Sesetengah murid secara semulajadi memang meminati bidang ketuhanan dan keagamaan tetapi kebanyakan murid kita memerlukan orang lain (guru) untuk mencetuskan keinginan, minat, tanggungjawab, dorongan serta cabaran untuk belajar. Keberkesanan pembelajaran dalam bilik darjah bergantung kepada keupayaan guru pada peringkat awal untuk mengekalkan minat terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam. Apa juga tahap motivasi yang dibawa bersama oleh murid ke dalam bilik darjah akan berubah (proses transformasi) sama ada menjadi lebih baik atau lebih buruk, dengan apa yang berlaku di dalam bilik darjah.
Malangnya, tidak terdapat satu formula yang paling baik untuk memotivasikan murid. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi murid untuk belajar: minat dalam mata pelajaran (isi kandungannya), persepsi ke atas kebergunaannya semasa (current) atau pada masa akan datang (future), keinginan umum untuk mencapai sesuatu kejayaan, keyakinan dan harga diri, daya ketahanan, kesabaran dan keinginan yang bersungguh (determination). Sudah pasti tidak semua murid akan bermotivasi disebabkan oleh nilai-nilai yang serupa, keperluan, kehendak atau keinginan yang sama. Terdapat juga murid yang akan bermotivasi sekiranya usaha mereka untuk belajar dihargai oleh orang lain atau dapat menunjukkan keupayaan mereka untuk menyahut cabaran.
Para penyelidik pendidikan telah mencuba untuk mengenalpasti aspek-aspek situasi pembelajaran yang dapat mendorong motivasi kendiri murid. Untuk menggalakkan murid agar mempunyai motivasi kendiri untuk belajar, guru boleh melakukan perkara berikut:
1. Berikan maklumbalas yang agak kerap, lebih awal adalah lebih baik, serta positif agar dapat menyokong kepercayaan murid bahawa mereka boleh mencapai tahap yang lebih baik (ilmu pengetahuan, kemahiran atau amalan berakhlaq dan bermoral).
2. Pastikan tentang peluang-peluang untuk kejayaan murid dengan menyediakan tugasan yang tidak terlalu mudah atau terlalu sukar. Sebaiknya tugasan itu melibatkan aplikasi kemahiran berfikir tahap tinggi serta sedikit mencabar.
3. Bantu murid mencari “makna” peribadi serta nilai-nilai bermakna dalam bahan yang dipelajari.
4. Wujudkan persekitaran pembelajaran yang bersifat terbuka serta positif.
5. Bantu murid agar mereka rasa dihargai sebagai ahli kumpulan (kelas atau bilik darjah).
Kajian juga telah menunjukkan bahawa amalan mengajar yang baik setiap hari dapat mengatasi masalah kurang mengambil berat serta kurang minat murid terhadap pelajaran jika dibandingkan dengan membebel tentang sikap tidak mengambil berat murid terhadap pelajaran. Kebanyakan murid akan memberikan respons positif kepada penyampaian maklumat secara tersusun dan teratur oleh guru yang bersungguh-sungguh, mempunyai minat yang tulen terhadap murid serta apa yang mereka pelajari. Oleh itu, apa juga aktiviti yang dilaksanakan oleh guru, bukan sekadar dapat menggalakkan pembelajaran, malah dapat meningkatkan motivasi murid untuk belajar.
Strategi Umum
Pergunakan keperluan murid. Murid akan belajar dengan lebih baik apabila insentif untuk belajar dalam kelas dapat memberikan kepuasan motif mereka mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam. Terdapat murid yang memerlukan jawapan kepada masalah berkaitan keagamaan yang mereka hadapi, perlu menyelesaikan tugasan yang diberi, mendapatkan pengalaman baru, memantapkan pengetahuan dan kemahiran tertentu (contohnya, tentang haid, solat, sembelihan), keperluan menjadi lebih kompeten, keperluan untuk berjaya dalam ujian dan peperiksaan (membanggakan ibu bapa serta guru), keperluan untuk terlibat sebagai anggota masyarakat (sosialisasi). Sila rujuk hirarki keperluan yang dikemukakan oleh Erickson.
Pastikan murid aktif dalam pembelajaran. Murid belajar dengan berbuat, menulis, melakukan (amali), menghasilkan (menambahbaik amalan), menyelesaikan masalah dan mereka cipta. Kelas yang pasif akan melembabkan motivasi dan rasa ingin tahu murid. Guru perlu banyak mengemukakan soalan (secara sokratik dengan melibatkan aras pemikiran tinggi, sederhana dan rendah). Elakkan daripada menyampaikan maklumat sekiranya maklumat itu boleh diberikan oleh murid melalui jawapan kepada soalan yang diberikan. Galakkan murid untuk mengemukakan jalan-jalan penyelesaian masalah secara terkawal (isu muamalah harian). Gunakan kaedah kumpulan kecil (koperatif dan kolaboratif)yang dapat menggalakkan penyertaan murid.
Minta murid membuat analisis tentang perkara yang dapat memotivasikan atau membosankan mereka untuk belajar mata pelajaran Pendidikan Islam. Minta murid menyenaraikan aspek yang mempengaruhi tahap motivasi / kebosanan mereka. Secara umum, terdapat lapan ciri yang menjadi penyumbang utama motivasi murid (Sass, 1989).
