Teknik inkuiri bukan merupakan satu teknik baru yang dikenali dalam abad 21 ini. Ia merupakan satu teknik, atau mungkin juga kaedah, yang telah lama diguna pakai. Bezanya dengan zaman Dewey dahulu ialah kaedah ini pada masa kini adalah lebih berstruktur, setelah berlaku proses penambahbaikan yang dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan.
Sejak zaman
Socrates lagi, soalan telah digunakan untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan
jawapan. Sebab itu dikatakan, ilmu sebenarnya bermula daripada soalan yang
timbul dalam pemikiran individu. Ironisnya, guru sekarang agak kurang
menggunakan soalan atau melatih murid bagaimana menjana pelbagai bentuk soalan.
Guru memang banyak menyoal tetapi soalan-soalan yang dikemukakan merupakan
soalan-soalan yang telah ada jawapannya dalam buku teks. Bagi murid, proses
inkuiri mendalam tidak berlaku. Malah murid juga tidak pandai untuk menjana
soalan-soalan yang membolehkan mereka berfikir pada tahap tinggi. Guru hanya
menggunakan Taksonomi Bloom untuk membina soalan yang telah ada jawapannya.
Keupayaan untuk ‘think beyond’ kurang mendapat perhatian walhal ilmu yang kita
perolehi pada hari ini, empat tahun kehadapan, akan menjadi kolot, kuno atau
ketinggalan.
Oleh itu,
untuk menghadapi abad 21 ini, kaedah inkuiri perlu melibatkan daya pemikiran pada
aras atau tahap tinggi hingga membolehkan murid memikirkan ‘beyond’. Bertanyakan
soalan merupakan jantung pembelajaran berasaskan inkuiri. Matlamat guru bukan
sesuka hati bertanyakan apa juga jenis soalan tetapi soalan-soalan yang secara
jujurnya amat diperlukan jawapannya oleh murid, untuk mereka menghadapi dunia
mereka pada ketika itu dan kemungkinan untuk masa hadapan yang terdekat.
Peranan guru ialah membimbing murid untuk mendapatkan jawapannya dan
menggalakkan mereka bertanyakan soalan-soalan baru. Elakkan daripada
menyalahkan murid yang bertanyakan soalan dengan kenyataan seperti ‘banyak
songe’ atau ‘mengada-ngada’. Komen seperti itu biasanya diberikan oleh orang
yang tidak tahu jawapannya.
Lazimnya,
proses inkuiri dilakukan dalam makmal khususnya untuk mata pelajaran sains. Scientiific inquiries bukan dihalatujukan
hanya untuk mata pelajaran sains tulen. Ia juga melibatkan sains sosial.Ia juga
boleh digunakan untuk bidang-bidang lain. Plato dan Socrates telah bertanyakan
soalan-soalan yang lebih jauh daripada sains tulen dan sains sosial. Mereka melanjutkan
hingga ke bidang falsafah. Ahli konstruktivisme (juga para penyelidik interpretivists)
bertanyakan soalan untuk mendapatkan ‘makna’ sesuatu itu kepada dirinya dan
masyarakatnya.
Prinsip utama pembelajaran berasaskan inkuiri.
Pendokong
mazhab konstruktivisme menegaskan bahawa terdapat pelbagai cara menggunakan
soalan-soalan inkuiri untuk membina makna berbanding pengumpulan longgokan isi
kandungan. Oleh itu, kemahiran belajar (belajar cara belajar) sangat
ditekankan. Perlu diingat bahawa bukan semua pendokong konstruktivisme
merupakan pengamal pembelajaran berasaskan inkuiri dan pembelajaran berasaskan
inkuiri bukan semuanya konstruktivism. Namun begitu, falsafahnya tetap sama.
Proses pembelajaran berasaskan inkuiri.
Seni menyoal.
Soalan
bagaimanakah yang dikatakan baik untuk projek berasaskan inkuiri? Pertama
sekali mestilah soalan yang benar-benar
murid inginkan jawapannya dan bermakna untuk kehidupan mereka pada ketika itu
dan untuk masa hadapan yang terdekat.
Soalan yang baik mempunyai ciri-ciri berikut:
·
Soalan-soalan
tersebut mestilah boleh dijawab. Memang terdapat soalan-soalan yang agak sukar untuk
dijawab kecuali oleh orang yang bertanya itu sendiri. Oleh itu, elakkan
daripada soalan-soalan yang terlalu abstrak atau kompleks. Pilihlah soalan yang
setara dengan keupayaan murid.
·
Jawapan
kepada soalan seharusnya merupakan fakta yang tidak terlalu kompleks atau
abstrak. Apakah solat yang telah difardukan kepada orang Islam?
Soalan ini terlalu mudah untuk proses inkuiri. Apakah syarat wajib solat?
Soalan ini juga agak direct.
Bagaimana kalau ditukarkan kepada Apakah perkara-perkara yang mewajibkan
seseorang Islam menunaikan solat? Bagaimana kalau murid jawab ‘hidup’? Jawapan
ini tidak ada dalam buku tetapi jawapan ini bermakna. Orang mati tidak
diwajibkan mendirikan solat tetapi disolatkan oleh orang yang ‘hidup’.
·
Jawapannya
tidak seharusnya telah diketahui. Apakah yang dimaksudkan dengan arak? Soalan ini straight forward. Bagaimana dengan “Apakah
ciri-ciri mkinuman yang boleh dikategorikan sebagai arak?" Soalan kedua
lebih bercirikan inkuiri.
·
Soalan
mestilah berasaskan kepada jawapan yang objektif. "Mengapa warna langit biru?" boleh dicari jawapannya
melalui penyelidikan. “Mengapa Tuhan (Allah) menciptakan langit berwarna biru?”
Soalan kedua ini bermakna, sah, merupakan soalan benar tetapi kurang sesuai
untuk projek berasaskan inkuiri. Tetapi seandainya ditanyakan “Apakah pandangan
ulamak tentang mengapa Allah menciptakan langit berwarna biru?”. Soalan ini
lebih sesuai untuk projek inkuiri. Soalan-soalan yang melibatkan pertimbangan
nilai tidak boleh digunakan untuk tujuan inkuiri. Contohnya, “Azan telah
dilaungkan. Mengapa masih ada orang yang tidak terus pergi ke masjid untuk
menunaikan solat?” Soalan begini mempunyai banyak kemungkinan jawapan
bergantung kepada pertimbangan nilai individu. Umumnya kita boleh menjawab “Sepatutnya
mereka pergi tunaikan solat” tetapi realitinya tidak semua akan bersegera ke
masjid. Elakkan daripada menimbulkan kekeliruan murid.
·
Soalannya
tidak terlalu personal. "Mengapa anda sukakan kucing?” akan membuatkan murid
berfikir tentang pertimbangan dirinya. Adalah lebih baik meminta murid fokuskan
eksperimen mereka tentang “Mengapakan kucing digolongkan dalam kumpulan haiwan
mamalia?” Adakah anda sayangkan ibu anda? Soalan ini baik tetapi bersifat
personal. Apakah faktor-faktor mengapa seorang ibu perlu disayangi?’ adalah
lebih relevan untuk tujuan inkuiri.