idea dapat dikemukakan secara bebas tanpa kongkongan
2.     Dapat merangsang pembelajaran

 Langkah-langkah umum
1.      Pastikan murid telah bersedia
2.      Galakkan penglibatan murid (motivasi)
3.      Catatkan idea yang dikemukakan (oleh guru atau murid)
4.      Analisis, penilaian dan rumusan dibuat setelah tamat sesi sumbangsaran

Kaedah tunjukcara
Tunjukcara dilakukan untuk memberi peluang kepada murid belajar melalui tugasan pembelajaran dan penerokaan dari pelbagai perspektif. Tunjukcara boleh dilakukan oleh guru atau murid (dengan bimbingan guru) di hadapan bilik darjah agar dapat disaksikan oleh semua murid yang lain (kumpulan besar menjadio sasaran pengajaran). Selepas sesi tunjukcara, ia perlu diikuti dengan sesi soaljawab untuk memantapkan pemahaman murid. Murid akan diminta untuk berfikir secara logik, membuat inferens dan membuat rumusan. Murid akan mendapat maklumat, pengetahuan dan kemahiran baru melalui pemerhatian, meniru perlakuan (imitation) dan soaljawab. Kaedah ini dapat mengekalkan minat murid untuk belajar. 

Ciri-ciri umum
1.      Hanya sesuai untuk tajuk tertentu sahaja
2.      Dapat merangsang daya ingatan murid melalui penglihatan, pemerhatian dan peniruan (imitation)

Langkah-langkah
1.      Guru mengemukakan gambaran atau menjelaskan tunjukcara yang akan dilakukan.
2.      Guru menunjukcara sesuatu perlakuan (cara bertayammum) dengan diperhatikan oleh murid yang lain.
3.      Ulangi tunjukcara jika perlu atau guru meminta murid melaksanakan tunjukcara (sekiranya tidak melibatkan penggunaan bahan yang boleh membahayakan atau kosnya terlalu mahal)  berdasarkan pemerhatiannya pada kali pertama tunjukcara dilakukan oleh guru
4.      Laksanakan sesi soaljawab dan pembetulan
5.      Membuat penilaian dan rumusan

Kaedah amali
Terdapat sedikit perbezaan antara kaedah tunjukcara dengan kaedah amali. Menerusi kaedah amali bahan pembelajaran sebenar disediakan secara langsung dan semua murid diminta untuk melalui proses dan melaksanakan tugasan amali tersebut dalam keadaan sebenar. Contohnya, amali solat. Murid akan memperolehi pengetahuan, kemahiran dan celik akal melalui pengalaman langsung.
Ciri-ciri umum
1.      Hanya sesuai untuk tajuk-tajuk tertentu
2.      Dapat merangsang daya ingatan murid melalui perlakuan dan latihan kemahiran
3.      Pengalaman secara langsung dengan bahan sebenar melalui proses pembelajaran dengan bimbingan guru
4.      Murid berinteraksi secara terus dengan isi pelajaran dan situasi pembelajaran

Langkah-langkah
1.      Isi pelajaran yang perlu diamalikan hendaklah telah dipelajari oleh murid lebih awal dan lengkap
2.      Menggabungkan kaedah tunjukcara oleh beberapa orang murid
3.      Murid melaksanakan amali berdasarkan pemerhatian, ingatan dan pengetahuan teori.
4.      Perbincangan terbimbing dan rumusan dibuat di akhir sesi amali.

Kaedah Penyelesaian Masalah
Kaedah penyelesaian masalah merupakan satu bentuk tindakan yang dilakukan dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia melibatkan aktiviti mendengar, bertutur (bincang), memerhati dan melaksanakan.