1. Kesungguhan guru mengajar
2. Kerelevanan bahan
3. Penyusunan pengajaran dan pembelajaran (sila kenalpasti langkah-langkah pengajaran dalam rancangan pengajaran dan bukan sekadar menulis dalam benmtuk yang kabur dan tidak jelas seperti langkah 1, 2 dan sebagainya tetapi gunakan istilah seperti yang terdapat dalam proses 5E, 7E, penyelesaian masalah dan sebagainya).
4. Kesesuaian tahap kesukaran bahan yang dikemukakan
5. Keterlibatan murid secara aktif
6. Kepelbagaian (strategi, kaedah dan teknik)
7. Hubungan guru-murid yang “rapport”
8. Penggunaan contoh (tamsilan) yang konkrit, sesuai dan boleh difahami.
Menggabungkan pengajaran tingkahlaku yang dapat memotivasikan murid
Berpegang kepada ekspektasi yang realistik dan tinggi untuk murid anda. Kajian yang telah dilakukan menunjukkan ekspektasi guru mempunyai kesan yang baik ke atas pencapaian murid. Sekiranya guru mengajar dengan jangkaan / andaian murid bermotivasi tinggi, bersungguh-sungguh dan berminat dengan mata pelajaran yang diajar, murid juga akan membuat tindakan yang sama iaitu bermotivasi, bersungguh-sungguh dan berminat kepada pelajaran. Tetapkan ekspektasi yang realistik untuk murid ketika memberikan tugasan, membuat persembahan, mengendalikan perbincangan serta menggred peperiksaan. Realistik dalam konteks ini bermaksud piawaian yang ditetapkan oleh guru adalah agak tinggi untuk membolehkan murid bermotivasi untuk melakukan yang terbaik dalam kerja-kerja mereka tetapi tidak terlalu tinggi yang boleh menyebabkan murid menjadi kecewa untuk mencapai ekspektasi tersebut. Untuk membentuk dorongan kejayaan, murid perlu percaya bahawa kejayaan itu tidak mustahil untuk dicapai. Ini bermakna guru perlu menyediakan peluang-pelkuang awal mencapai kejayaan (American Psychological Association, 1992; Bligh, 1971; Forsyth dan McMillan, 1991; Lowman, 1984).
Bantu murid menetapkan matlamat mereka. Kegagalan untuk mencapai matlamat boleh menyebabkan kekecewaan. Guru perlu menggalakkan murid untuk memfokuskan penambahbaikan berterusan, bukan sekadar pada skor atau gred pada satu ujian, peperiksaan atau tugasan sahaja. Bantulah muirid untuk menilai peningkatan / penambahbaikan mereka dengan menggalakkan mereka membuat kritikan ke atas kerja atau amalan mereka sendiri, menganalisis kekuatan mereka dan memperbaiki kelamahan diri. Contohnya, galakkan murid menyertakan borang penilaian mereka sendiri beserta tugasan yang telah diselesaikan (Cashin, 1979; Forsyth and McMillan, 1991)
Maklumkan kepada murid apa yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Elakkan daripada membiarkan murid bertungkus lumus berusaha tanpa menggunakan strategi menguasai mata pelajaran untuk mencapai kejayaan yang diharapkan. Kongsikan kaedah terbaik serta apa yang perlu mereka lakukan untuk meningkatkan minat dan menguasai mata pelajaran Pendidikan Islam.
Menstrukturkan mata pelajaran
Tingkatkan tahap kesukaran dari semasa ke semasa. Mulakan pengajaran dengan tajuk yang mudah agar murid dapat merasakan kejayaan mereka dalam latihan dan tugasan yang diberikan. Kejayaan pada peringkat awal mampu meningkatkan harga diri dan motivasi. Apabila murid telah dapat merasakan keseronokan mencapai kejayaan, secara beransur-ansur guru boleh meningkatkan tahap kesukaran dalam latihan dan tugasan.
Mempelbagaikan kaedah pengajaran. Kepelbagaian kaedah dalam pengajaran dapat menyedarkan dan meningkatkan penglibatan serta motivasi murid. Elakkan daripada menggunakan kaedah dan teknik yang sama setiap kali mengajar. Libatkan murid secara aktif melalui perbincangan, perkongsian pendapat, kolaborasi, kumpulan kecil, kajian kes dan sebagainya.
Bermula dengan kekuatan dan minat murid. Dapatkan maklumat daripada murid tentang tajuk-tajuk yang ingin mereka pelajari dahulu (tanpa menyeleweng daripada sukatan pelajaran), perasaan mereka mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam dan jangkaan serta harapan mereka. Setelah mendapatkan maklumat yang diperlukan, guru perlu merancang dan membina tamsilan, kajian kes atau tugasan yang dapat dikaitkan dengan tajuk-tajuk dalam mata pelajaran yang diminati murid serta berklait dengan pengalaman sebenar mereka. Jelaskan kepada murid bagaimana objektif tajuk-tajuk atau mata pelajaran dapat membantu murid berjaya dalam pelajaran, kehidupan peribadi, kerjaya dan profesionalisme.
Tidak menumpukan kepada pencapaian skor dan gred.
Bersambung …………..