Ciri-ciri utama
1.      Guru memberikan latihan (masalah) serta sokongan (bimbingan) semasa murid belajar menyelesaikan masalah.
2.      Dilaksanakan mengikut peringkat penyelesaian masalah tertentu

Langkah-langkah
1.      Murid perlu memahami masalah yang dikemukakan
2.      Pelbagai cara penyelesaian masalah yang boleh diterima akan difikirkan dan dikemukakan
3.      Memilih tindakan yang sesuai diambil bagi setiap cara yang dikemukakan
4.      Pilih satu cara yang dilihat paling munasabah atau cuba beberapa cara untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
5.      Menilai penyelesaian yang dipilih.  

Monday, 8 August 2011

Kaedah Paling Popular Guru Pelatih

Sepanjang karier saya sebagai pensyarah pembimbing praktikum, kaedah yang menjadi pilihan pelatih yang paling popular ialah perbincangan yang berakhir dengan pembentangan. Kaedah ini memang mampu melibatkan kebanyakan murid ke dalam proses pembelajaran. Hasilnya juga dapat dilihat daripada pembentangan wakil-wakil kumpulan murid.

Apa yang menjadi perhatian saya ialah majoriti pelaksanaan kaedah ini dilaksanakan tanpa struktur yang teratur. Malah aktiviti perbincangan kumpulan kecil juga berjalan tanpa struktur yang jelas. Murid diberikan arahan umum untuk membincangkan tajuk, persoalan, masalah tertentu dan.... murid pun berbincanglah. Lazimnya, apabila diminta pelatih membuat refleksi selepas tamat pengajaran, mereka akan katakan kelas terganggu, bising, murid berjalan, banyak bertanya, guru terpaksa mengulang arahan, dan ..... diikuti dengan projeksi iaitu menyalahkan BUKAN kepada diri sendiri tetapi kepada murid. Tidak mengapa!!! kerana amalan refleksi TIDAK semudah yang disangkakan.

Saya lebih suka, dan mungkin juga para pembimbing lain, sekiranya pelatih dapat melaksanakan aktiviti perbincangan berstruktur kerana struktur itu sendiri akan mengawal aktiviti murid. Sama ada murid akan bergerak, senyap, bertukar pandangan, memindahkan nota, berbisik atau sebagainya dalam lingkungan pembelajaran, semuanya akan dapat dikawal melalui penstrukturan. Sebaiknya penstrukturan aktiviti merupakan penstrukturan ke arah pencapaian objektif pembelajaran.

Dalam penulisan saya, seringkali saya akan kaitkan dengan pembelajaran koperatif dan kolaboratif yang dikaitkan dengan pendekatan konstruktivisme sosial. Insyallah, saya akan cuba muatkan dalam tulisan saya seterusnya beberapa teknik perbincangan kumpulan kecil yang boleh menjurus kepada pembelajaran aktif. Dan saya cadangkan agar pembaca akan lebih banyak meneroka lebih lanjut tentang cadangan-cadangan Kagan untuk melaksanakan aktiviti perbincangan kumpulan kecil.

Rajin-rajinlah membaca dalam bulan Ramadhan ini kerana membaca (selain Al Quran) yang bertujuan kebaikan dan kebajikan juga adalah ibadah.

Komen saya tentang refleksi minggu ke 12

Terlebih dahulu diucapkan terima kasih dan tahniah kepada pelajar berkenaan kerana telah berusaha untuk menghasilkan jurnal reflektifnya. Untuk tujuan pembelajaran, saya kemukakan komen saya berkaitan penulisan beliau.

Di bawah topik isu, terdapat ayat ini :”Ia berpunca daripada murid-murid yang suka mencelah ketika saya mengajar. Kesannya pelajar yang lain akan hilang tumpuan belajar disebabkan beberapa orang yang mempunyai masalah hiperaktif ini.”
Komen saya: Refleksi merupakan respon peribadi terhadap pengalaman, situasi, peristiwa atau maklumat baru…. Fasa pemerosesan fikiran dan pembelajaran diri sendiri. Refleksi BUKAN sama sekali bertujuan mencari punca peristiwa untuk dilakukan projeksi sehingga tergambar kesalahan orang lain. Dalam penulisan di atas, kelemahan atau kegagalan mengawal dan mengurus kelas merupakan punca dari diri sendiri yang menyebabkan murid berpeluang untuk mencelah. Adalah lebih baik kalau refleksi tersebut ditulis beginiTerdapat murid yang mencelah ketika saya mengajar. Saya cuba menegur mereka (refleksi dalam tindakan) tetapi seperti tidak berkesan. Agak menyedihkan apabila saya tidak mampu mengawal keadaan sehingga tumpuan murid kepada pelajaran agak terganggu”  (ini merupakan pengalaman guru tanpa memprojeksi kepada murid – Persoalan: adakah mereka benar-benar hiperaktif? Sila semak semula maksud hiperaktif dan jangan terlalu mudah melabel aktif sebagai hiperaktif)

Di bawah topik Analisis pula terdapat:  “Masalah ini timbul kerana mungkin berpunca daripada pelajar yang mempunyai masalah hiperaktif yang terlalu banyak bercakap dan bertanya sehinggakan mendatangkan gangguan kepada rancangan pengajaran dan pembelajaran saya…”
Komen saya: Sekali lagi penulis tidak berfokus kepada diri sendiri. Bagaimana murid boleh berpeluang untuk banyak bercakap? Tidakkah ia menyangkut masalah pengurusan tingkahlaku dan bilik darjah? Sekiranya projeksi terus dilakukan, guru TIDAK akan sedar tertang kelemahan dirinya sendiri. Apakah tujuan refleksi? Pembelajaran oleh guru!!!! (Harap tidak keliru dengan refleksi yang dibuat oleh murid dengan refleksi guru yang bertujuan pembelajaran guru itu sendiri)..
TIDAK terdapat refleksi dalam tindakan dan refleksi atas tindakan di bawah topik Isu dan Analisis
Reflective thinking involves revisiting your prior experience and knowledge of the topic you are exploring. It also involves considering how and why you think the way you do. Sebaiknya guru menulis tentang perkara-perkara ini dan bukan melakukan projeksi kepada orang lain atas perkara yang berlaku.

Di bawah topik Cadangan Memperbaiki terdapat: Saya perlu lebih tegas supaya mereka dapat memberikan sepenuh perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran saya.
aktiviti perbincangan secara berkumpulan akan saya kawal dengan rapi bagi memastikan mereka menjalankan tugas yang saya berikan
Saya akan mendapatkan bimbingan dan nasihat daripada pensyarah pembimbing, guru pembimbing di samping berbincang dengan rakan-rakan yang lain.
Komen saya: Masalah yang dihadapi ialah murid yang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (Masalah sebenar ialah guru gagal mengurus tingkahlaku mengganggu beberapa orang murid yang dilabel hiperaktif). Murid banyak bercakap dan bertanya tidak menggambarkan murid tidak memberi perhatian. Adakah murid bercakap dan bertanya sesuatu yang TIDAK berkait dengan tajuk pelajaran? Sekiranya ini terjadi, mungkinkah ini berpunca daripada strategi dan kaedah pilihan guru yang kurang tepat atau guru gagal menarik perhatian awal murid kepada objektif pelajaran dalam set induksi?
Sekiranya perbincangan mereka boleh mengganggu pelajar lain markah kumpulan akan dipotong
Apakah maksud guru akan kawal dengan rapi bagi memastikan mereka menjalankan tugas yang diberikan? Apakah masalah sebenarnya? Gangguan atau tidak menjalankan tugas? Sekiranya tidak menjalankan tugas, adakah ia berkait dengan arahan yang diberikan oleh guru terutamanya berkaitan dengan aktiviti perbincangan? Bolehkah perbincangan dijalan dengan senyap? Sekiranya terlalu bising, saya ingin kaitkan sekali lagi dengan kelemahan guru mengawal kelas dan tingkahlaku murid. BUKAN sebab murid mencelah, bercakap atau bertanya (walau pun memang begitu keadaannya tetapi untuk tujuan refleksi, seharusnya dilihat pada diri sendiri).  
Sebaiknya untuk cadangan memperbaiki biarlah berkait perkara yang diberikan perhatian awal iaitu gangguan daripada murid. Walaupun kenyataan  Saya perlu lebih tegas supaya mereka dapat memberikan sepenuh perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran saya boleh dilihat berkaitan dengan isu tetapi bercakap dan bertanya (tidak dijelaskan secara terperinci) boleh juga dilihat sebagai memberi perhatian. Perkataan tegas juga agak kabur. Adakah tegas dalam memberi arahan pembelajaran atau tegas yang dikaitkan dengan prosedur dan rutin bilik darjah?Mungkinkah "compacting" diperlukan?

Di bawah topik Tempoh Masa: Pengawasan kelas yang baik adalah perlu bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Komen saya: Perkara ini berkaitan dengan isu yang dibangkitkan cuma saya keliru mengapa ia perlu berada di bawah subtopik Tempoh Masa? Sebaiknya diperjelaskan tentang pengawasan kelas. How? When?

Di bawah subtopik Tindakan Susulan:  saya akan memikirkan objektif-objektif dan aktiviti-aktiviti yang sesuai
Komen saya: Apa masalahnya dengan objektif? Jika objektif tidak tercapai disebabkan gangguan murid, ia tidak bermakna objektif itu salah dan perlu ditukar. Namun begitu kemungkinan aktiviti pembelajaran difikirkan semula boleh diterima cuma…..tiada alternatif aktiviti diberikan. Maknanya? Tidak jelas tentang reflection for action atau refleksi untuk tindakan. Terlalu umum. Mungkin baik kalau dicadangkan satu aktiviti perbincangan  yang lebih berstruktur atau aktiviti individu seperti baca senyap (kalau cikgu tak mahu murid mengeluarkan bunyi daripada mulut mereka), main peranan, pencarian maklumat, latihan dan sebagainya.  

Wednesday, 3 August 2011

Jurnal Reflektif Minggu ke12

Bahan ini saya ambil daripada jurnal salah seorang pelajar saya (nama dirahsiakan) yang telah menjalani sesi praktikum dan jurnal reflektif iniu masih asli tanpa semakan dan pembetulan (ayat mahupun isi). Saya paparkan di sini untuk para pembaca meneliti, mencari kelemahan (sekiranya ada), memberikan cadangan (untuk memperbaiki) dan untuk dijadikan panduan (sekiranya baik dan berkualiti tinggi). Sebagai panduan tentang penulisan refleksi kritikal, pembaca boleh menyemak di blog saya http://sham494.wordpress.com/2011/07/10/contoh-refleksi-kritikal-amalan-bekerja/  dan http://sham494.wordpress.com/2011/08/03/refleksi-kritikal/. Segala pandangan amat dihargai.

1.      Isu
Pada minggu kelima ini saya tidak banyak menghadapi masalah pengurusan dan pembelajaran sebagaimana yang telah saya rancangkan. Namun begitu terdapat beberapa masalah yang saya hadapi iaitu pengawasan kelas yang agak kurang memuaskan. Ia berpunca daripada murid-murid yang suka mencelah ketika saya mengajar. Kesannya pelajar yang lain akan hi;lang tumpuan belajar disebabkan beberapa orang yang mempunyai masalah hiperaktif ini. Hal ini menimbulkan masalah bagi saya untuk mjencapai objektif khususnya objektif yang akhir dalam sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari berikutnya.

2.      Analisis
Masalah ini timbul kerana mungkin berpunca daripada pelajar yang mempunyai masalah hiperaktif yang terlalu banyak bercakap dan bertanya sehinggakan mendatangkan gangguan kepada rancangan pengajaran dan pembelajaran saya tetapi bukan saya sahaja terganggu malah murid-murid yang berada di kelas itu turut terganggu dengan masalah ini. Ini akan menyukarkan proses memahami apa yang saya ajarkan.

3.      Cadangan memperbaiki
a.      Saya perlu lebih tegas supaya mereka dapat memberikan sepenuh perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran saya.
b.      Bagi memastikan bahawa aktiviti perbincangan secara berkumpulan akan saya kawal dengan rapi bagi memastikan mereka menjalankan tugas yang saya berikan dan saya akan sentiasa mengingatkan pelajar tentang masa yang ada dan meminta wakil bagi setiap kumpulan membuat laporan dalam masa yang telah ditetapkan. Sekiranya perbincangan mereka boleh mengganggu pelajar lain markah kumpulan akan dipotong.
c.      Saya akan mendapatkan bimbingan dan nasihat daripada pensyarah pembimbing, guru pembimbing di samping berbincang dengan rakan-rakan yang lain.

4.      Tempoh masa
Saya akan cuba mengatasi masalah ini secepat mungkin. Pengawasan kelas yang baik adalah perlu bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya masalah ini tidak dapat diatasi secepat mungkin sudah tentu objektif-objektif yang telah dirancangkan tidak tercapai sepenuhnya.

5.      Penilaian kejayaan
Saya akan meminta pensyarah maktab, guru pembimbing dan rakan pembimbing untuk member penilaian tentang kejayaan saya disamping meminta pandangan dari rakan lain yang mengajar kumpulan pelajar saya ini. Dengan ini saya dapat memperbaiki masalah saya dari masa ke semasa.
6.      Tindakan susulan
Semasa membuat rancangan persediaan mengajar, saya akan memikirkan objektif-objektif dan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan pelajar-pelajar tersebut supaya proses pengajaran dan pembelajaran saya berjalan dengan jayanya. Saya juga akan lebih perhatian kepada pelajar-pelajar hiperaktif sebegini supaya tidak mengganggu pelajar lain yang sedang belajar.

CADANGAN:
Tumpukan kepada penulisan reflektif dan BUKAN struktur ayat.
Kaitkan dengan “refleksi dalam tindakan”, “refleksi atas tindakan” dan “refleksi untuk tindakan”.
Cuba kesan apakah kemungkinan teori pengurusan disiplin yang boleh digunakan untuk mengatasi gangguan murid (hiperaktif?).
Kaitkan dengan elemen refleksi kritikal (jika ada) seperti yang dicadangkan oleh Brookfield (1988) di http://sham494.wordpress.com/2011/08/03/refleksi-kritikal/ dan http://sham494.wordpress.com/2011/07/10/contoh-refleksi-kritikal-amalan-bekerja/
Elakkan daripada mengkritik dengan tujuan menjatuhkan tetapi berikan pandangan positif
Sekiranya anda akan menggunakan refleksi ini dengan tujuan melakukan penyelidikan tindakan, apakah kemungkinan nilai-nilai pendidikan yang boleh direalisasikan? 

Untuk penjelasan lanjut sila lihat http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/07/lanjutan-daripada-jurnal-refleksi.html dan komen saya di http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/08/komen-saya-tentang-refleksi-minggu-ke.html

Tuesday, 2 August 2011

KAEDAH -Pengajaran Aqidah: Inkuiri

Lazimnya kaedah inkuri digunakan oleh guru sains untuk mata pelajaran sains sama ada di dalam atau di luar makmal. Namun begitu, kaedah ini juga boleh digunakan untuk pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam. Melalui proses inkuiri dalam mata pelajaran sains, murid sering dipaksakan untuk menerima skema jawapan yang sedia ada pada guru melalui eksperimen yang dilakukan oleh guru berkenaan (atau berdasarkan fakta dalam buku teks). Mengapa saya kata begini? Sesetengah inkuiri sebenarnya boleh dilakukan dengan tidak melalui eksperimen. Seringkali pemerhatian dan penemuan murid  tentang sesuatu fenomena, maklumat atau jawapan yang diperolehi tidak sama atau sepadan dengan jawapan guru sedangkan mereka telah benar-benar melalui proses inkuiri penemuan dalam dunia sebenar mereka. (Perlu diingat bahawa fakta sains sering berubah dengan penemuan-penemuan dan bukti baru tentang sesuatu fenomena). Perbezaan yang sedikit telah diputuskan sebagai salah oleh guru berkenaan. Ini bermakna pengetahuan sains selalu datang dan diperakui daripada satu pandangan (one point of view).

Sekiranya guru berpegang kepada inkuiri sebagai satu falsafah, guru akan menghargai pelbagai perspektif yang dibangkitkan oleh murid dalam soalan mereka. Katakanlah guru akan mengajar tajuk Allah Wujud.

Langkah Pertama: Guru boleh memaklumkan kepada murid tentang topik yang akan dipelajari dan aktiviti yang akan mereka lakukan serta memberitahu mereka implikasi menarik yang akan mereka perolehi dalam pelajaran ini.
Langkah Kedua: Membina hipotesis (dalam konteks ini, hipotesis tidak digunakan tetapi persoalan kajian) yang perlu dibina oleh murid (dengan bimbingan guru: pelbagai perspektif persoalan akan diperolehi daripada murid). Guru perlu menjelaskan bahawa persoalan yang ditimbulkan bertujuan untuk mengetahui, memahami, mencari bukti atau tanda-tanda kewujudan Allah dengan berpandukan pandangan (bukan teori) individu yang boleh dipercayai serta signifikan (menggunakan kaedah pengumpulan data yang sah dan boleh dipercayai).
Antara persoalan yang mungkin timbul adalah:
Siapa Allah?
Betulkah Allah wujud?
Apakah bukti penulisan menunjukkan Allah wujud?
Adakah bukti atau tanda pada alam yang menunjukkan tentang kewujudan Allah?
Bolehkah fenbomena alam diterima sebagai bukti kewujudan Allah?
Bagaimana kewujudan manusia boleh menjadi bukti kewujudan Allah?
Apakah pengalaman yang pernah dilalui oleh mereka yang mempercayai tentang kewujudan Allah?
dan banyak lagi....
Langkah Ketiga: Setelah murid mempunyai gambaran yang jelas tentang tujuan proses inkuiri, mereka perlu mempunyai idea bagaimana mencari jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan. Perbincangan tentang beberapa persoalan akan membantu murid untuk mendapatkan apa yang perlu mereka lakukan. Contohnya, pembacaan, kolaborasi, perbincangan dan sebagainya dengan rakan dan orang yang lebih mengetahui (More Knowledgeable Others atau MKO)
Langkah keempat: Setelah mengetahui apa yang perlu dilakukan, murid akan menyenaraikan perkara atau bahan yang diperlukan. Contohnya senarai soalan (termasuk soalan berkaitan pengalaman yang pernah dilalui), kitab suci Al Quran, kitab-kitab hasil penulisan ulamak yang boleh dipercayai dan sebagainya. Sebaiknya guru menyediakan atau menyenaraikan bahan-bahan bacaan berkaitan (sah dan boleh dipercayai)  terlebih dahulu.
Langkah kelima: Murid akan mengumpulkan data dan membuat analisis penemuan mereka.
Langkah keenam: Murid membuat perbandingan penemuan atau interpretasi maklumat dengan rakan lain dan membuat rumusan dengan panduan dan bimbingan guru.
(Nota: Guru perlu berhati-hati dengan pelbagai perspektif murid dan memastikan benar-benar mampu untuk memberikan hujah kepada murid).

Lihat juga kaedah perbincangan dan kaedah soal jawab